Imbasan 2000

9K 172 232
                                    

Nasir terduduk di atas sebuah kerusi diluar wad bersalin Hospital Shah Alam. Dalam duduknya, dia bersandar kehadapan, kedua tangan menggenggam sesama sendiri, direhatkan pada lulut yang sedikit bergegar. Matanya merah, anak matanya berlari-lari ke kiri dan ke kanan. Keningnya berkerut, urat-urat darah nampak dengan jelas, semerah mukanya juga.

Sepatutnya Nasir adalah seorang suami yang paling gembira hari itu. Isterinya Norhana baru sahaja melahirkan anak yang ketiga setengah jam yang lalu. Sepatutnya dia berucap syukur, berterima kasih di atas rezeki yang diberikan. Umat Nabi Muhammad telah berjaya ditambah dengan seorang lagi kelahiran. Sepatutnya hari gembira itu diraikan, dikhabarkan kepada sahabat handai dan sanak keluarga, dikongsi kepada semua yang mengenalinya. Sebagai seorang lelaki, Nasir sepatutnya merasa bangga.

Tetapi jiwanya rasa sebaliknya. Marah? Sakit? Keliru? Pelbagai soalan bermain di dalam kepala. Hati masih cuba bersangka baik. Tapi hati yang masih sedang mencuba itu dihalang oleh pelbagai alasan. Pelbagai cerita. Pelbagai bisikan.

Bisikan-bisikan yang telahpun didengarinya sejak tiga tahun dahulu lagi. Banyak cerita yang telah didengarinya dari banyak mulut yang bercerita. Tetapi pada ketika itu, ianya hanyalah cerita-cerita yang hanya didengari pada sebelah telinga sahaja. Cerita-cerita yang disisihkan sebagai cerita dongeng. Cerita buatan orang. Cerita yang digembar-gemburkan.

Tetapi dengan lahirnya anak ketiga ini, mungkin cerita-cerita itu sebenarnya ada benarnya juga.

ʻʻEncik Nasir?ʼʼ tiba-tiba suara seorang jururawat wanita menegurnya. Tersentak dia dari kelemasan ribuan fikiran.

Nasir memandang jururawat itu. Cuba untuk senyum. Cuba untuk menunjukkan muka yang tenang. Cuba.

ʻʻYa?ʼʼ suaranya sukar untuk keluar.

ʻʻEncik Nasir belum qamatkan anak perempuan Encik Nasir lagiʼʼ jururawat itu mengingatkannya lagi.

Qamat.

Tanggungjawab seorang ayah menyebut nama Allah, nama Rasulnya, dan panggilan-panggilan untuk solat dan menuju kejayaan kepada telinga anak perempuan yang baru lahir. Agar kalimah itu menjadi satu-satunya kalimah yang pertama kali didengarinya tatkala setiap nyawa baru berpindah dari alam kandungan ke alam dunia.

Berderu darah yang mengalir dalam hati Nasir. Tangannya menggeletar.

Nasir cuba berdiri. Kakinya masih menggeletar. Hampir terjatuh dia kembali. Sukar untuk dia berdiri. Sukar sekali. Tapak tangan disokongkan pada dinding. Angguk sekali kepada jururawat tadi, walaupun hati masih berat seberat dunia.

Nasir masuk ke dalam bilik wad isterinya, Norhana. Menutup pintu dibelakangnya membiarkan jururawat tadi di luar. Di dalam bilik kelas pertama itu, hanya ada satu katil di dalamnya. Norhana terbaring dalam posisi mengereng, kepalanya menghadap anak perempuannya yang baru dilahirkan. Bayi itu sedang baring dalam kerengga plastik di atas troli sebelah katil ibunya, tubuh bayi itu dibalut dengan selimut putih, sedang cuba bergerak-gerak dengan mata terbuka pertama kali melihat dunia.

Mata Norhana berlinangan. Dia masih menangis. Senyap, tiada suara. Hanya air mata yang mengalir keluar sambil tidak lekang dia merenung bayi lahirannya itu.

Nasir menghampiri katil Norhana. Kakinya mengesot perlahan. Dia melihat bayi itu disebelah ibunya. Itu kali kedua dia melihatnya. Dia mengharap kali pertama tadi dia bermimpi. Rupanya bila melihatnya kali kedua, dia tahu yang matanya tidak kabur.

Bayi itu berkulit putih. Putih bukan putih kulit orang asia. Bukan putih kulit orang cina. Tetapi ianya putih kemerahan. Rambut halus dikepala berwarna perang keemasan. Hidungnya mancung, matanya berwarna hazel dengan iris berwarna biru terang. Rupa bayi itu tidak langsung seperti muka rumpun melayu.

Pertemuan Cinta di LangkawiWhere stories live. Discover now