"Aku terima nikahnya Nur Ayana binti Ahmad Ali dengan emas kahwinnya berjumlah RM 550 tunai."
"Sah?"
"Sah!"
Lancar Alauddin melafazkan lafaz qabul di hadapan bapa saudara Ayana. Dengan sekali lafaz, Ayana telah sah bergelar isteri kepada Alauddin. Alauddin mengucap syukur di dalam hati, matanya berair menahan tangis. Dia sebak kerana akhirnya Ayana telah menjadi miliknya yang sah, Alauddin menjeling ke arah Ayana yang cantik memakai baju kurung pahang bersulam berwarna putih sedang berpelukan bersama maknya itu. Dia menadah tangan mengaminkan doa dan dipanjangkan syukur di dalam hati kerana Ayana telah sah menjadi isterinya. Setelah itu, dia bergerak mendekati Ayana yang sopan bersimpuh di atas sebuah kusyen pengantin berwarna putih. Wanita itu sedang tersenyum ke arahnya.
Alauddin memberi mas kahwin yang cantik dihias di atas bingkai embroidery kepada Ayana. Ini merupakan idea Siti kepadanya supaya membuat mas kahwin berbentuk embroidery. Setelah melihat bentuk dan hiasan tersebut terus dia bersetuju untuk memberi mas kahwinnya kepada Ayana dalam bentuk ini. Dia kemudiannya merenung wajah Ayana, cantik betul wanita ini hari ini. Wajahnya hanya dihiasi dengan mekap nipis, itupun sudah cukup menaikkan seri wajah wanita ini.
"Din!" Alauddin tersentak. Bahunya ditepuk dari belakang.
"Kamu termenung apa lagi?" tanya Pak cik Halim kepada anaknya. Apalah yang difikirkan oleh Alauddin, boleh pula anaknya itu termenung di hadapan isteri sendiri.
"Yana dah tunggu kamu tu..." Mak Cik Salimah sudah tersenyum melihat Alauddin sudah terkebil-kebil di situ.
Alauddin berdeham sedikit untuk mengawal malu. Macam manalah dia boleh mengelamun tadi. Lantas dia menghulur tangan kepada Ayana. Tangannya di sambut dan dia menyentuh kepala Ayana, dalam hati dia membaca doa agar rumah tangga yang dibina akan mendapat rahmat daripada-Nya. Setelah itu, dia mendekatkan sedikit kepalanya di tepi telinga Ayana dan berbisik...
"Assalamualaikum Nur Ayana, isteri dan cinta hati abang," ujar Alauddin dan setelah itu dia mencium dahi isterinya. Syahdu rasanya dan seperti mengalir rasa kasihnya kepada Ayana.
Ayana terkaku, wajahnya sudah panas setelah mendengar bisikan Alauddin tadi. Tidak sangka Alauddin akan berkata begitu. Dia merenung tangannya yang masih berada di dalam genggaman lelaki itu. Erat Alauddin menggenggam tangannya seperti menyalur rasa cinta kepadanya. Ya Tuhan, jika ini mimpi dia tidak mahu bangun dari mimpi ini. Indah! Sangat indah saat ini, doanya selama ini telah dimakbulkan.
"Lagi sekali cium dahi tu. Nak tangkap gambar ni." Akid memberi arahan. Tangannya sedang memegang kamera untuk menangkap gambar di hari bahagia adiknya.
Sekali lagi, Alauddin melabuhkan bibirnya di atas dahi isterinya. Tangan kanannya memegang lembut belakang kepala Ayana dan tangan kirinya erat menggenggam tangan wanita itu. Muka Ayana sudah berbahang menahan malu. Dia tidak sangka Alauddin akan melayaninya seromantik ini.
"Macam terbalik je, patut sarung cincin dulu..." Siti berkata. Dia sedang memegang dulang yang berisi dengan kotak baldu berwarna merah itu menyuarakan pendapatnya. Aiman yang berada tidak jauh dari situ tergelak mendengar apa yang dikatakan oleh Siti.
"Alah, tak apa. Lepas ni sarung cincin pula. Abang kamu tu tak menyabar betul," ujar Mak Cik Salimah sambil ketawa kecil. Orang yang berada di situ juga tergelak mendengar apa yang dikatakan oleh dua beranak itu.
Alauddin menggaru pelipisnya, segan kerana tersilap langkah. Dia kemudiannya memegang jari-jemari Ayana yang cantik dihiasi dengan inai lalu mengambil cincin yang berada di dalam kotak baldu merah itu kemudian menyarung cincin emas itu ke jari Ayana. Setelah itu, sekali lagi Ayana tunduk menyalam tangan suaminya.
YOU ARE READING
Ayana
Romance"Saya ikhlas cintakan awak Alauddin. Sejak dulu saya suka dan cintakan awak. Walaupun saya bukan yang pertama di dalam hati awak tapi awak yang pertama dan terakhir bertakhta di hati saya." - Ayana "... Aku tak layak untuk kau, Ayana." - Alauddin "S...