B A B 30

59 10 0
                                    

"Hai Yana! Awak busy ke?"

Ayana yang sedang ralit membuat kerjanya terhenti lantas mendongak kepalanya. Dia lihat Hariz sedang berdiri di sisi mejanya dan lelaki itu sedang tersenyum sambil memandangnya.

"Sibuk sikit sebab nak semak buku budak bagi habis," jawab Ayana sambil tangannya kembali bergerak menanda buku yang ada dihadapannya itu.

"Banyak lagi ke?"

"Ada satu kelas lagi tak habis semak. Kenapa?" Ayana menyoal Hariz kerana dilihat lelaki itu seperti ingin mengatakan sesuatu.

"Oh,... saya baru ingat nak ajak awak makan dekat kantin." Hariz menayang senyum kepada Ayana.

"Saya dah makan tadi dengan Kak Irah. Awak pergilah makan." Tolak Ayana lembut. Dia sebolehnya ingin membina jurang antara dia dan Hariz. Dia tidak mahu dirinya digosipkan dengan lelaki itu. Hal ini kerana Kak Irah ada menceritakan kepadanya bahawa ada cikgu-cikgu yang sibuk menggosipkan dirinya dengan Hariz. Dia tidak selesa kerana dia hanya menganggap Hariz sebagai seorang kawan sahaja.

"Bosanlah saya makan sorang-sorang. Sebab tu saya ajak awak. Tapi awak busy pula," ujar Hariz perlahan. Sebenarnya dia tidaklah lapar sangat, cuma setelah habis mengajar tadi dia lihat Ayana ada di dalam bilik guru, itu yang dia mahu mengajak wanita itu makan. Bolehlah dia meluangkan masa bersama Ayana tetapi wanita itu menolak pula.

"Maaf Hariz tapi saya ada kerja nak siapkan."

"Hujung minggu ni lepas merentas desa awak free?" tanya Hariz tidak mahu berputus asa.

Ayana terdiam mendengar soalan lelaki itu. Sabtu ini sekolah mereka mengadakan aktiviti merentas desa jadi dia rasa dia tidak akan pulang ke kampung. Lagipun dia ingin memberi ruang kepada Alauddin untuk berfikir.

"Lepas merentas desa saya ingat nak rehat saja dekat rumah," dalih Ayana memberi jawapan selamat.

"Hari Ahad awak free?" soal Hariz masih tidak berputus asa.

"Er,...saya... saya ada..." tidak sempat Ayana ingin membuat alasan Hariz terlebih dahulu memotong bicaranya.

"Please Yana! Saya nak ajak awak keluar. Main boling, jom?" Hariz masih berusaha untuk mengajak Ayana keluar. Dia ingin meluahkan perasaannya terhadap wanita itu.

"Tapi saya tak reti main boling," tipu Ayana. Padahal boleh dikatakan dia selalu juga keluar bermain boling bersama Alia sekiranya mereka berdua ada masa lapang.

"Kalau macam tu... kita keluar jalan-jalan sajalah. Boleh makan-makan."

Ayana menggaru pelipisnya, alasan apa lagi yang dia mahu gunakan untuk menolak ajakan Hariz ini. Dia buntu.

"Please Yana... Bolehlah. Lagipun saya baru lagi dekat sini. Awak bawalah saya jalan-jalan area sini," sambung Hariz masih tidak berputus asa.

"Tapi... saya tak selesa keluar berdua saja dengan awak." Ayana memberi alasan.

"Awak ajak kawan awak haritu. Siapa nama dia... Haa! Alia. Ajak Alia sekali," jawab Hariz masih berusaha untuk mengajak Ayana keluar bersamanya.

Tidak mempunyai alasan lagi, Ayana menghelas nafasnya lalu menjawab, "Nanti saya tanya Alia kalau dia free Ahad ni."

Tersenyum Hariz mendengar bicara Ayana, dia  berdoa di dalam hatinya agar Alia akan menerima ajakannya itu. Dapatlah dia meluangkan masa bersama Ayana hujung minggu ini dan merealisasikan hajatnya untuk meluahkan rasa hatinya kepada wanita itu.


ALAUDDIN sedang duduk di kerusi batu yang terletak di pekarangan masjid kampungnya itu. Disebabkan setiap hari Jumaat dia dan Azman bersetuju untuk menutup gerai burger mereka dapatlah dia mendengar ceramah yang diadakan di masjid sebentar tadi. Azman juga dapat berehat untuk malam ini.

Dia masih disini kerana sedang menunggu ayahnya yang sedang berbual bersama orang masjid. Tiba-tiba dia teringat ceramah yang baru dia dengar sebentar tadi,

"Dalam hidup kita ini pasti ada ujian dan dugaan. Kadangkala kita rasa ujian yang kita terima adalah ujian yang paling berat untuk diri kita. Sampai kita rasa nak berputus asa, berputus harapan dan asyik merungut dengan ujian yang menimpa. Oleh itu, kita kena ingat, semasa kita menghadapi dan menerima ujian waktu itu ada orang lain yang diuji dengan kematian ibu dan ayahnya. Ada orang lain yang diuji dengan kelaparan dan kemiskinan. Jadi, apabila kita diuji, sebutlah 'Alhamdulillah' kerana Allah menguji kita. Perlu kita ingat sahabat-sahabat sekalian, Allah memberi ujian kepada kita mengikut kemampuan hamba-hamba-Nya. Allah tahu kita mampu jadi sebab itulah kita diberi ujian. Syurga bukan percuma sahabat-sahabat sekalian. Ingatlah, ujian yang kita terima tidak sehebat orang-orang yang terdahulu diuji. Bersangka baiklah dengan Allah."

Alauddin menghembus nafasnya sambil meraup wajahnya. Hatinya tersentap mengingat kembali ceramah yang dia dengari sebentar tadi. Sungguh, dia khilaf. Dia hampir berputus asa apabila merasakan dirinya telah diuji dengan perkara yang dia tidak mampu hadapi. Sedangkan banyak lagi nikmat yang telah Allah beri kepadanya sehingga dia lupa untuk bersyukur. Baru sedikit ujian yang dia terima, dia sudah lupa dengan nikmat pemberian-Nya yang lain.

'Ampunkan hamba-Mu ini ya Allah. Aku khilaf dalam menghadapi ujian dari-Mu. Aku tidak belajar untuk reda dengan apa yang telah aku lalui. Aku lalai dalam mensyukuri nikmat pemberian-Mu kepadaku. Ampunkan aku, ya Allah,' bisik Alauddin di dalam hati.

"Din!"

Alauddin yang sedang termenung itu terkejut apabila mendengar suara Amar. Dia menggosok dadanya sambil melihat ke arah Amar yang sedang tersengih-sengih memandangnya.

"Kau ni, terkejut aku! Bagi lah salam dulu."

Amar yang mendengar teguran rakannya itu tersenyum sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal itu.

"Sorry bro. Aku tak tahu pula yang kau nak terkejut macam ni," kata Amar sambil melabuhkan duduk di kerusi batu sebelah Alauddin.

Alauddin hanya menggelengkan kepalanya.

"Kau ni macam ada masalah saja. Aku tengok dari tadi asyik termenung. Kau ada masalah ke?" ujar Amar. Sejak tadi dia memerhati Alauddin, tadi dia duduk bersembang bersama ayah Alauddin kerana ayahnya juga ada di situ dan dari jauh dia sudah memerhati rakannya itu. Alauddin hanya duduk termenung di kerusi batu ini dari tadi.

"Kau boleh share dengan aku. Aku kawan kau, Din. Mana tahu aku boleh tolong." Amar menyambung bicara apabila dia melihat lelaki itu hanya mendiamkan diri.

Alauddin mengeluh, dia kemudiannya menceritakan hal mengenai Ayana meluahkan isi hati kepadanya haritu. Amar hanya tekun mendengar sambil sesekali mengangguk sedikit kepalanya.

"Tak sangka apa yang aku syak haritu betul-betul terjadi," luah Amar setelah mendengar cerita rakannya itu.

"Hmm, aku pun terkejut."

"Jadi macam mana? Apa keputusan kau?"

"Aku... aku tak tahu Mar."

"Jujur dengan diri kau, Din. Sebenarnya kau masih ada hati dekat Ayana, kan?" Serkap Amar. Dia hanya mahu Alauddin jujur dengan dirinya, itu untuk kebaikan lelaki itu juga.

Alauddin meraup wajahnya, kemudian kepalanya dijatuhkan sedikit mengiyakan kata-kata Amar itu. "Aku... aku tak pernah lupakan dia Mar. Dia satu-satunya perempuan yang ada dalam hati aku. Hanya dia..." luah Alauddin.

Dia sudah tidak mampu lagi untuk menidakkan perasaannya terhadap Ayana. Setelah berminggu-minggu dia memohon pertolongan dan petunjuk dari Allah, hatinya kuat terarah kepada wanita itu. Cuma dia masih rasa bersalah terhadap Ayana, dia takut dia tidak mampu untuk membahagiakan wanita itu.

"Jadi kau tunggu apa lagi? Tak baik tangguhkan perkara baik."

"Aku risau... kalau... kalau dia tak bahagia dengan aku."

"Yakin Din! Serahkan urusan kita dekat Allah. Usaha dan tawakal. Alam perkahwinan ni Din, pasangan mana saja tak diuji. Mesti ada pasang surut. Yang penting komunikasi dan saling percaya antara satu sama lain," tutur Amar sambil menepuk perlahan bahu Alauddin.

Bersambung...


Terima kasih kerana sudi baca. Kalau tak keberatan saya nak minta jasa baik para pembaca untuk tekan butang vote. Terima kasih 🤍

AyanaWhere stories live. Discover now