"Din, mak nak cakap dengan kamu sikit." Mak Cik Salimah bersuara sambil melabuhkan duduk di sisi suaminya.
Alauddin yang sedang duduk di kerusi di ruang tamu bersama ayahnya itu lantas mengalihkan pandangannya kepada maknya. Malam ini dia tidak ke gerai burger kerana sedikit letih setelah pulang dari masjid tadi. Badannya terasa lenguh mungkin disebabkan oleh petang tadi dia mengambil upah mengecat rumah Pak Cik Samad. Di sana, dia ada mengangkat dan mengubah kedudukan perabot setelah diminta oleh Pak Cik Samad. Mungkin disebabkan mengangkat perabot yang berat menyebabkan badannya terasa lenguh malam ini.
"Mak nak cakap apa tu?" soal Alauddin sambil tangan kanan naik mengurut bahu kirinya.
Pak Cik Halim yang berada di sebelah isterinya itu lantas memperlahankan suara di televisyen kerana mahu menumpukan perhatian terhadap perbualan ini.
"Mak ada sembang dengan Mak Cik Amna kamu semalam. Dia beritahu mak yang Ayana ajak kamu kahwin. Betul ke?" Semalam dia ada berjumpa dengan Amna di masjid, jadi adalah mereka berbual sedikit. Itu yang dia tahu mengenai perkara ini.
"Er, ya ada mak," jawab Alauddin sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal itu.
"Jadi?"
"Jadi? Apa yang jadi mak?" Alauddin mengerut dahinya. Tidak faham dengan pertanyaan maknya itu.
Mak Cik Salimah menepuk dahinya setelah mendengar jawapan anaknya itu.
"Jadi, apa jawapan kamu?"
"Din tak tahu la mak." Alauddin melepas keluh. Fikirannya keliru untuk memberi jawapan kepada Ayana.
"Apa pula tak tahu ni Din! Kalau suka beritahu, kalau tak suka beritahu juga supaya Yana tu boleh cari orang lain. Jangan buat orang tertunggu-tunggu Din. Tak baik." Tergeleng kepala Mak Cik Salimah mendengar jawapan anaknya itu.
"Betul apa yang mak kamu cakap tu. Kamu dah buat istikharah?" tanya Pak Cik Halim yang dari tadi hanya diam mendengar perbualan dua beranak itu.
Alauddin hanya menggeleng kepalanya.
"Istikharah Din. Minta petunjuk dan pertolongan dari Allah. Jangan lupa kita ada Dia. Serahkan segala urusan dekat Allah, nescaya hati dan kehidupan kita akan tenang. Jangan buat keputusan terburu-buru sampai nanti kita yang menyesal di kemudian hari."
Alauddin diam mendengar nasihat dari ayahnya itu. Dia menghela nafasnya lalu berbicara, "InsyaAllah ayah. Terima kasih atas nasihat yang ayah bagi... Din mohon doa dari mak dan ayah. Doakan Din ya."
"Mak dan ayah sentiasa doakan anak-anak kami. Kami nak tengok anak-anak kami bahagia. Din fikir elok-elok dulu ya sebelum buat keputusan. Macam yang ayah kamu cakap, istikharah. Doa minta pertolongan dari-Nya."
"ASSALAMUALAIKUM." Ayana memberi salam sambil membuka pintu rumah. Dia melihat jam dinding yang berada di ruang tamu itu, sudah hampir pukul 7 petang. Hari ini dia pulang lewat kerana mempunyai latihan rumah sukan di sekolah.
"Waalaikumussalam. Lambat betul kau balik. Selalu pukul 6:15 macam tu dah sampai." Alia yang sedang menonton televisyen itu menjawab salam Ayana. Dia lihat wanita itu meletak beg kertas di atas meja makan lalu berlalu ke dapur.
"Aku lambat sikit. Tadi ada buat pemilihan atlet baru. Tu yang lambat sikit," sahut Ayana dari dapur sambil memegang cawan yang telah diisi dengan air sejuk itu.
Alia hanya mengangguk kepalanya, lalu dia bangun dari duduknya untuk mendekati rakannya yang berada di meja makan itu.
"Kau nak makan? Tadi aku ada beli lauk."
"Boleh juga. Kejap lagi lah lepas mandi dan solat maghrib baru aku makan."
"Apa ni?" soal Alia apabila dia melihat ada beg kertas di atas meja makan itu.
"Coklat." Ayana menjawab sepatah.
"Fuyoo, Ferrero Rocher dengan Cadbury. Anak murid kau bagi ke?" tanya Alia teruja. Dia pula yang seronok lebih sebab dia hantu coklat!
"Bukan," jawab Ayana ringkas.
"Dah tu siapa bagi? Nak sikit boleh..." Meleret Alia menyoal sambil tersengih.
"Ambil lah. Kau makan je. Aku kurang sikit coklat ni."
"Kau tak jawab lagi soalan aku. Siapa bagi coklat ni?" soal Alia sekali lagi sambil mulutnya sudah disumbat dengan sebiji coklat Ferrero Rocher.
"Hariz," ujar Ayana sepatah.
Terhenti kunyahan Alia setelah mendengar sebaris nama itu.
"Aku syak, Hariz suka dekat kau!"
"Ish, apa kau merepek ni Lia."
"Betul... Aku dapat rasa. Masa kita pergi makan dengan dia tiga hari lepas lagi aku dapat nampak. Dia memang suka dekat kau." Mula-mula dia tidak yakin dengan firasatnya ini. Tapi setelah itu, dia rasa firasatnya tidak salah. Semasa Hariz belanja mereka makan tiga hari lepas, dia lihat Hariz selalu mencuri pandang ke arah Ayana. Cara lelaki itu pun dia lihat seperti ada hati kepada rakannya itu. Siap tolong kupas kulit udang dekat Ayana lagi. Lagi jelas bila hari ini Ayana mendapat coklat dari lelaki itu.
"Takkanlah. Dia anggap aku kawan je tu. Sebab dia kan baru pindah sini, maybe coklat ni dia bagi sebab nak ucap terima kasih."
"Aku tak rasa macam tu. Aku rasa dia anggap kau lebih dari kawan," jawab Alia yakin. Dia yakin Hariz mempunyai perasaan terhadap rakannya ini.
"Dah lah kau ni. Malas aku nak layan. Baik aku naik bilik, mandi, solat lepastu boleh makan," balas Ayana sambil melangkah ke arah tangga.
Alia hanya memandang ke arah Ayana yang telah menaiki tangga itu.
'Rumit betul kisah percintaan kau ni Ayana. Orang yang kau suka tak suka kau, orang yang suka kau, kau pula tak suka! Hailah, dari aku pening kepala fikir fasal ni baik aku sambung layan drama Hidden Love,' bisik Alia di dalam hatinya. Dia kemudian mengambil tiga biji coklat Ferrero Rocher lalu kembali duduk di sofa di ruang tamu.
Bersambung...
*Letak 1 lagi bab. Nanti saya update hari Isnin pula ya☺️
Terima kasih kerana sudi baca. Kalau tak keberatan saya nak minta jasa baik para pembaca untuk tekan butang vote. Terima kasih 🤍
YOU ARE READING
Ayana
Romance"Saya ikhlas cintakan awak Alauddin. Sejak dulu saya suka dan cintakan awak. Walaupun saya bukan yang pertama di dalam hati awak tapi awak yang pertama dan terakhir bertakhta di hati saya." - Ayana "... Aku tak layak untuk kau, Ayana." - Alauddin "S...