B A B 8

67 17 0
                                    

"Mak tengok apa tu kat luar?" Pelik Mak Cik Amna melihat tingkah laku ibunya yang sedang terhendap-hendap di tingkap ruang tamu rumah itu.

"Aku tengah tunggu Si Yana tu. Lambat betul beli burger."

"Macam mak tak kenal dengan cucu mak seorang tu. Teringin nak makan burger tu alasan dia saja, tujuan sebenar Yana tu sebab nak jumpa dengan Si Din tu."

Nek Asiah yang mendengar itu hanya terdiam.

'Jadi lambat lagi ke dia boleh makan burger. Ish budak Yana ni, aku dah la lapar nak makan burger. Boleh pula dia nak jual minyak dekat budak Din tu. Eh, bukan jual minyak tu patutnya lelaki ke yang memikat perempuan? Yana tu perempuan. Terbalik betul perangai cucu aku seorang ni,' bisik Nek Asiah dalam hati.

"Assalamualaikum!" Ayana memberi salam sambil meletak basikal milik ibunya itu di tepi rumah.

"Haa panjang umur. Balik pun kamu. Lambat betul tok tunggu kamu balik. Pergi beli burger ke pergi tolong jual burger sekali tadi." Perli Nek Asiah.

"Pergi beli burger la tok ibu. Kalau boleh beli tukang masak burger tu dah lama Yana beli sekali," jawab Ayana sambil tersengih ke arah ibunya yang sudah menggeleng kepala kepadanya.

"Kamu ni Yana, suka betul dekat Din tu. Memang la tok tengok dia budak baik. Rajin cari duit, selalu jemaah dekat masjid kampung kita ni. Tapi tok tengok tak ada pula dia tunjuk macam dia suka dekat kamu lagi."

"Tak apa tok ibu. Jangan risau, Yana akan pastikan Abang Al akan jatuh cinta semula dekat Yana," ujar Ayana bersungguh-sungguh.

"Yana, kamu tak ingat ke apa yang jadi dulu? Mak tak nak kamu kecewa buat kali kedua."

Mendengarkan bicara ibunya itu, Ayana terdiam. Teringat peristiwa yang terjadi tiga tahun yang lalu. Peristiwa di mana hatinya hancur disebabkan oleh lelaki itu. Masih dia ingat apa yang dikatakan oleh Alauddin kepadanya.

"Lupakan aku Ana. Aku dah tak ada perasaan dekat kau. Aku tak perlukan kau dalam hidup aku."

"Tapi Ana cintakan abang. Ana perlukan abang dalam hidup Ana. Abang Al..."

"Jangan panggil aku dengan panggilan tu lagi! Aku tak suka!" Terangkat bahu Ayana setelah mendengar suara Alauddin ketika itu. Tidak pernah Alauddin meninggikan suara kepadanya selama ini. Ini kali pertama! Bibir Ayana bergetar menahan tangisannya.

"Kau tak perlukan aku dalam hidup kau Ayana. Lupakan aku. Dia lebih memerlukan aku."

Tetapi Ayana tidak boleh menidakkan perasaan yang dia rasa sekarang. Walaupun hatinya pernah kecewa dengan tindakan lelaki itu tetapi nama lelaki itu masih kekal berada di dalam hatinya. Sudah puas dia cuba untuk membuang perasaan ini. Namun perasaan suka dia terhadap lelaki itu semakin mendalam. Ayana mengeluh.

"Yana ingat mak. Tapi... benda tu dah berlalu kan? Yana tak kisah. Yana sanggup terima Abang Al seadanya."

Mak Cik Amna yang mendengar bicara Ayana itu hanya terdiam seketika.

"Tok bukan nak masuk campur. Tapi Yana, apa yang mak kamu cakap tu betul. Kami bukan tak suka dengan Alauddin tu. Lagipun kami kenal dia dari budak tu kecil lagi. Aku tengok sendiri macam mana rapatnya kamu berdua sebelum ni. Sebab itu kami tanya banyak kali hal ni sebab kami tak nak kamu terluka lagi macam dulu."

"Insya-Allah tok ibu. Kali ni Yana yakin yang Yana boleh pikat kembali hati Abang Al."

"Kalau itu yang kamu cakap Yana, mak ikutkan aja la. Tapi kalau sekali lagi dia sakitkan hati anak mak ni, siap dia mak kerjakan." Nek Asiah yang mendengar kenyataan Mak Cik Amna turut mengangguk setuju.

Ayana hanya tersengih memandang mak dan tok ibunya itu. 'Oh Tuhan, beri aku kekuatan untuk mencari bahagia aku di dunia-Mu ini,' doa Ayana di dalam hati.


"MAK, malam ni jadi ke mak dengan tok ibu nak pergi rumah Pak Cik Hashim?" tanya Ayana sambil meletak teko air teh yang telah dibancuhnya di atas meja. Pagi ini maknya telah menyediakan nasi goreng untuk mereka bersarapan.

"Ya jadi. Lepas isyak mak ingat nak pergi. Kamu nak ikut?"

"Nak la mak. Lagipun bosan duduk rumah sorang-sorang."

"Yana ingat lepas sarapan ni Yana nak pergi rumah Mak Cik Salimah. Nak jumpa Mak Cik Salimah dengan Siti. Dah lama tak jumpa diorang." Sambung Ayana sambil tangan mencapai senduk untuk mencedok nasi goreng.

"Jumpa Mak Cik Salimah dengan Siti ke atau nak jumpa Alauddin tu." Perli Nek Asiah. Mak Cik Amna yang mendengarnya hanya ketawa kecil.

Sambil tersengih Ayana menjawab, "Kekasih hati Abang Alauddinku mestilah yang pertama."

"Macam-macam la kamu ni Yana. Jaga tingkah laku kamu tu sama bila depan orang tua Din tu. Risau mak dengan perangai kamu ni."

"Baik mak! Alaa, mak jangan risau. Lagipun semalam Siti yang call Yana ajak datang rumah dia pagi ni."

Siti memang rajin menelefon Ayana dengan menggunakan telefon rumah. Maklumlah budak sekolah tu mana ada telefon bimbit sendiri lagi. Disebabkan itu kadang-kadang dia dapat mengetahui keadaan Alauddin. Siti selalu bercerita kepada Ayana perihal abang keduanya itu sekiranya Ayana bertanya. Dapatlah juga Ayana mengetahui keadaan lelaki itu dan melepas rindu.





Bersambung...


Terima kasih kerana sudi baca. Kalau tak keberatan saya nak minta jasa baik para pembaca untuk tekan butang vote. Terima kasih 🤍

AyanaWhere stories live. Discover now