"Abang Saiful!" Ayana lega apabila melihat kehadiran Saiful di situ.
"Kenapa ni Ayana?" Berkerut dahi Saiful yang melihat muka Ayana seperti ketakutan itu.
"Ayana!" Terdengar jeritan Kamil yang masih berada di dalam kedai. Dia masih tidak sedar dengan kehadiran abangnya itu. Saiful menoleh ke arah adiknya, matanya mencerlung tajam memandang ke arah adiknya itu. Kamil yang baru perasan dengan kehadiran abangnya lantas mengawal riak mukanya. Dia terus berlalu ke arah motosikalnya yang elok terletak di hadapan kedai runcit itu.
"Aku blah dulu abang. Kau pun dah ada," kata Kamil dan terus memandu motosikalnya. Kamil sebenarnya agak takut dengan abangnya itu kerana Saiful agak tegas dan garang dengannya berbeza dengan ayahnya yang lebih memihak kepadanya.
"Ayana okay? Kamil ada buat apa-apa ke tadi?" tanya Saiful kepada Ayana.
"Saya tak apa-apa abang. Kamil kacau saya tadi, tu yang saya lari keluar, tak jadi beli barang." Ayana menggeleng kepalanya. Dia melepas nafas lega setelah melihat Kamil telah berlalu pergi dari sini.
"Dia ada buat apa-apa ke? Siap dia balik nanti!" ujar Saiful kegeraman. Adiknya itu memang nak kena dengan dia. Berani kacau anak dara orang.
Eh, tak apa abang! Saya tak apa-apa." Ayana tidak mahu memanjangkan perkara tadi. Dia tidak mahu Saiful bergaduh pula dengan Pak Karim kerana Ayana yakin ayah Saiful pasti akan menyebelahi Kamil. Dia tidak mahu disebabkan dirinya mereka anak beranak akan bergaduh.
"Betul ke budak tu tak buat apa-apa dekat kamu?" tanya Saiful sekali lagi menginginkan kepastian.
"Betul Abang Saiful. Jangan risau," kata Ayana sambil tersenyum nipis.
"Jomlah masuk kedai. Tadi cakap nak beli barang kan?"
Ayana mengangguk kepalanya lantas membuntuti Saiful. Terhenti langkah Saiful apabila melihat sepaket tepung dan kopi yang bertaburan di atas lantai.
"Err...maaf abang. Tadi saya terjatuhkan barang-barang tu," ujar Ayana sambil melangkah ke arah bungkusan yang berada di lantai.
'Nasib baik tak pecah bungkusan ni,' bisik Ayana di dalam hati.
Berkerut dahi Saiful, dia merasakan bahawa ada sesuatu yang cuba dilakukan oleh adiknya kepada Ayana. Dia memandang ke arah Ayana yang sedang mengambil sebotol kicap manis dan melangkah ke arah rak yang terletak dengan pelbagai jenis sos.
"Betul ke Ayana, tadi Kamil tak buat apa-apa dekat kamu?" ujar Saiful sekali lagi apabila Ayana meletak barang yang ingin dibeli diatas kaunter.
"Betul. Tak ada apa. Jangan risau," balas Ayana sambil menghulur duit untuk membayar barang-barang tersebut.
"Tak apalah kalau kamu cakap macam tu. Kalau Kamil kacau kamu, kamu beritahu abang. Tahulah abang nak buat apa dekat dia," tegas Saiful berkata sambil menghulur plastik yang berisi barang kepada Ayana.
Ayana hanya mengangguk kepalanya sambil berkata, "Saya balik dulu ya. Terima kasih."
Di dalam kereta, Ayana menarik nafasnya. Dia terkejut dengan tindakan Kamil tadi, nasib baik Abang Saiful sampai tepat pada waktunya. Dia tidak menceritakan perkara sebenar kepada Saiful kerana tidak mahu lelaki itu bergaduh dengan ayahnya nanti. Pak Karim sering membela Kamil, seperti kes Alauddin membelasah Kamil dahulu kerana memegang tangannya. Pak Karim mengatakan bahawa Ayana yang menggatal dengan anaknya, tetapi Kamil pula yang mahu dipersalahkan. Dia malas mahu bergaduh seperti dahulu lagi kerana itu tadi dia hanya mendiamkan diri.
ALAUDDIN yang sedang berehat di pangkin itu tersentak apabila telefon nokia miliknya berbunyi. Dilihat pemanggil yang menelefonnya itu sebelum dia mengangkat panggilan tersebut.
"Assalamualaikum, Din. Sorry ganggu kau."
"Waalaikumussalam Amar. Tak ganggu pun. Kenapa call?"
"Esok pagi kau free tak?"
"Pagi-pagi selalu aku ke kandang je. Kenapa?"
"Kalau kau free aku nak minta tolong kau. Jaga kedai aku. Esok pekerja aku tu tak dapat datang. Dia ada emergency."
"Oh, boleh. Esok lepas balik masjid aku pergi kedai kau."
"Okay. Terima kasih Din!"
"Aku yang kena ucap terima kasih dekat kau. Dapat la aku kumpul duit lebih bulan ni," kata Alauddin sambil tersenyum. Dia sememangnya banyak melakukan kerja sampingan untuk mencari duit lebih.
"Apa cakap macam tu... Kita kan kawan," balas Amar, suaranya kedengaran tidak suka dengan apa yang dibicarakan oleh Alauddin tadi. Rakannya itu selalu merendah diri.
Alauddin hanya ketawa kecil mendengarnya.
"Okaylah, aku letak dulu. Jangan lupa esok," sambung Amar apabila Alauddin hanya ketawa. Alauddin menghembus nafasnya, esok dia dapat mengumpul duit apabila bekerja dengan Amar. Tadi pagi pun dia mendapat duit lebih setelah membaiki paip yang bocor di rumah Pak Cik Hashim. Minggu depan dia mengambil upah mengecat rumah Pak Cik Samad hujung kampung pula. Alhamdulillah, ada rezeki lebih untuk dia memberi duit kepada ibunya nanti.
AYANA menarik brek tangan keretanya. Pagi ini dia menemani maknya ke pasar untuk membeli barang basah. Maknya ingin memasak sup ayam kerana tok ibu teringin makan sup ayam hari ini.
"Dah jom. Pukul 7 dah ramai orang dekat pasar," ujar Mak Cik Amna sambil membuka pintu kereta.
"Kita beli ayam dululah. Takut ramai orang kejap lagi."
"Tak apalah. Mak pergi beli barang lain, biar Yana yang belikan ayam. Seekor kan?" Ayana menyoal. Dia menawarkan diri kerana tidak mahu maknya tergesa-gesa untuk membeli barang.
"Tak apa ke ni?" soal Mak Cik Amna. Bukan dia tidak tahu anaknya itu kurang pandai dalam perkara sebegini.
"Tak apa. Nanti Yana suruh orang tu pilih ayam yang fresh," balas Ayana yakin. Walaupun dia tidak tahu untuk memilih ayam yang mana, nanti pandai-pandailah dia menyuruh penjual itu yang pilihkan untuknya.
"Yelah. Beli seekor. Apa-apa call mak."
"Baik captain!" sahut Ayana ceria. Mak Cik Amna menggeleng kepala melihat kerenah anaknya itu.
Bersambung...
Terima kasih kerana sudi baca. Kalau tak keberatan saya nak minta jasa baik para pembaca untuk tekan butang vote. Terima kasih 🤍
YOU ARE READING
Ayana
Romance"Saya ikhlas cintakan awak Alauddin. Sejak dulu saya suka dan cintakan awak. Walaupun saya bukan yang pertama di dalam hati awak tapi awak yang pertama dan terakhir bertakhta di hati saya." - Ayana "... Aku tak layak untuk kau, Ayana." - Alauddin "S...