B A B 23

52 10 6
                                    

"Hoi Din! Burger daging special dua!"

Alauddin yang mendengar suara Kamil itu hanya mengangguk sambil tangannya lincah menyiapkan pesanan tersebut.

"Kau ni Din, aku tengok siang kerja, malam pun kerja. Tapi tak kaya-kaya pun," kutuk Kamil sambil ketawa terbahak-bahak bersama rakannya, Azrul.

"Betul tu! Aku sokong kau, Kamil. Dah la kau tak kaya Din, rupa pun tak ada, handsome lagi Kamil." Azrul menambah perisa. Dia memang suka menyokong apa sahaja yang dilakukan oleh Kamil kerana Kamil sering membelanja dia sesuatu.

Alauddin yang mendengar Kamil dan Azrul mengutuknya itu hanya mendiamkan diri. Dia malas mahu membalas kata-kata mereka itu. Tiba-tiba ada satu suara yang mencelah.

"Walaupun Din ni tak kaya, tapi dia rajin mencari duit. Ringan tulang, rajin jemaah dekat masjid pula tu. Cakap pasal rupa, aku tengok, Alauddin ni muka kacak saja. Badan pun sado! Helok lagi dari kau tu Kamil," kata Pak Tahir sambil ketawa kecil.

Kamil memandang tidak puas hati kepada Pak Tahir. Pak Tahir merupakan ayah kepada Amar. Kebetulan Pak Tahir teringin makan burger malam ni, lepas balik dari masjid terus dia singgah ke gerai Alauddin. Tak sangka setibanya dia di sini, dia terdengar apa yang Kamil dan Azrul katakan kepada Alauddin. Tidak tahan mendengar kutukan mereka, itu yang dia membela Alauddin.

"Lebih-lebih pula Pak Tahir ni. Bukannya baik sangat pun Din ni. Acah alim je lebih!" balas Kamil sambil mencebik mukanya. Meluat dia mendengar orang memuji Alauddin.

"Manusia Kamil, kita bukan maksum yang tak buat dosa. Manusia mana je yang tak terlepas dari membuat dosa. Kita kalau tak mampu nak menjadi baik, jangan halang orang lain nak berbuat baik." Pedas Pak Tahir berkata-kata.

Panas hati Kamil mendengar kata-kata Pak Tahir itu. Mahu saja dia membalas balik, tapi dibatalkan niatnya itu kerana Pak Tahir rapat juga dengan ayahnya. Dia tidak mahu imejnya di mata ayahnya rosak.

"Oi Din! Cepat sikit. Lembab la kau ni buat kerja. Buat burger je pun."

"Ya-ya, dah siap. Semuanya RM 7," ujar Alauddin sambil menghulur plastik burger kepada Kamil.

"Nah! Keep the change." Kamil melempar duit RM 10 kepada Alauddin lalu berlalu pergi. Dia saja memulas pendikit motosikal Yamaha Y15ZR miliknya untuk membuat bising di hadapan gerai milik Alauddin.

"Apa nak jadilah dengan Kamil tu." Pak Tahir menggeleng kepalanya melihat aksi Kamil itu. Tak sudah-sudah nak menyakitkan hati orang. Orang kampung buat tidak peduli dengan sikap Kamil pun disebabkan oleh ayahnya merupakan tok penghulu dan Pak Karim selalu membela dan memanjakan anaknya itu. Tak boleh diusik sikit anaknya yang seorang itu. Berbeza betul dengan perangai anak sulungnya, Saiful.


"YA MAK. Yana tengah on the way ni, dalam 20 minit lagi sampai... Jangan risau, Yana on speaker... Okay, nanti Yana singgah kedai runcit Abang Saiful beli barang yang mak pesan."

Ayana mematikan talian setelah menjawab salam maknya itu. Nampaknya sebelum sampai ke rumah dia perlu singgah ke kedai runcit terlebih dahulu untuk membeli barang yang dipesan oleh maknya.

Kemudian, Ayana teringat bahawa pulangnya ke kampung minggu ini adalah untuk meluahkan lagi isi hatinya kepada Alauddin. Dia mahu memberi kata putus kepada lelaki itu. 'Hurm, aku harap aku kuat nak teruskan niat aku ni. Ya Allah, permudahkanlah semua urusan hamba-Mu ini,' doa Ayana di dalam hati.

Setibanya di simpang tiga, Ayana memberi signal untuk membelok ke kiri. Kemudian dia memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan kedai runcit Saiful. Sambil membuka pintu kereta, mulutnya terkumat-kamit mengulang barang-barang yang perlu dibeli.

"Tepung bestari, kopi, kicap dan sos tomato," desis Ayana sambil melangkah keluar dari keretanya.

Ayana melangkah masuk ke dalam kedai runcit Abang Saiful sambil menyebut barang-barang yang dipesan oleh maknya itu. Dia takut terlupa.

"Tepung bestari, kopi, kicap dan sos tomato."

"Ayana!" sampuk satu suara.

Ayana yang terkejut namanya dipanggil itu terus melatah, "Oh, tepung bestari nak buat kopi!!"

Dia menoleh ke arah suara yang memanggilnya itu, dilihat Kamil sedang tersengih-sengih sambil berjalan ke arahnya.

'Ish, kenapa pula mamat ni ada dekat sini.'

"Wah! Makin cantiklah kau ni Ayana. Lama aku tak nampak kau," tegur Kamil sambil berdiri di sebelah wanita itu. Diperhati atas bawah tubuh wanita di hadapannya ini. Pakai simple macam ni pun cantik perempuan ni. Tidak rugi dia datang ke kedai abangnya hari ini, walaupun pada mulanya dia malas untuk menolong abangnya untuk menjaga kedai kerana abangnya itu mempunyai sedikit urusan tapi tidak sia-sia rupanya dia berada di kedai pada hari ini. Dapat jumpa crush!

Ayana hanya melangkah ke arah rak yang tersusun barang di hadapannya itu, dia malas mahu melayan Kamil. Lagi cepat dia pilih barang, lagi cepat dia boleh balik.

"Ayana, kau sihat? Jom, aku belanja kau makan malam ni," ujar Kamil sambil mengekori Ayana yang dilihat sedang memilih tepung.

Ayana tidak menjawab, dia hanya bergerak ke rak yang menempatkan pelbagai jenis botol kicap. Tangan kanannya mencapai botol kicap Cap Kipas Udang dan tiba-tiba dia merasakan tangannya dipegang oleh seseorang.

"Kau dengar tak ni? Aku tengah ajak kau dating," tanya Kamil sambil memegang tangan kanan wanita itu. Dia geram apabila Ayana langsung tidak melayaninya.

"Eh, apa ni. Lepaskan tangan saya, Kamil!" Ayana meronta agar tangannya yang digenggam oleh Kamil dilepaskan.

"Kau cakap dulu kau setuju nak keluar dengan aku, baru aku lepas."

"Tak nak! Lepaslah Kamil!" jerit Ayana sekali lagi. Dia cuba merungkai genggaman tangan Kamil tetapi tidak berjaya.

"Aku tak akan lepas selagi kau tak setuju," ugut Kamil lagi sambil menggenggam kuat tangan Ayana. Ditarik sedikit tangan itu agar tubuh Ayana rapat dengannya.

"Aku jerit nanti!"

Kamil ketawa kuat mendengar bicara Ayana, "Jeritlah! Tak ada siapa yang dengar, sayang..." Kamil tersenyum sinis ke arah Ayana. Ah! Hatinya memberontak ingin memiliki wanita ini. Dia akan pastikan Ayana menjadi miliknya!

Ayana melihat sekeliling, tiada langsung bayang-bayang pelanggan yang datang ke sini. Sekali lagi dia cuba melepaskan genggaman tangan Kamil namun tidak berjaya. Tiba-tiba dia merasakan tubuh Kamil semakin menghampirinya.

"Kau cantik Ayana, tapi kenapa mamat miskin tu juga yang kau nak," marah Kamil sambil cuba memegang pipi Ayana. Muka Ayana direnung tidak lepas.

Ayana lantas memalingkan wajahnya ke arah lain, tangan yang memegang sepaket tepung bestari dan kopi Hang Tuah itu lantas dibaling ke arah Kamil. Kamil yang terkejut dengan tindakan Ayana lantas menjarakkan tubuhnya untuk mengelak lemparan tersebut. Apabila tangan Kamil yang memegang tangan Ayana terlepas, wanita itu segera melarikan diri.

"Kau nak pergi mana Ayana! Kau tak jawab lagi soalan aku."

Sewaktu Ayana melarikan diri, dia terlanggar tubuh seseorang di luar kedai.

"Ayana!"


Bersambung...


Terima kasih kerana sudi baca. Kalau tak keberatan saya nak minta jasa baik para pembaca untuk tekan butang vote. Terima kasih 🤍

AyanaWhere stories live. Discover now