B A B 16

56 12 2
                                    

"Yana tengah buat apa tu?" Mak Cik Amna tanya kehairanan setelah dia melihat anaknya itu sedang memasukkan beberapa bekas tupperware yang berisi makanan ke dalam beg makanan.

"Yana nak bawak bekal ni bagi dekat Abang Al."

Terjongket kening Mak Cik Amna mendengar bicara anaknya itu.

"Bagi bekal? Din ada dekat kandang ke?"

"Ya mak. Tadi Siti telefon bagitahu yang Abang Al dah pergi kandang. Jadi Yana ingat nak pergi jumpa abang Al dulu sebelum balik Perak petang ni."

"Kamu pergi seorang ke?" Mak Cik Amna menyoal anaknya. Dia tidak mahu la kalau hanya Ayana seorang sahaja yang pergi ke kandang. Tak manis kalau orang tengok.

"Tak. Siti ada ikut sekali. Mak jangan risau," jawab Ayana sambil tersenyum, dia tahu maknya risau sekiranya dia seorang sahaja ke kandang milik Alauddin.


SETELAH mengambil Siti di rumahnya, Ayana memandu menuju ke kandang kambing Alauddin. Semasa dalam perjalanan tiba-tiba keretanya di tahan oleh seseorang yang sedang menunggang sebuah motosikal. Mengejut Ayana menekan brek keretanya. Siti yang berada di tempat duduk penumpang mengucap panjang kerana terkejut dengan tindakan wanita itu.

"Siti tak apa-apa ke?" Ayana menoleh ke arah Siti yang masih dalam keadaan terkejut itu.

"Siti okay akak. Dah kenapa Kamil tahan kereta akak ni?" soal Siti sambil melihat ke arah Kamil yang sudah turun dari motosikalnya itu.

Kamil kemudian berjalan ke sisi bahagian pemandu dan tingkap kereta milik Ayana diketuk olehnya. Tetapi Ayana hanya membuka sedikit sahaja tingkap itu, dia tidak mahu mengambil sebarang risiko yang tidak diingini.

"Ayana! Bukalah luas sikit tingkap kereta kau ni. Aku dah lama tak jumpa kau. Aku rindu dengan kau, Yana."

Gerun Ayana yang mendengar suara Kamil itu. Bukan dia tidak tahu lelaki itu sudah lama menyukai dirinya tetapi dia sudah memberi kata putus kepada Kamil bahawa dia tidak menyukai lelaki itu. Pinangan yang pernah dihantar oleh Kamil juga sudah dia tolak dua kali tetapi lelaki itu masih tidak makan saman.

"Jangan kacau saya Kamil. Awak ni tak faham bahasa ke?"

"Ah, rindunya aku nak dengar suara kau yang merdu tu Ayana. Janganlah sombong sangat. Aku dah lama tak jumpa kau. Kenapa kau selalu mengelak dari jumpa aku?"

"Saya tak nak diganggu Kamil! Dah-dah la awak kacau saya." Tanpa membuang masa, Ayana mengundurkan sedikit keretanya lalu menukar semula kepada gear D dan memandu laju keretanya meninggalkan Kamil di situ.

"Tak guna kau Ayana! Tak apa. Kau jual mahal sangat dengan aku kan. Siap kau nanti!" balas Kamil kegeraman lalu dia bergerak ke motosikalnya.

"Akak hati-hati sikit dengan Kamil tu. Lain macam Siti tengok dia. Muka macam orang tengah high semacam."

Ayana ketawa kecil mendengar bicara Siti itu. "Ya akak tahu. Siti jangan pula bagitahu abang fasal hal yang jadi tadi tau."

"Kenapa?"

"Akak tak nak nanti abang Siti tu bergaduh pula dengan Kamil. Akak tak nak panjangkan cerita."

"Tapi akak..."

"Okay kita dah sampai. Jom turun. Ingat tau, jangan bagitahu abang hal tadi." Pesan Ayana sekali lagi lalu membuka pintu keretanya.

Siti mengeluh, dia tahu kenapa Ayana tidak mahu memberitahu Alauddin mengenai kejadian yang berlaku tadi. Dulu abangnya itu pernah membelasah Kamil kerana Kamil menyentuh tangan Ayana. Teruk Kamil dibelasah oleh abangnya dulu. Sampai mengamuk Pak Karim bila mengetahui anak kesayangannya itu dibelasah oleh Alauddin. Hingga tok penghulu itu ingin melaporkan kepada polis, nasib baik ayahnya berjaya memujuk Pak Karim dan membayar sedikit wang pampasan barulah orang tua itu reda sedikit kemarahannya.

Ayana yang sedang berjalan ke arah Alauddin perasan bahawa lelaki itu tidak lepas dari merenung wajahnya. Dia tersenyum malu, tindakan Alauddin itu membuatkan hati wanitanya berdebar.

'Abang Al, janganlah tengok Ana macam tu. Ana malu,' bisik Ayana perlahan di dalam hatinya.

"Amboi Abang Din! Tengok Kak Yana tak lepas noh." Suara Siti kedengaran sambil menampar lengan abangnya itu.

Alauddin yang bagai dipukau tadi tersentak setelah lengannya dipukul oleh Siti.

"Buat apa datang sini?" Alauddin berdeham sedikit sebelum menyoal Ayana. Dia juga lantas mengawal riak mukanya agar kelihatan dingin.

"Saya datang bawak sarapan dekat awak. Marilah makan. Mesti awak lapar kan?" kata Ayana sambil melangkah ke arah pondok kecil yang ada di hujung bahagian kanan kawasan kandang kambing Alauddin.

"Jom." Siti menarik lengan abangnya dan berjalan mengikuti langkah Ayana apabila dia melihat lelaki itu masih terkaku tidak bergerak.


Bersambung...

Terima kasih kerana sudi baca. Kalau tak keberatan saya nak minta jasa baik para pembaca untuk tekan butang vote. Terima kasih 🤍

AyanaWhere stories live. Discover now