B A B 32

54 12 4
                                    

"Na, Din dah setuju!" Mak Cik Salimah berkata sambil tersenyum panjang kepada rakannya itu. Petang ini dia saja datang ke rumah rakannya itu, mereka duduk berbual di kerusi yang terletak di halaman rumah Mak Cik Amna.

"Betul ni Mah? Alhamdulillah... Yana mesti gembira." Mak Cik Amna mengucap syukur. Dia gembira dengan berita yang disampaikan oleh mak Alauddin itu.

"Ye, betul Na. Aku pun gembira sangat bila anak lelaki aku tu beritahu malam semalam. Dia cakap dia terima lamaran Ayana tapi nanti kami tetap datang hantar rombongan meminang untuk Ayana. Biar ikut adat," kata Mak Cik Salimah sambil menggenggam erat telapak tangan rakannya. Dia tahu sudah lama rakannya itu mahu melihat Ayana bahagia. Dia juga ada rasa bersalah dan terkilan dengan perbuatan Alauddin dahulu. Dia malu untuk berjumpa dengan rakannya ini setelah anak lelakinya itu mahu berkahwin dengan Azwa. Tetapi dia bersyukur kerana Amna tidak pernah mengambil hati, malah wanita ini masih melayani dan menerima Alauddin dengan baik.

"Aku tak kisah pasal hal tu Mah. Janji, Alauddin sanggup terima baik buruk anak aku tu. Aku cuma nak Ayana bahagia. Kalau dia boleh bahagiakan anak aku, aku dah tak kisah fasal hal lain."

"Jangan macam tu Na. Nanti kami datang meminang Ayana. Din pun cakap macam tu. Biar kami datang dengan penuh adab masuk meminang satu-satunya anak kau tu. Aku pun dah anggap Yana tu macam anak aku sendiri." Mak Cik Salimah berkata sambil tangannya menepuk lembut tangan Mak Cik Amna yang berada di genggamannya itu.

Mak Cik Amna tersenyum. Dia bersyukur sekiranya Ayana disenangi oleh Salimah. Dia tahu rakannya itu memang menyukai dan melayani anaknya dengan baik.

"Aku ikut je Mah. Kalau itu yang kau kata, itulah aku terima."

"Insya-Allah, nanti kami hantar rombongan meminang untuk Ayana dalam dua minggu lagi. Lepas majlis kenduri doa selamat yang aku nak buat untuk menantu sulung aku tu, lepas tu baru aku datang meminang Yana, ya." Minggu ini dia mahu mengadakan kenduri doa selamat buat menantu sulungnya itu untuk mendoakan kesejahteraan dan kesihatan wanita itu untuk melahirkan cucu keduanya nanti.

"Oh, betullah! Minggu ni kenduri doa selamat tu. Hari selasa ni, kan? Semua dah siap ke Mah? Kalau ada apa-apa yang kau nak aku tolong, beritahu je aku," tutur Mak Cik Amna. Kalau tidak salah dia, menantu Salimah itu hanya menunggu masa sahaja untuk bersalin.

"Alhamdulillah semua dah selesai. Halim dengan Din dah uruskan semuanya. Nanti kau datang tau. Aku jemput satu keluarga."

"Insya-Allah, nanti aku datang. Aku..." Tidak sempat Mak Cik Amna mahu menghabiskan katanya, kedengaran suara orang memberi salam.

"Oh, kau ada sini ke Mah?" kata Nek Asiah sambil menyambut huluran salam oleh wanita itu. Dia baru pulang dari rumah jirannya. Mencuci mata tengok kain-kain pasang yang baru diambil oleh jirannya itu. Adalah sepasang yang dia berkenan dan terus dia beli tadi.

"Ye, cik. Ni saya pun nak balik dah. Dah petang, takut Halim balik tak ada orang pula di rumah." Mak Cik Salimah berkata seraya bangun dari duduknya. Di rumah tiada sesiapa kerana Alauddin berada di kandang, Siti pula ada kelas tambahan di sekolah, jadi dia takut apabila suaminya pulang nanti tiada orang di rumah untuk menyambut.

"Eh, Na! Pasal hal tadi tu. Jangan beritahu Yana dulu ya? Kita rahsia dulu hal ni. Aku nak buat kejutan dekat dia nanti. Tak sabar aku nak bermenantukan Ayana!" Setelah bersalam dengan Mak Cik Amna dan Nek Asiah, Mak Cik Salimah meminta diri terlebih dahulu. Dia mengayuh basikal untuk pulang ke rumah, walaupun rumahnya dan rumah Amna tidak jauh tetapi dia tidak larat untuk berjalan kaki ke sini.

"Hal apa yang Mah cakap tu?" ujar Nek Asiah setelah kelibat Mak Cik Salimah hilang dari pandangan.

"Din, dia dah setuju. Dia terima Ayana, mak," balas Mak Cik Amna sambil memandang maknya itu.

"Alhamdulillah! Terbuka juga hati budak tu ya nak terima cucu aku." Nek Asiah tersenyum senang. Hati tuanya sangat gembira dengan berita yang disampaikan oleh anaknya. Sudah lama cucunya itu menunggu Alauddin, tidak sia-sia penantian dan usaha yang dilakukan oleh Ayana.

"Ya mak, Na pun gembira. Kalau Yana tahu ni mesti dia gembira sangat. Cuma tulah, Mah minta rahsiakan dulu. Dia nak buat kejutan katanya." Mak Cik Amna menggeleng kepala, macam-macam betul rakannya itu. Ada sahaja yang mahu dibuatnya.

"Lah, macam-macam betul kawan kau tu. Tak apalah, dah dia kata macam tu. Kita ikut sajalah dulu. Yana dia balik sini esok, kan?"

"Ya, mak. Katanya esok pagi dia bertolak balik sini. Sekolah pula dah cuti, lamalah dia duduk dekat sini."

"Baguslah, boleh kita ajak dia jalan-jalan ke bandar," seloroh Nek Asiah. Alamaknya, riuhlah rumah ini nanti dengan suara Ayana selama seminggu. Tidaklah terlalu sunyi. Sekiranya cucunya itu ada, rumah ini riuh dengan celoteh dan gelak tawa Ayana. Sungguh, cucunya itu penyeri di dalam rumah mereka.


"DIN!" tegur Mak Cik Salimah apabila melihat Alauddin baru pulang dari kandang kambing milik lelaki itu. Dia menghampiri anaknya yang berada di ruang dapur itu.

"Ya, mak!" sahut Alauddin. Dia yang baru sahaja mahu meneguk air masak yang telah dituang ke dalam gelas itu terhenti apabila diseru oleh maknya. Wajah maknya dipandang menunggu bicara wanita itu.

"Mak dah bagitahu Mak Cik Amna kamu tadi, pasal kamu dah terima Ayana. Nanti bolehlah kita fikir nak beli barang merisik semua. Kalau boleh, mak nak kamu kahwin cepat-cepat!" Mak Cik Salimah sudah tersenyum lebar. Di kepalanya sudah terbayang wajah Alauddin dan Ayana dalam persalinan baju pengantin.

Alauddin ketawa kecil melihat gelagat maknya itu. Kepalanya tergeleng, lucu dengan apa yang dikatakan oleh maknya. "Mak, tak lari pun Ayana tu. Din tak nak tergesa-gesa."

"Mana boleh! Kita kena cepat. Kamu ni, tak risau ke kalau Yana tu orang lain ambil. Melepas kamu nanti." Mak Cik Salimah cuba menakutkan anaknya itu. Dipandang anaknya yang sedang minum air itu.

"Yelah mak. Din pun kalau boleh tak nak tangguhkan benda baik tapi kita tunggu keputusan Ayana dulu. Apa yang dia nak, Din ikutkan sahaja," balas Alauddin setelah dia habis meneguk air masak di dalam gelas itu. Kemudian, dia bergerak ke sinki untuk membasuh gelas yang telah diguna olehnya.

"Yelah-yelah. Nanti lepas habis majlis untuk kak long kamu minggu ni, mak uruskan pula hal kamu dengan Yana. Tak sabar mak nak tengok kamu naik pelamin." Mak Cik Salimah berkata sendiri sambil dia melangkah keluar dari dapur. Dia mahu menyediakan pakaian buat suaminya untuk ke masjid maghrib nanti.

Alauddin hanya tersenyum melihat maknya itu. Gembira sungguh hati orang tua itu apabila dia memberitahu bahawa dia sudah bersedia untuk menerima Ayana sebagai permaisuri dalam hidupnya. Dia tersenyum sendiri, hatinya juga terasa bahagia. Setelah sebulan dia fikir masak-masak, akhirnya dia bersetuju untuk berkahwin dengan Ayana. Alauddin tidak lagi dapat menafikan bahawa dirinya sangat mencintai wanita itu. Dia ingin memulakan hidup bersama Ayana hingga hujung nyawanya. Tidak sabar dia mahu berjumpa dengan wanita itu. Sengaja dia tidak bertanya khabar atau berjumpa wanita itu selama sebulan, dia mahu memastikan bahawa keputusan yang dibuat tidak dipengaruhi dengan kehadiran Ayana.

Tuhan, permudahkan semua urusanku!



Bersambung...


Terima kasih kerana sudi baca. Kalau tak keberatan saya nak minta jasa baik para pembaca untuk tekan butang vote. Terima kasih 🤍

AyanaWhere stories live. Discover now