B A B 26

52 9 7
                                    

Ayana melihat ke arah maknya yang sedang menumis bahan untuk membuat sup ayam itu manakala tok ibu yang duduk di sebelahnya dilihat sedang ralit melihat telefon bimbit. Dia yang sedang memotong lobak merah itu sedang teragak-agak untuk menyatakan hasratnya kepada mereka.

"Nak cakap apa Yana?" Terkejut Ayana apabila mendengar suara tok ibunya itu.

"Ish, tok ibu ni! Terkejut Yana tau," ujar Ayana sambil mengusap dadanya. Nasib tak terpotong jarinya tadi.

"Aku tengok kamu ni dari tadi terjeling-jeling tengok mak kau tu. Kenapa?" tanya Nek Asiah sambil meletak telefon bimbitnya, kemudian dia merenung wajah cucunya itu.

Mak Cik Amna yang mendengar bicara ibunya itu lantas menoleh ke arah mereka. "Kenapa Yana?" soalnya sambil memasukkan sup bunjut dan ayam ke dalam kuali.

"Er, Yana nak cakap... nak beritahu sesuatu dekat mak dengan tok ibu."

"Beritahu apa?" tanya Nek Asiah.

"Yana sebenarnya ada hajat... Yana nak kahwin dengan Abang Al." Setelah meluahkan hasratnya itu, Ayana merasakan terlepas bebanan di dalam hatinya. Dia lega kerana berjaya meluahkan apa yang dipendam di dalam hatinya itu.

Terlepas sudip yang dipegang oleh Mak Cik Amna setelah mendengar kata Ayana manakala Nek Asiah kelihatan tercengang mendengarnya.

"Kamu yakin ke Yana?" Serius suara Mak Cik Amna menyoal anaknya itu.

"Yakin mak! Yana ingat petang ni Yana nak beritahu sendiri dekat Abang Al. Yana nekad nak kahwin dengan dia."

"Kalau Din tu tolak?"

"Yana akan cuba lagi sampai dapat dia, tok ibu!" balas Ayana bersungguh-sungguh.

"Kenapa kamu nekad sangat ni Yana?" Pelik Mak Cik Amna melihat anaknya itu. Walaupun dia tahu Ayana sememangnya menyukai Alauddin sejak dahulu tapi dia tidak sangka secepat ini Ayana meluahkan hasrat ingin berkahwin dengan lelaki itu setelah apa yang terjadi.

"Yana dah dapat jawapan. Yana yakin kali ni. InsyaAllah, dengan izin Allah. Yana minta restu dan doa mak dengan tok ibu ya." Ayana berkata sambil tersenyum. Dia yakin dengan keputusannya kerana dia telah melakukan istikharah dan dia tidak mahu bertangguh lagi. Cukuplah sudah bertahun mereka membuang masa.

Mak Cik Amna menarik nafasnya, dia menoleh ke arah ibunya. Nek Asiah hanya mengangguk sedikit kepalanya dan tersenyum kepada anaknya itu. Nek Asiah tahu anaknya itu risau dengan cucunya. Tetapi mereka tidak mahu menghalang kerana mereka ingin melihat Ayana bahagia. Sekiranya Ayana yakin dengan keputusan yang dibuatnya, mereka akan menyokong dan mendoakan kebahagian wanita itu.

"Kalau itu yang kamu nak, mak sokong segala keputusan kamu. Bincang elok-elok dulu dengan Din ya." Mak Cik Amna menarik senyum kepada anaknya itu, dia lihat ibunya sedang menggosok bahu anaknya itu sambil tersenyum.

'Ya Allah, Engkau berilah kebahagian kepada satu-satunya anakku itu. Aku ingin melihat dia bahagia sebelum aku menutup mata. Kurniakanlah dia seorang lelaki yang dapat menjadi imamnya, pembimbingnya, baik akhlaknya dan mampu menyayangi dan melindungi anakku sepenuh hatinya,' doa Mak Cik Amna di dalam hati.


ALAUDDIN yang sedang duduk di pondok kecil yang terletak berdekatan dengan kandangnya itu sedang termenung sendirian. Fikiranya kusut memikirkan apa yang ingin Ayana bicarakan bersamanya nanti.

'Kalau apa yang Amar cakap tu betul...apa aku nak buat?' desis Alauddin perlahan, dia gelisah memikirkan segala kemungkinan. Lantas dia menghela nafasnya dan beristighfar untuk menenangkan dirinya.

Alauddin yang terdengar bunyi kenderaan masuk ke kawasan kandangnya lantas menoleh. Dia melihat kereta milik Ayana sudah elok terletak di kawasan hadapan kandang kambing itu. Kelihatan adiknya, Siti yang keluar terlebih dahulu dari perut kereta dan kemudiannya diikuti oleh Ayana. Wanita itu dilihat memakai baju berwarna hitam dan tudung bawal berwarna merah jambu, di tangannya ada memegang satu beg kertas dan sedang melangkah ke arahnya. Alauddin lantas mengawal riak mukanya dan menghela nafasnya.

"Abang Din! Ni Kak Yana ada bawa nasi dengan sup ayam. Tadi mak ingat nak suruh adik bawa bekal tapi tak jadi bila akak cakap dia dah sediakan," ujar Siti sambil melabuhkan duduk di sebelah abangnya itu.

Alauddin hanya mendiamkan diri sambil memerhati Ayana sedang menghidangkan makanan setelah wanita itu mengeluarkan bekas makanan dari beg kertas yang di bawanya.

"Jemput makan," kata Ayana sambil memandang Alauddin.

"Kau cakap nak cakap sesuatu."

"Kejap lagi lah. Awak makan dulu."

Tanpa banyak soal, Alauddin lantas membasuh tangannya lalu dia menjamah makanan yang telah dihidangkan oleh Ayana.

"Akak, sekolah okay ke?" tanya Siti untuk memecahkan kesunyian di antara mereka.

"Alhamdulillah okay. Cuma busy sikit je. Biasalah nak dekat exam ni kena buat kertas soalan."

"Mesti ada cikgu lelaki dekat sekolah tu yang mengorat akak, kan?" Siti mengusik Ayana.

Terbatuk Alauddin yang mendengar bicara adiknya itu. Ayana yang melihat keadaan lelaki itu lantas menghulur air kepadanya. Alauddin meneguk rakus air yang dihulur oleh Ayana sambil matanya menjeling ke arah Siti yang sedang ketawakannya di sebelah.

"Apalah abang ni, adik baru cakap macam tu dah terbatuk," sakat Siti sambil menepuk perlahan belakang abangnya.

Ayana hanya tersenyum melihat gelagat dua beradik itu.

"Akak, betulkan yang dekat sekolah ada orang ngorat akak?" tanya Siti lagi. Dia masih mahu mengusik abangnya dan dia dapat rasakan bahawa Ayana mesti diminati oleh seseorang. Takkan tiada sesiapa yang menyukai wanita di hadapannya ini, sudahlah cantik, baik, ceria pula tu.

Ayana hanya menggeleng kepalanya, "Tak adalah Siti. Lagipun cikgu dekat sekolah tu ramai yang dah kahwin."

"Ye ke akak ni?" Siti memandang Ayana sambil matanya sengaja dikecilkan.

"Ye betul."

"Dah la kau, dik. Bising je dekat sini. Baik kau pergi bagi kambing makan dekat sana." Alauddin yang dari tadi hanya mendiamkan diri tiba-tiba bersuara. Entah kenapa hatinya tiba-tiba rasa tidak senang dengan soalan Siti tadi.

"Eleh, abang jealous la tu. Jom akak, nak ikut Siti tak?" soal Siti sambil turun dari pondok itu.

"Boleh juga. Akak nak jumpa Aydd. Awak makanlah dulu." Ayana berjalan membuntuti Siti, dia mahu berjumpa dengan 'anaknya' yang seorang itu. Sudah lama dia tidak bermain dengan kambing itu.

Alauddin hanya menganggukkan sedikit kepalanya sambil hujung matanya memerhati langkah Ayana dan adiknya. Kepalanya sudah berfikir macam-macam perkara, dia berdebar untuk mengetahui perkara yang mahu dikatakan oleh Ayana kepadanya.


Bersambung...


Terima kasih kerana sudi baca. Kalau tak keberatan saya nak minta jasa baik para pembaca untuk tekan butang vote. Terima kasih 🤍

AyanaWhere stories live. Discover now