B A B 42

45 11 2
                                    

"Alia, nanti datang tau majlis akad nikah aku. Boleh kau datang beraya sekali dekat kampung aku," tutur Ayana sambil tangannya mengangkat beg bagasi miliknya dan dimasukan ke dalam bonet kereta belakang.

"Ya, insya-Allah aku datang. Mana boleh aku tak tengok kau kahwin." Lagi seminggu majlis akad nikah Ayana. Sekejap sahaja masa berlalu, bulan Ramadan juga sudah dipenghujung. Masih sempatkah mereka untuk bertemu lagi di bulan Ramadan tahun hadapan?

Ayana tersengih ke arah Alia. Dipeluk tubuh rakannya itu. "Terima kasih Alia, kau selalu ada dengan aku. Kau jangan lupa balik rumah parents kau petang ni. Jangan berbuka sorang-sorang pula dekat sini," pesan Ayana. Bukan dia tidak tahu rakannya itu berat hati untuk pulang ke rumah ibu bapanya. Walhal rumah keluarga Alia sangat dekat dengan rumah sewa mereka.

Alia hanya ketawa mendengar pesanan Ayana itu. "Yelah, nanti nak dekat berbuka aku balik rumah parents aku. Kau tu, hati-hati bawa kereta! Tengah darah manis ni."

"Baik Kak Alia!" ujar Ayana sambil tangan diangkat membuat gaya tabik hormat. Tergeleng kepala Alia melihat kelakuan Ayana itu. Nak jadi isteri orang pun perangai macam budak-budak lagi.

"Dah-dah. Nanti lambat pula kau nak sampai sana. Nanti dah sampai mesej aku tau!" Ayana mengangguk sedikit kepala lalu bergerak masuk ke dalam kereta yang sudah dihidupkan enjin sejak tadi. Pintu bahagian penumpang ditutup dan dia memakai tali pinggang.

"Aku gerak dulu! Majlis aku jangan lupa datang tau!" Ayana menjenguk sedikit kepalanya untuk memandang Alia yang berada di pagar.

"Ya, aku datang nanti!" balas Alia sambil tangan melambai ke arah kereta Ayana yang sudah berlalu pergi.


"DIN!"

Alauddin yang sedang duduk bersandar di dinding pondok yang terletak di kandangnya tersentak apabila mendengar seseorang memanggilnya. Dia lantas memandang ke sebelahnya. Dahi Amar sedang berkerut memandangnya.

"Kau kenapa? Ada masalah ke? Dari tadi aku cakap dengan kau, kau diam je," soal Amar. Pelik dia melihat rakannya itu. Sejak dari tadi termenung, wajah Alauddin keruh seperti memikirkan sesuatu. Dia seperti bercakap dengan tunggul apabila Alauddin tidak membalas apa yang dia bicarakan.

Alauddin menggaru pelipisnya, sedar akan khilaf kerana tidak memberi perhatian semasa Amar berbicara bersamanya. Dia sedang memikirkan sesuatu.

"Kau kenapa?" tanya Amar sekali lagi.

"Aku tengah fikirkan sesuatu..." balas Alauddin perlahan. Otaknya sedang kusut. Dia masih tercari-cari siapa yang telah membuat jahat kepada Ayana tempoh hari. Walaupun perkara ini telah berlalu hampir tiga bulan tetapi hatinya masih tidak tenang kerana tidak tahu perbuatan terkutuk siapa yang hampir meragut maruah tunangnya itu. Sudah puas dia mencari petunjuk tetapi jejak lelaki itu lenyap begitu sahaja.

"Kau fikir apa? Pasal majlis kau nanti ke?" Amar yang tidak mengetahui hal yang pernah terjadi kepada Ayana beranggapan bahawa Alauddin sedang memikirkan soal majlis lelaki itu nanti. Alauddin hanya tersenyum nipis dan mengangguk sedikit kepalanya. Dia hanya mampu mengiyakan tanggapan Amar. Urusan majlisnya bersama Ayana nanti semuanya sudah siap dia uruskan, hanya menunggu hari sahaja. Semoga semuanya berjalan lancar.

"Kau jangan risau, insya-Allah semuanya baik-baik sahaja. Bulan mulia ni doa banyak-banyak. Minta semuanya dipermudah oleh Allah... Tak sangka aku, kawan aku seorang ni akhirnya akan menamatkan zaman bujang dia." Amar tersenyum memandang wajah Alauddin yang sudah bertukar ceria. Ditepuk perlahan bahu kanan lelaki itu.

"Terima kasih Mar. Doakan semoga semua urusan aku dipermudah dan lancar ya. Aku gemuruh juga bila fikir tentang majlis nanti." Hatinya berdebar-debar menunggu hari di mana dia akan melafaz akad untuk menjadikan Ayana sebagai isterinya. Sebulan ini juga dia banyak membuat kerja sampingan untuk mencari duit lebih, selain dari dia dan Azman membuka gerai di pasar Ramadan, Amar juga ada memberi dia upah kerana menolong lelaki itu di kedainya. Alauddin juga ada mengambil upah bertukang dan mengecat rumah orang kampung. Biasalah bila nak dekat raya, ramai yang mahu menghias rumah masing-masing agar kelihatan lebih cantik dan kemas.

"Aku sentiasa doakan kau, Din. Jangan fikir sangat hal ini, semuanya nanti..." Tidak sempat Amar ingin menghabiskan bicaranya, kedengaran bunyi motosikal berhenti di hadapan mereka. Kamil sedang menanggal topi keledar miliknya dan berjalan ke arah mereka. Muka lelaki itu kelihatan seperti sedang menahan marah.

"Tak guna kau, Din! Berani kau nak kahwin dengan Ayana!" Panas hati Kamil apabila terdengar perbualan di antara ayah dan ibunya tadi bahawa Alauddin akan berkahwin dengan Ayana pada hari raya keempat nanti. Itupun kebetulan dia terdengar kalau tidak sampai bila-bila dia tidak mengetahui akan hal ini.

Alauddin dan Amar sudah bangun dari duduk dan turun dari pondok itu. Alauddin kelihatan tenang tetapi Amar sudah cuak kerana melihat wajah bengis Kamil yang sedang berjalan ke arah mereka.

"Kau kenapa nak marah-marah ni Kamil?" soal Amar. Macam mana Si Kamil boleh mengetahui bahawa Alauddin dan Ayana akan bernikah nanti? Tidak salahnya, Alauddin memang mahu merahsiakan hal ini buat sementara waktu sehingga tiba hari pernikahan lelaki itu nanti.

"Macam mana aku tak marah! Kawan tak guna kau ni dah rampas Ayana daripada aku!" Tangan naik mahu menghayun penumbuk ke muka Alauddin namun tidak sempat penumbuk itu mahu menyinggah muka lelaki itu, Alauddin terlebih dahulu pantas mengelak. Alauddin menepis tangan Kamil lalu dia memulas tangan lelaki itu kebelakang sebelum ditolak tubuh itu hingga tersungkur Kamil dibuatnya.

Alauddin memandang ke arah Kamil sambil tersenyum sinis. "Sejak bila aku rampas tunang aku sendiri dari kau? Ayana bukan milik sesiapa sebelum dia jadi tunang aku. Kau jangan perasan lebih!" Alauddin menekan sedikit suaranya apabila menyebut perkataan tunang. Dia mahu Kamil sedar bahawa Ayana hanya miliknya seorang!

"Jangan nak tunjuk berlagak dekat sini. Kau tu mampu ke nak bahagiakan Ayana nanti? Dah la miskin, tak ada harta! Pakai pun motor cabuk! Ada hati nak kahwin dengan Ayana." Sengaja Kamil menyakitkan hati Alauddin dengan bicaranya. Dia menggosok tangannya yang terasa sengal akibat dipulas oleh Alauddin tadi. Tidak berani dia mahu mendekati lelaki itu lagi, dia terlupa Alauddin bukan calang-calang orangnya. Lelaki itu tahu ilmu silat.

"Jangan risau, aku tak akan biarkan isteri aku nanti hidup susah. Tahulah aku jaga isteri aku nanti. Kau tak payah menyibuk!" balas Alauddin selamba. Matanya merenung tajam ke arah Kamil, menghantar isyarat mata bahawa dia tidak bermain-main dengan katanya.

Kamil menelan air liurnya. Gerun dia melihat wajah Alauddin ketika ini. Silap dia tidak membawa seorang dua rakannya untuk datang ke sini. "Tak apa, sekarang kau boleh berlagak dengan aku! Tunggu satu hari nanti aku akan pastikan Ayana jadi milik aku! Aku akan buat dia bencikan kau nanti!!" Setelah itu, Kamil segera melangkah ke arah motosikalnya. Dia berjanji dia akan pastikan Alauddin dan Ayana tidak akan hidup bahagia!

"Ish, risau aku dengan Kamil tu, Din. Kau hati-hati sikit," tutur Amar setelah melihat kelibat Kamil hilang dari pandangan. Dia yang dari tadi memerhati tindak tanduk dan bicara Kamil rasa tidak senang dengan apa yang disampaikan oleh lelaki itu sebentar tadi.

Alauddin melepas keluh. Rungsing dia memikirkan soal Kamil. Lelaki itu sejak dulu selalu tidak berpuas hati terhadapnya dan selalu mengganggu tunangnya. Dia ada syak bahawa lelaki yang mempunyai niat buruk terhadap Ayana dahulu adalah Kamil tetapi setelah disiasat sewaktu kejadian Kamil tidak ada di sini.

"Insya-Allah, aku akan hati-hati. Kalau boleh aku tak nak pun cari pasal dengan dia. Tapi itulah dia yang selalu datang cari masalah dengan aku. Aku boleh berdiam diri kalau dia kacau aku saja tapi tidak kalau dia berani sentuh Ayana. Memang cari nahas!" Alauddin boleh berdiam diri dan bersabar selagi hanya dirinya yang dicaci tetapi dia paling pantang sekiranya soal keluarganya dan Ayana di sentuh. Dia tidak akan berdiam diri jika itu yang terjadi.



Bersambung...

Terima kasih kerana sudi baca cerita Ayana. Kalau tidak keberatan saya nak minta pembaca tekan butang vote untuk bab ini🙆🏻‍♀️💜

Korang rasa, siapa yang buat jahat dekat Ayana haritu?

AyanaWhere stories live. Discover now