Pin, Pin.
Alauddin yang sedang ralit membersih kandang kambing miliknya itu tersentak setelah mendengar bunyi hon itu. Sebuah motosikal berhenti betul-betul di hadapan kandang kambingnya.
"Din, kau free tak petang ni?" soal Amar sambil membuka topi keledar yang dipakainya itu.
Tidak terus menjawab, Alauddin berfikir dahulu sambil memerhati muka rakannya itu. "Hm, rasanya petang ni aku free. Kenapa?" balas Alauddin sambil melihat Amar yang sedang tersengih-sengih ke arahnya.
Alauddin dan Amar sudah kenal sejak di sekolah rendah lagi. Mereka merupakan sahabat baik. Amar sudah pun mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya. Selain buat kerja mesin rumput ini, Amar mempunyai kedai menjual ayam mentah di pasar pagi. Alauddin juga kadang-kadang ada bekerja di kedai milik Amar itu pada sebelah pagi sekiranya Amar memerlukan pertolongan daripadanya. Dapat juga dia mengumpul duit lebih apabila melakukan banyak kerja sampingan.
"Kalau kau free, aku nak ajak kau pergi mesin rumput dekat kebun pisang tok penghulu tu. Tak mampu aku nak buat sorang-sorang. Kebun dia tu dah la luas."
"Bukan kau tak suka ke dengan Pak Karim tu?" soal Alauddin pelik. Amar ni bukan main anti dengan tok penghulu kampung mereka itu. Boleh pula dia setuju nak ambil kerja mesin rumput kebun orang tua tu.
"Kalau tak sebab dia pergi tanya dekat ayah aku, tak adanya aku nak setuju pergi mesin rumput dekat kebun dia tu. Ni pun ayah aku yang paksa aku," balas Amar jengkil. Kerja mesin rumput ni kerja sampingan yang dilakukan oleh Amar saja, sebabnya dia juga agak sibuk menguruskan kedai ayam miliknya.
"Yalah Amar. Nanti aku tolong kau sekali petang ni. Dalam pukul berapa kau nak pergi sana?"
"Lepas asar macam tu. Dalam pukul 5:15 ada sana dah. Kau nak pergi dengan aku ke atau kau nak pergi sendiri?"
"Tak apa. Aku pergi sendiri petang ni. Nanti kita jumpa dekat kebun terus," balas Alauddin sambil mengelap peluh di dahi. Panas betul cuaca harini.
"Okay. Aku balik dulu. Jumpa petang ni. Assalamualaikum." Amar memakai topi keledar lalu menghidupkan enjin motosikalnya.
Setelah melihat rakannya pergi, Alauddin menyambung semula kerja-kerja yang tertangguh sebentar tadi. Kerja membersih kandang kambing miliknya juga sudah hampir selesai. Bolehlah dia balik awal sikit ke rumah untuk berehat sebentar sebelum pergi ke kebun Pak Karim petang ini.
"ABANG Din kamu tak balik lagi ke Siti?" Siti yang sedang ralit menggoreng ikan tersentak apabila mendengar suara maknya itu. Dia melihat emaknya itu sedang turun dari tangga tingkat atas rumah mereka itu.
"Belum lagi mak. Tapi tadi adik telefon abang. Abang cakap dalam 30 minit lagi dia balik. Sebab petang ni abang nak pergi kebun Pak Karim," jawab Siti sambil mengangkat ikan yang telah siap digoreng ke dalam pinggan.
"Kebun Pak Karim? Buat apa nak pergi sana?" tutur Mak Cik Salimah sambil menarik kerusi di meja makan lalu melabuhkan duduk.
"Katanya Abang Amar ajak abang pergi mesin rumput dekat kebun Pak Karim tu." Mak Cik Salimah hanya mengangguk mendengar jawapan daripada Siti.
"Ni mak nak makan dulu ke? Atau nak tunggu makan sekali dengan abah dan Abang Din balik?"
Abahnya ini lama betul duduk berbincang di rumah Pak Cik Hashim itu. Maklumlah, hujung minggu ini Pak Cik Hashim mahu membuat kenduri tahlil untuk arwah isterinya. Jadi mesyuarat kecil-kecilan diadakan bersama AJK masjid untuk berbincang mengenai kenduri tahlil itu nanti.
"Tak apalah. Kita tunggu abah dengan abang kamu tu balik. Boleh makan sama-sama," balas Mak Cik Salimah sambil menutup lauk yang telah siap dihidang oleh Siti dengan tudung saji.
"Okay mak. Sebenarnya adik pelik ni. Kenapa la abang tu nak pergi mesin rumput kat kebun Pak Karim tu. Hish, adik tak suka betul dengan Pak Karim tu," adu Siti kegeraman.
"Biarlah. Boleh juga abang kamu tu dapat upah bila mesin rumput dekat kebun dia tu."
"Tahu. Tapi mulut Pak Karim tu suka betul mengata abang. Macam la anak dia tu bagus sangat. Mak tak ingat dia cakap abang tak bagi duit sumbangan surau dekat dia. Rupa-rupanya anak dia si Kamil yang ambil duit tu."
"Sudah adik. Abaikan je lah orang macam tu. Kamu ni jangan nak menyibuk sangat. Sekolah pun tak habis lagi. Jangan nak masuk campur sangat hal orang dewasa ni."
Tercebik bibir Siti setelah mendengar apa yang dikatakan oleh maknya itu. "Bukan apa mak. Pak Karim sekeluarga tu suka sangat cari pasal dengan kita. Anak dia si Kamil tu, entah apa-apa perangai."
"Biarlah dia orang. Selagi tak memudaratkan kita. Jangan kita yang kacau orang. Selagi kita boleh bersabar kita sabar. Buang masa kalau kita bertikam lidah dengan orang yang hanya nak menangkan diri dia sahaja." Siti hanya mengangguk setelah mendengar jawapan maknya itu walaupun dalam hati masih tidak berpuas hati.
Bersambung...
Terima kasih kerana sudi baca.
Kalau tak keberatan saya nak minta jasa baik para pembaca untuk tekan butang vote. Terima kasih 🤍
YOU ARE READING
Ayana
Romance"Saya ikhlas cintakan awak Alauddin. Sejak dulu saya suka dan cintakan awak. Walaupun saya bukan yang pertama di dalam hati awak tapi awak yang pertama dan terakhir bertakhta di hati saya." - Ayana "... Aku tak layak untuk kau, Ayana." - Alauddin "S...