"Yana, kamu dah siap ke semua borang-borang untuk akad nikah nanti?" Mak Cik Amna yang sedang melipat baju di ruang tamu itu menyoal anaknya. Ayana yang sedang khusyuk menonton drama di televisyen bersama Nek Asiah menoleh ke arah maknya.
"Sudah mak. Dah siap semua. Haritu pun Yana dah pergi kursus kahwin." Lagi sebulan lebih majlis akad nikah antara Ayana dan Alauddin akan dilangsungkan. Sudah banyak persiapan yang telah dilakukan oleh mereka. Mereka hanya akan mengadakan majlis akad nikah terlebih dahulu seperti yang dirancang. Majlis nanti hanya akan dihadiri oleh saudara dan rakan terdekat sahaja.
"Alhamdulillah. Semoga semuanya lancar nanti... Mak nak pesan sikit dekat kamu Yana." Ayana yang mendengar kata maknya itu lantas menumpukan perhatian. Maknya seperti ingin mengatakan sesuatu yang penting kepadanya.
"Pesan apa tu mak?"
"Nanti bila dah berkahwin kamu kena ingat... patuh dan taat dengan suami, terima diri dia seadanya, dengar setiap arahan suami selagi tidak bertentangan dengan hukum agama. Layan suami dengan elok dan kalau ada masalah bincang elok-elok dengan suami kamu. Jangan bergaduh..." Mak Cik Amna merenung wajah Ayana yang tunak mendengar nasihatnya. Dia mahu anaknya itu hidup bahagia, sekiranya ajal dia sudah tiba nanti tidaklah dia risau kerana sudah ada seseorang yang akan menjaga dan menemani anaknya itu nanti.
Nek Aisah mengangguk sedikit kepalanya. Mengiyakan apa yang dipesan oleh anaknya itu. "Betul apa yang mak kamu cakap tu Yana. Hidup berumah tangga ni bukan sentiasa bahagia. Ada pasang surutnya. Macam lagu P. Ramlee dengan Saloma dulu... sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri, buang yang keruh, ambil yang jernih. Baru teguh peribadi..." Nek Asiah melepas senyum setelah dia habis menyanyi. Dia suka dengar lagu-lagu P. Ramlee. Banyak nasihat dan pengajaran yang boleh diambil daripada bait-bait lirik itu.
"Fuyoo..." Ayana tersenyum dan menepuk tangannya apabila mendengar tok ibunya bernyanyi. Jarang sekali dia boleh mendengar Nek Asiah menyanyi. Mak Cik Amna juga sudah tersenyum mendengar maknya menyanyi. Sungguh dia tidak sangka maknya akan menyanyi sebentar tadi.
Nek Asiah hanya tersenyum malu apabila mendapat pujian dari cucunya itu. Niatnya hanya mahu memberi pesanan kepada cucunya tetapi tidak sangka boleh pula dia menyanyi sedikit tadi.
"Haa, itulah perumpamaannya. Lidah kita pun kita boleh tergigit apatah lagi dalam hubungan suami isteri. Kalau ada masalah bawa bincang dengan suami. Jangan terus melulu buat keputusan atau ikutkan sangat rasa marah tu. Suami isteri perlu sentiasa berbincang dengan baik dan ada persefahaman. Bila kita ada persefahaman barulah boleh wujudkan suasana yang harmoni dalam rumah tangga yang dibina." Panjang lebar Nek Asiah memberi nasihat kepada Ayana.
"Iya, betul apa yang tok ibu kamu pesan tu. Selain tu, kita sebagai isteri kena rajin berhias diri di depan suami. Jangan biar mata suami kita ni tengok rupa serabai kita, cantik-cantiklah depan suami. Biar jadi isteri yang sentiasa menyenangkan hati suami. Hak suami pun kita kena jaga... dan bantulah ringankan beban suami. Hidup berumah tangga ni Yana kena saling tolong-menolong dan bertolak ansur. Memang kerja orang perempuan ni hanya melayan suami dan melahirkan anak. Kerja-kerja kemas rumah, basuh baju, lipat kain ni semua tugas suami tetapi kita sebagai isteri cuma membantu suami kita uruskan semua benda tu. Ringankan beban dia orang. Sebab tu mak cakap hidup berumah tangga ni kena saling bertolak ansur." Ayana tekun mendengar setiap patah perkataan yang keluar dari mulut maknya itu. Dia akan ingat setiap pesanan dan nasihat yang disampaikan oleh mak dan tok ibunya.
"Insya-Allah mak, tok ibu. Yana akan ingat setiap pesanan ni. Mak dan tok ibu doakan ya semoga rumah tangga Yana nanti bahagia sehingga ke syurga." Nek Asiah dan Mak Cik Amna tersenyum mendengarnya. Mereka sentiasa mendoakan kebahagian Ayana. Mereka berharap rumah tangga yang bakal dibina oleh Ayana bersama Alauddin akan berkekalan dan bahagia hingga ke syurga. Ibu bapa mana yang tidak mahu melihat anak-anak mereka bahagia. Kebahagiaan anak merupakan kebahagiaan bagi ibu bapa.
"MAK, kejap lagi Yana nak ke kandang Abang Al dengan Siti," ujar Ayana sambil melabuhkan duduk di sebelah maknya.
"Buat apa? Jangan kerap sangat berjumpa. Tak manis." Mak Cik Amna berkata sambil tangannya menuang air kopi ke dalam cawan Nek Asiah. Pagi ini dia telah menyediakan sarapan ringkas sahaja iaitu bihun goreng dan menggoreng karipap sejuk beku yang dibeli tiga hari lepas.
"Sekejap je mak. Ada hal sikit nak cakap dengan Abang Al." Ayana tersenyum nipis. Dia harus berjumpa dengan Alauddin untuk memberitahu sesuatu. Dia berharap lelaki itu tidak akan membencinya setelah dia memberitahu perkara yang sebenar.
"Hal apa?" sampuk Nek Asiah. Dia menghirup air kopi yang dituang oleh anaknya tadi. Sedap air kopi yang dibancuh oleh Ayana. Dia memang suka minum air kopi yang dibancuh oleh cucunya ini kerana Ayana memang pandai membancuh air kopi.
"Er... hal majlis nanti. Nak tanya fasal barang hantaran." Laju Ayana mencari alasan. Nasib otaknya cepat mencari jawapan. Sebenarnya barang hantaran semuanya dia sudah ada senarai, itu cuma alasan yang boleh dia cari untuk menutup hal sebenar yang ingin dibincang dengan Alauddin kepada mak dan tok ibunya.
"Hm, yelah. Jangan lama-lama," pesan Mak Cik Amna sekali lagi.
"Baik mak!" Ayana menarik senyum. Lega apabila maknya tidak menyoal lebih. Kalau tidak dia harus mencari alasan lain.
"Elok-elok bawa kereta tu Yana. Nanti dah sampai kandang mesej mak tau!" pesan Mak Cik Amna setelah Ayana masuk ke dalam kereta. Dia masih risau keadaan anaknya itu. Sudahlah pelaku yang membuat jahat kepada anaknya masih tidak diketahui siapa.
"Baik mak! Nanti Yana mesej mak..." Ayana mengundur keretanya. Dia perlu mengambil Siti terlebih dahulu di rumah Mak Cik Salimah. Setelah mengambil Siti dan berbual seketika bersama Mak Cik Salimah, Ayana terus memandu keretanya menuju ke kandang kambing Alauddin.
Bersambung...
Terima kasih sudi meluangkan masa baca cerita saya. Maaf sekiranya ada kekurangan 🫶🏻💜
YOU ARE READING
Ayana
Romance"Saya ikhlas cintakan awak Alauddin. Sejak dulu saya suka dan cintakan awak. Walaupun saya bukan yang pertama di dalam hati awak tapi awak yang pertama dan terakhir bertakhta di hati saya." - Ayana "... Aku tak layak untuk kau, Ayana." - Alauddin "S...