B A B 31

46 11 0
                                    

Sudah sebulan berlalu, esok Ayana akan pulang ke kampungnya. Cuti penggal sekolah telah bermula, dapatlah dia meluangkan masa dan berehat dengan lebih lama bersama mak dan tok ibunya. Sudah sebulan juga dia menanti jawapan daripada Alauddin. Tetapi lelaki itu tidak memberi sebarang kata putus kepadanya. Ayana mengeluh, haruskan dia berhenti mengharap kepada lelaki itu atau berikan sedikit lagi masa kepada Alauddin?

Atau dia perlu mengalah dan menerima orang yang mencintai dirinya?

Hariz.

Lelaki itu baru sahaja meluahkan kata cinta kepadanya seminggu yang lepas. Jujur dia sangat terkejut dengan apa yang diluahkan oleh Hariz kepadanya. Dia tidak menyangka bahawa lelaki itu sudah lama menyukai dia dalam diam. Tetapi dia sudah memberi kata putus kepada Hariz bahawa di dalam hatinya sudah ada nama lelaki lain. Masih Ayana ingat bagaimana Hariz meluahkan perasaan kepada dia semasa mereka berada di pantai bersama Alia minggu lepas.

"Yana... If you don't mind. Can we speak just two of us for a moment?" soal Hariz sambil tersenyum janggal.

"Kalau macam tu, aku tunggu kau orang dekat sana." Alia bangun dari duduknya dan berlalu ke arah deretan gerai yang menjual makanan.

Selepas kelibat Alia sudah agak jauh dari mereka, Hariz melabuhkan duduknya di hadapan Ayana. Dia merenung wajah wanita di hadapannya ini, Hariz menarik nafasnya untuk mengumpulkan keberanian.

"Ayana, saya harap apa yang saya nak beritahu awak ni tak akan buatkan awak terkejut."

Ayana yang mendengar bicara Hariz mula tidak senang duduk. Dia gelisah melihat cara pandangan Hariz kepadanya. Melihat Ayana hanya diam tidak membalas katanya, Hariz sambung bicaranya.

"Saya sebenarnya... saya... saya sebenarnya dah lama su... dah lama saya sukakan awak Ayana! Sejak zaman kita belajar lagi. Sejak pertama kali saya lihat awak, saya dah jatuh cinta dekat awak, Ayana. Hati saya terpaut dengan cara awak. Setiap apa yang awak buat berjaya menimbulkan satu rasa dalam hati saya. Tak pernah sehari saya lupa untuk curi-curi pandang dekat awak masa dalam kuliah dulu." Hariz diam seketika. Tangan kanan wanita itu naik menutup mulutnya sendiri. Dia tahu Ayana terkejut mendengar apa yang dikatakan olehnya sebentar tadi. Kemudian, Hariz menyambung kata.

"Tapi saya tahu, awak tak berminat untuk berkawan dengan lelaki. Sebab itu saya hanya pendamkan apa yang saya rasa. Lepas kita dah habis belajar, saya cuba untuk lupakan awak tetapi tak boleh, saya sentiasa teringatkan awak. Satu hari saya rasakan saya seperti bermimpi sebab terjumpa awak. Semuanya bagaikan bulan jatuh ke riba bagi saya bila saya ditukarkan ke sini. Saya berjumpa dengan awak di sini dan saya rasa kita berjodoh. Berjumpa awak di sini memberi saya satu harapan. Jadi Ayana, sudi tak kalau saya lamar awak untuk menjadi isteri saya? Awak mesti terkejut saya terus ajak awak kahwin... Tapi saya tak nak buang masa lagi, cukuplah dulu saya buang masa untuk mendekati awak." Selesai berkata Hariz menarik nafas lega. Dia lega kerana berjaya meluahkan perasaanya kepada Ayana. Sudah berhari dia tidak tidur lena kerana risau akan hal ini.

Ayana terkaku. Lidahnya kelu tidak mampu mengeluarkan kata. Otaknya tidak dapat berfungsi. Sungguh dia terkejut saat ini. Dia tidak sangka selama ini ada seseorang yang menyukai dirinya dalam diam.

"Maaf, Hariz... saya betul-betul terkejut dengan apa yang awak sampaikan tadi..." Ayana membetulkan duduknya. Dia terharu kerana ada yang menyukai dirinya tetapi dia tidak dapat menerima Hariz kerana di dalam hatinya hanya ada nama Alauddin.

"Terima kasih sebab awak jujur dan berani luahkan perasaan awak dekat saya... Saya minta maaf sebab tak pernah perasan dengan kehadiran dan perasaan awak terhadap saya selama ini. Tapi saya tidak sempurna seperti yang awak bayangkan... dan jujur... sekarang saya tengah tunggu seseorang. Saya harap awak boleh buka hati awak untuk orang lain, seseorang yang akan mencintai awak lebih dari awak mencintai dirinya. Awak baik Hariz, sangat baik. Sepanjang kita berkawan awak sangat hormatkan saya, tapi maaf... saya tak dapat balas perasaan ini." Ayana tersenyum kelat sambil matanya memandang Hariz yang tidak lepas dari merenung wajahnya.

Hariz terkedu mendengar jawapan Ayana. Dia tidak menyangka bahawa ada nama seseorang di dalam hati wanita itu. Tidak melatah, Hariz senyum kepada Ayana.

"Tak apa, Yana. Saya sanggup tunggu awak. Walaupun dalam hati awak sudah ada nama orang lain tapi selagi awak belum sah bergelar tunang atau isteri orang lain saya tak akan putus harap untuk memikat hati awak. Saya masih ada masa untuk jadikan awak milik saya, kan?" tanya Hariz.

"Tapi Hariz..."

"Saya tak kisah Ayana. Apalah sangat setakat nak tunggu awak lagi beberapa tahun kalau sudah empat tahun saya masih setia menanti awak," sampuk Hariz. Lelaki itu kelihatan tenang, bibirnya masih terukir senyuman.

Ayana bungkam. Dia tidak mampu membalas kata Hariz. Rasa bersalah bersarang di dalam hatinya. Balasan yang diberi oleh Hariz itu membuat hatinya tidak senang. Dia tidak mahu Hariz menunggunya kerana dia juga tidak tahu sampai bila dia akan menunggu Alauddin. Cukuplah hanya dirinya sahaja yang masih samar-samar dalam mencari jalan bahagia, dia tidak mahu Hariz menanti kepada sesuatu yang sia-sia kerana dia tahu bagaimana sakitnya menunggu seseorang yang tak inginkan diri kita.

Ayana melepas keluh. Semenjak dari hari itu, dia cuba mencipta jarak antara dirinya dan Hariz. Dia tidak mahu memberi apa-apa harapan kepada lelaki itu. Dia takut sekiranya ada tingkah lakunya yang akan membuat Hariz fikir dia sedang memberi ruang kepada lelaki itu. Hariz juga sepertinya, lelaki itu hanya berkelakuan biasa dan masih menjaga batasnya. Di sekolah, mereka hanya berbuat biasa seperti tiada apa yang berlaku. Tetapi tanpa Ayana ketahui jauh di sudut hati Hariz, lelaki itu masih mengharapkan dirinya.


Bersambung...


Terima kasih kerana sudi baca. Kalau tak keberatan saya nak minta jasa baik para pembaca untuk tekan butang vote. Terima kasih 🤍

AyanaWhere stories live. Discover now