B A B 20

62 10 8
                                    

"Kau nak pergi mana ni Auni?" soal Mak Cik Joyah apabila melihat anaknya itu sudah bersiap seperti mahu keluar rumah.

"Auni nak pergi jumpa Abang Din. Lama pula tak tengok muka dia. Rindu!" Manja Auni cerita kepada maknya itu.

"Apa yang kau tengok dekat Din tu? Aku tengok dia tak ada apa pun. Kalau kakak kau kahwin dengan dia dulu entah-entah barang kemas dekat lengan ni tak ada langsung," ujar Mak Cik Joyah sambil mengangkat tangannya yang tersarung pelbagai jenis bentuk gelang emas. Pelik dia apabila anak-anaknya ini suka betul dengan anak saudaranya itu.

Dulu arwah anaknya, Azwa hendak berkahwin dengan Alauddin. Tiba-tiba sahaja anaknya itu minta ingin berkahwin. Terkejut dia, walaupun dia tidak berkenan dengan Alauddin tetapi dia tidak kisah siapapun pilihan anaknya itu. Sekarang anak kedua dia pula. Berkenan juga dekat Alauddin tu.

"Ish, mak ni. Abang Din tu handsome apa. Ntah-ntah Abang Din tu kaya. Dia ada kambing tau. Kedai burger dengan Abang Azman lagi."

Sebenarnya, Auni tidaklah begitu menyukai Alauddin tetapi bila dia terfikir balik rasanya lelaki itu tidak kurang hebat. Ada kandang kambing, kedai burger pun ada, jadi dia terfikir mesti lelaki itu berduit. Kalau kahwin dengan Alauddin mesti dia boleh goyang kaki. Jadi, sebelum Ayana dapat memiliki Alauddin baik dia yang masuk jarum dulu.

"Suka hati kau la Auni. Jangan balik lambat sangat. Aku bosan duduk seorang dekat rumah ni. Lagipun petang ni jangan lupa aku nak buka gerai jual kuih," ujar Mak Cik Joyah. Maklumlah, suaminya itu seorang nelayan. Jadi petang atau malam nanti baru balik rumah.

"Alah, mak ni. Yelah, kejap je Auni pergi. Petang ni Auni ikut mak buka gerai." Tanpa membuang masa, Auni segera keluar rumah lalu mencapai basikal miliknya. Dia terpaksa ke kandang Alauddin kalau ingin berjumpa dengan lelaki itu. Walaupun kandang kambing itu busuk tapi disebabkan lama dia tidak menatap wajah kacak lelaki itu dia sanggup ke sana.


"DIN, nanti abang aku datang nak beli dua ekor kambing kau. Dia nak buat kenduri aqiqah anak lelaki dia," ujar Amar kepada Alauddin.

Amar sekali-sekala suka datang dan duduk di kandang kambing Alauddin ini saja mahu meneman rakannya itu, boleh mereka berbual kosong.

"Eh, bila isteri dia bersalin?"

"Baru tiga hari lepas. Dia nak buat kenduri aqiqah tu dalam dua minggu lagi kut. Tu yang nanti dia nak datang sini beli kambing kau."

"Alhamdulillah. Seronok la abang kau dah dapat anak lelaki. Sebelum ni semua perempuan," balas Alauddin sambil tersenyum.

'Haih, bilalah dia nak dapat merasa mempunyai keluarga dan anak juga,' desis Alauddin dalam hati.

Ketawa Amar mendengar kata Alauddin itu.

"Gila tak seronok, abang aku tu dah lama teringin nak ada anak lelaki. Nanti kesian anak sedara aku yang baru lahir tu kena buli dengan kakak-kakak dia." Anak perempuan abangnya itu boleh tahan buas juga.

"Kau bila nak tambah anak pula," sakat Alauddin kepada Amar.

"Aku pula. Ada seorang tu dah cukup dah. Kalau ada rezeki ada la nanti. Kau tu, bila nak kahwin?" Soalan yang terpacul dari mulut Amar berjaya membuatkan Alauddin terdiam.

"Aku bukan apa Din. Nak juga aku makan nasi minyak kawan aku ni. Aku nak kau bahagia hidup berumah tangga. Kalau dulu arwah tak meninggal sebab kena langgar dengan pemandu mabuk tu mesti kau dah ada anak seorang macam aku. Entah-entah nak masuk dua orang dah."

Alauddin hanya tersenyum kelat mendengar bicara rakannya itu. Dia mengeluh, "Tak ada jodoh Mar. Nak buat macam mana."

"Ayana ada," kata Amar kepada Alauddin.

Bukan dia tidak tahu rakannya itu masih ada hati terhadap Ayana. Sejak mereka belasan tahun lagi dia tahu Alauddin memang menyukai wanita itu dalam diam. Lihat sahaja bagaimana cara lelaki itu melayani wanita itu dahulu. Semua orang boleh nampak yang Alauddin benar-benar mencintai Ayana.

Cuma dia juga agak terkejut apabila Alauddin tiba-tiba memberitahu yang dia akan berkahwin dengan Azwa tiga tahun lalu. Pelik juga dia tetapi siapalah kita untuk menidakkan hati dan perasaan manusia, mampu beralih arah.

"Aku dengan dia tak ada apa-apalah."

"Sampai bila kau nak berbohong dengan diri sendiri, Din? Jangan sekat kebahagiaan kau sendiri, kau pun layak untuk hidup bahagia. Aku tengok kau banyak berubah sejak kes kau nak kahwin dengan Azwa dulu. Macam ada yang tak kena. Kau ada pendam sesuatu ke?"

Alauddin dahulu bukanlah seperti sekarang, dulu lelaki ini sangat banyak mulut dan suka menyakat orang. Sekarang, dia lebih banyak mendiamkan diri atau hanya duduk termenung seorang diri.

Alauddin hanya tersenyum nipis. Dia menggelengkan kepalanya. "Aku okay. Tak ada apa. Mungkin bila kita dah semakin tua ni semakin banyak benda yang kita kena fikir. Jadi perangai kita pun berubah." Alauddin memberi alasan.

Amar hanya merenung wajah Alauddin setelah mendengar jawapan lelaki itu. Dia rasakan bahawa Alauddin sebenarnya ada menyorokkan sesuatu tetapi disebabkan dia tidak mahu memaksa lelaki itu dia hanya mengangguk sahaja mengiyakan bicara rakannya itu.

"Jadi soalan aku tadi macam mana?"

"Soalan apa?" Dahi Alauddin berkerut mendengar pertanyaan Amar itu.

"Ayana."

Alauddin mengeluh, "Betul. Aku tak ada apa-apa hubungan dengan dia."

"Tapi dia masih sukakan kau. Apa kata kau buka balik hati kau tu untuk dia. Lagipun dia sanggup terima kau. Walaupun aku terkejut dulu kau tiba-tiba nak kahwin dengan Azwa tapi aku dapat rasa kau masih sukakan dia, kan?"

Melihat Alauddin hanya mendiamkan diri, Amar menyambung bicaranya, "Istikharah Din. Minta petunjuk dan pertolongan dari Allah. Jangan lupa kita ada Yang Maha Pencipta, Tuhan kita. Jadi, serahkan diri dan urusan kita dekat Dia. Mohon pertolongan dariNya, sesungguhnya orang yang menyerah diri kepada Allah akan beroleh bahagia. Hati kita akan tenang."

"Aku tahu Din. Jauh dalam hati kau masih nakkan Ayana, kan? Tapi kau sekat rasa tu. Aku tak tahu sebab kau nak buat macam tu. Tapi satu aku nak pesan, jangan lari terlalu lama sampai kau buat yang mengejar letih untuk tangkap kau, Din. Aku takut nanti bila dia dah letih kejar kau, masatu baru kau tersedar dan waktu tu dah terlambat. Fikir-fikirlah apa yang aku cakap ni. Sebab aku nak tengok kawan aku bahagia," sambung Amar seraya menepuk perlahan bahu Alauddin.

Alauddin hanya diam mendengar apa yang dikatakan oleh rakannya itu. Nasihat yang diberi oleh Amar itu menusuk masuk ke dalam hatinya.



*Agak-agak, Alauddin akan terima Ayana ke?🤔

Bersambung...

Terima kasih kerana sudi baca. Kalau tak keberatan saya nak minta jasa baik para pembaca untuk tekan butang vote. Terima kasih 🤍

AyanaWhere stories live. Discover now