Alauddin yang baru selesai menunaikan solat tahajud itu bersila di atas sejadah sambil bibirnya berzikir perlahan. Setelah selesai berzikir dia mengubah silanya kepada duduk di antara dua sujud. Lalu tangan diangkat untuk membaca doa,
"Ya Allah segala puji bagiMu, Engkaulah Tuhan penguasa langit dan bumi. Bagi-Mulah segala puji, Engkaulah yang benar, janji-Mu adalah benar, perjumpaan-Mu itu adalah benar, firman-Mu adalah benar, syurga dan neraka adalah benar, para nabi-Mu adalah benar, Nabi Muhammad SAW adalah benar, dan hari kiamat adalah benar.
Ya Allah, kepada-Mu aku berserah diri dan kepada-Mu aku kembali. Ya Allah yang Maha Pengasih, ampunilah dosa yang telah aku lakukan, dosa yang mendatang, dosa yang aku samarkan, dosa yang pernah aku lakukan secara terang-terangan dan dosa yang Engkau lebih mengetahui daripadaku.
Aku memohon kekuatan daripada-Mu ya Allah, berilah aku kekuatan untuk meneruskan kehidupanku di dunia-Mu ini. Bantulah aku dalam menjalani hidupku di dunia ini. Aku memohon petunjuk daripada-Mu, Engkau bantulah aku dalam membuat keputusan dalam hidupku ini. Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau dan tiada daya dan kekuatan melainkan dengan kekuasaan-Mu."
Selesai mengaminkan doa, Alauddin termenung seketika, dia teringat kembali perbualan di antara dia dan adiknya semalam.
"Abang Din betul-betul tak ada perasaan dekat Kak Yana ke?" soal Siti tanpa berselindung. Selepas pulang dari rumah Pak Cik Hashim, dia dan abangnya itu duduk di pangkin yang terletak di sebelah rumah mereka. Saja mahu mengambil angin malam.
"Kenapa adik tanya abang macam tu?"
"Sebab adik nak tengok abang bahagia."
"Hidup abang sekarang bahagia. Ada adik, along, mak dan ayah kita."
"Tahu. Tapi adik nak tengok abang lebih bahagia, dan bahagia abang adalah bila abang bersama dengan Kak Yana." Siti menekan sedikit perkataan 'lebih bahagia' itu, dia tahu abangnya bahagia dengan kehidupannya sekarang. Tapi dia nak abangnya lebih bahagia bersama orang tersayang.
"Tapi, abang tak layak dengan Ana. Abang dah lukakan hati dia dulu."
"Kalau abang nak cakap yang abang sakitkan hati Kak Yana dulu dengan hal abang nak berkahwin dengan arwah Kak Azwa baik abang lupakan. Kak Yana dah tak kisah fasal hal tu. Dia dah lama maafkan abang. Abang tak nampak ke yang Kak Yana masih tunggu abang."
"Macam mana adik tahu?"
"Mestilah adik tahu. Adik dan Kak Yana rapat tahu tak. Kalau adik telefon akak guna telefon rumah kita mesti akak tak pernah lupa nak tanya hal abang dekat adik. Kak Yana tu sayang gila dekat abang. Dari dulu lagi perasaan dia tak berubah. Jangan beritahu adik yang abang tak tahu hal ni. Adik yakin abang lebih tahu hal ni dari adik."
Terkedu Alauddin mendengar luahan adiknya itu. Dia tidak pernah terfikir bahawa Siti mampu berkata begitu kepadanya. Dia rasakan selama ini adiknya itu tidak tahu apa-apa mengenainya dan Ayana. Namun tanggapannya meleset, Siti lebih matang dalam memberi buah bicara. Alauddin mengeluh.
"Tapi, abang rasa abang memang tak layak untuk Ana. Bukan disebabkan hal abang pernah nak berkahwin dengan arwah Azwa. Tapi..." Alauddin berjeda seketika.
"Tapi apa?" tanya Siti tidak sabar. Dia perlu tahu kenapa abangnya itu selalu merasakan dirinya tidak layak dengan Ayana.
"Tapi kami berbeza. Adik tengok abang. Apa saja yang ada dekat diri abang ni? Belajar pun tak tinggi. Duit pun tak banyak. Macam mana abang nak tanggung Ana kalau abang kahwin dengan dia nanti? Lagipun Ana lebih layak pilih lelaki yang lebih sesuai dengan diri dia."
Ketawa Siti mendengar bicara abangnya itu. "Sebab ni saja ke abang tolak perasaan abang terhadap Kak Yana?" Alauddin hanya mengangguk walaupun sebenarnya ada sebab lain yang membuatkan dia berat hati.
"Abang bodoh." Terkejut Alauddin mendengar bicara adiknya itu.
"Siti!"
"Maaf adik cakap macam tu dekat abang tapi betul apa yang adik cakap ni. Abang bodoh. Takkan abang tak tahu Kak Yana tu macam mana? Abang rasa Kak Yana tu mata duitan ke? Kalau betul dia mata duitan, dah lama dia terima Kamil, anak Pak Karim tu.'' bidas Siti kegeraman.
"Kalau betul Kak Yana tu gilakan harta dah lamalah abang dia kahwin dengan Kamil tu walaupun perangai Kamil tu hauk! Pak Karim tu banyak duit boleh saja nak bela anak menantu dia."
"Tapi adik..." Tidak sempat Alauddin ingin berbicara, Siti terlebih dahulu menyambung katanya.
"Abang dengar dulu apa yang adik nak cakap. Kak Yana tu tak kisahlah dengan harta abang. Dia pun ada duit dia sendiri. Pak Ali, arwah ayah akak tu askar pencen ada harta dia tinggal dekat Mak Cik Amna dan Kak Yana. Akak tu tak kisah langsung kalau abang tak berharta, yang Kak Yana nak tu hati abang saja! Adik tahu abang masih cintakan Kak Yana kan?"
Alauddin hanya mendiamkan diri. Mengangguk tidak menggeleng pun tidak.
"Sudah-sudahlah tu abang menidakkan perasaan sendiri. Jangan menyesal dikemudian hari. Kalau satu hari nanti Kak Yana dah tawar hati terus dengan abang, jangan abang baru nak menyesal masa tu."
Alauddin seraya menghela nafasnya lalu dilepas apabila memori malam semalam tamat setelah Siti melangkah masuk ke dalam rumah. Dia duduk di birai katilnya dan termenung. Apa yang dikatakan oleh Siti kepadanya semalam masih berlegar di kepalanya. Sungguh, apa yang dikatakan oleh Siti itu menusuk masuk kedalam hatinya. Tak terbayang olehnya sekiranya suatu hari nanti Ayana melangkah pergi terus dari hidupnya. Ya Allah, bantu hamba-Mu yang lemah ini.
Bersambung...
Terima kasih kerana sudi baca. Kalau tak keberatan saya nak minta jasa baik para pembaca untuk tekan butang vote. Terima kasih 🤍
YOU ARE READING
Ayana
Romance"Saya ikhlas cintakan awak Alauddin. Sejak dulu saya suka dan cintakan awak. Walaupun saya bukan yang pertama di dalam hati awak tapi awak yang pertama dan terakhir bertakhta di hati saya." - Ayana "... Aku tak layak untuk kau, Ayana." - Alauddin "S...