ʻʻSelamat datang ke Pulang Langkawi. The plane has now landed. Please remain seated until the seat belt sign has been turned off. Please do not use any electronic devices until the plane has come to a complete stop. On behalf of the captain and crew, we would like to thank you for flying with Malaysia Airlinesʼʼ
Pesawat Boeing 737-800 milik Malaysia Airlines itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi jam 8:30 pagi. Perjalanan kali ini sangat selesa, kerana Norhana berada tempat duduk hadapan bersama dengan penumpang-penumpang Business Class yang lain. Norhana tersenyum sendiri mengenangkan pengalaman menaiki pesawat TUDM DHC-4 Caribou dua tahun yang lalu. Dua jam dia terpaksa mengharungi bunyi bising, tempat duduk keras dan bergegar, dalaman yang panas dan berpeluh, semua itu merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Tetapi satu kenangan yang pasti tidak dapat dilupakan kembali semula ke dalam fikirannya tatkala tayar-tayar pesawat 737 itu mencecah landasan. Dirinya kembali ke pulau ini membawa bersamanya seribu satu kenangan.
Dari kaca tingkap pesawat, Norhana menghela nafas panjang sambil melihat susunan pesawat-pesawat tentera di lapangan terbang itu. Salah satu darinya adalah deretan pesawat General Dynamics F-16 Fighting Falcon milik tentera udara Amerika Syarikat.
Norhana sebenarnya telahpun meneliti aturcara pertunjukan udara untuk tahun ini. Lima pesawat F-16 yang dihantar adalah dari skuadron 57th Wing Operations Group, atau nama singkatannya ʻThunderbirdsʼ dari Nellis Air Force Base, Nevada.
Skuadron itu adalah dari kumpulan yang berbeza berbanding yang datang dua tahun lepas. Pada tahun tersebut, tentera udara Amerika Syarikat hanya menghantar satu pesawat F-16 dari 20th Fighter Wing AFB South Carolina.
Itu juga bermaksud, juruterbang dan kakitangan-kakitangan sokongan yang datang ke pemeran LIMA tahun ini tidak sama orang dan kumpulannya berbanding dua tahun yang lalu.
Disebabkan maklumat itulah, Norhana berani untuk menjejakkan kaki semula ke pulau Langkawi pada tahun ini. Walaupun ada kenangan indah dan manis yang akan disimpan di dalam hatinya selama-lamanya, dua tahun yang lalu juga memperlihatkan satu pergolakan emosi dan perasaan yang sangat melankoli pada dirinya. Pada ketika itu, Norhana telah menidakkan cinta dari seorang lelaki. Dia melarikan diri meninggalkan cinta itu pergi. Keputusan yang telah dibuat bersama dengan linangan air mata. Norhana tidak dapat berkongsi nestapa yang melanda hatinya dengan sesiapa pun. Tidak dengan kawan, tidak dengan keluarga, lebih-lebih lagi tidak dengan suami sendiri. Perasaan yang dirasainya dua tahun dahulu terpaksa dipendam dalam-dalam, disimpan di dalam hati, dibawa sampai ke mati.
Dua tahun itu jugalah masa yang Norhana perlukan untuk mengubati kelukaan di hati. Pernah berkali-kali dia mempersoalkan keputusannya pada ketika itu. Adakah keputusannya itu betul? Adakah keputusannya itu kejam? Adakah keputusannya itulah yang sepatutnya dia lakukan untuk dirinya, ataupun sebaliknya?
Dua tahun kini sudah berlalu. Yang telah ditinggalkan, biarlah kekal ditinggal. Kini Norhana sudah boleh yakin untuk menjejakkan kaki ke pulau bersejarah ini tanpa merasa lagi apa-apa sesalan di atas perbuatannya dulu.
Ting!
Bunyi isyarat lampu tali pinggang dipadamkan, menandakan penumpang-penumpang sudah boleh bangun dari tempat duduk masing-masing.
Norhana bangun dari tempat duduknya. Beg kecil beroda diturunkan dari kompartmen atas kepala, satu senyuman terima kasih diberikan kepada seorang peramugara yang menunggu ditepi pintu, kasut tinggi melangkah setapak demi setapak anak-anak tangga ke perkarangan landasan.
Walaupun hati sedikit sebanyak telahpun pulih, mata Norhana masih lagi memandang dari jauh deretan pesawat-pesawat F-16 yang tersusun rapi. Mereka dikelilingi juruteknik-juruteknik dan juga kelihatan juruterbang ada juga bersama mereka. Ada juga di kalangan mereka wanita-wanita berpakaian awam. Ahh... sudah tentu mereka ini isteri-isteri kepada juruterbang-juruterbang itu. Norhana masih dapat mengecam pada pas yang mereka sarungkan di leher. Pas untuk para isteri. Norhana pernah satu ketika memakai pas seperti itu.
YOU ARE READING
Pertemuan Cinta di Langkawi
RomanceDiilhamkan dari sebuah cerpen pendek LIMA 99 Diceritakan semula oleh Seri Dewi Disunting oleh bluduel Berdasarkan dari sebuah kisah yang berlaku di Langkawi sewaktu pameran LIMA sekitar 1997 sehingga 2001, yang melibatkan percintaan terlarang dianta...