"Ayana, jom pergi makan?" Hariz mengajak Ayana untuk menjamu selera di kantin sekolah. Walaupun dia tahu Ayana sudah bertunang entah kenapa hatinya masih lagi tidak boleh menerima kenyataan itu. Hatinya masih tidak boleh melupakan wanita di hadapannya ini.
Ayana yang sedang sibuk menanda buku di mejanya tersentak apabila mendengar suara Hariz. Dia memandang sekilas wajah lelaki itu. Dia sebenarnya tidak berapa selesa apabila Hariz seperti masih cuba untuk rapat dengannya. Dia ingatkan setelah memberitahu statusnya kepada Hariz, lelaki itu akan menjauhkan diri daripadanya tetapi lain pula jadinya. Hariz seperti tidak menghiraukan perkara itu dan selalu mengajaknya makan berdua atau keluar bersama.
"Maaf Hariz, tapi saya ada kerja nak siapkan. Sekejap lagi saya ada kelas," tolak Ayana. Sekiranya Hariz tidak mahu mengalah dia pula hanya mampu mengelak dan terus menolak ajakan lelaki itu. Dia tidak mahulah bergaduh atau berdingin dengan Hariz kerana mereka rakan sekerja. Tidak seronok sekiranya bermasam muka bersama rakan sekerja.
"Ala, sekejap je. Teman saya makan dekat kantin. Please..."
Ayana menghela nafas. "Maaf, saya tak nak Hariz. Saya nak siapkan kerja saya." Ayana berkata tegas. Dia memandang sekeliling risau sekiranya ada cikgu lain yang melihat ke arah mereka. Nasib keadaan di bilik guru sekarang agak lengang, cikgu yang ada di dalam bilik guru masing-masing hanya diam di meja sendiri kerana sibuk menyiapkan tugasan.
"Tapi Yana..."
"Maaf Hariz, awak pergilah makan sendiri. Saya nak siapkan tanda buku budak. Kejap lagi nak bagi dekat dia orang," sampuk Ayana. Sekali lagi dia menolak ajakan lelaki itu. Dia lihat jam di pergelangan tangannya, lalu dia mengemas mejanya kemudian, Ayana mengambil beg tangannya dan berlalu dari situ. Biarlah dia ke kelas awal 15 minit. Dia lagi sanggup tunggu di hadapan kelas dari terus berada di bilik guru sekarang ini.
Hariz mengetap giginya. Dia terasa dengan tindakan Ayana sebentar tadi. Tidak salah sekiranya dia mahu mengajak wanita itu makan bersamanya, kan? Tapi Ayana sering mengelak darinya. Teringin dia mahu melihat siapa tunang Ayana, adakah lelaki itu lebih hebat darinya? Hariz mengepalkan tangannya.
"YANA, majlis kau nanti nak buat bila?" tanya Alia kepada Ayana. Mereka sedang menonton televisyen setelah makan malam sebentar tadi.
"Hm, kami ingat nak akad nikah dulu. Lepas puasa nanti. Maksudnya raya nanti kami akad nikah. Majlis pula hujung tahun ni." Itulah perancangan mereka. Lagipun lagi dua minggu akan masuk bulan Ramadan. Sempatlah mereka mempersiapkan segala keperluan.
"Tapi, tak sangka kau tunang masa kau ambil cuti haritu. Risau aku bila kau call cakap kau cuti lagi. Ingatkan hal apa lah, rupanya sorok nak bertunang ya." Ayana hanya tersenyum kelat mendengar kata Alia itu. Dia tahu Alia mesti pelik dengan tindakannya hari itu, tetapi dia bersyukur kerana Alia tidak memaksa dia untuk bercerita lebih. Alia tidak mengetahui apa yang terjadi kepada dirinya. Dia tidak menceritakan apa-apa kepada rakannya itu. Biarlah Alia tidak mengetahui apa-apa, dia tidak mahu membuat rakannya itu risau. Setelah Ayana memberitahu kepada Alia dia sudah bertunang dengan Alauddin, rakannya itu sungguh gembira. Tidak sangka Ayana akan bertunang secepat itu. Walaupun Alia agak terkejut tetapi dia tidak bertanya lebih, lihat wajah gembira Ayana sudah cukup membuatkan dirinya turut gembira.
"Dah sampai seru nak bertunang, tu yang terus sarung cincin haritu. Lagipun aku tak buat majlis apa pun. Keluarga lelaki je yang datang lepastu sarung cincin. Mak aku buat makan-makan sikit. Tu je. Aku minta maaf tak jemput kau haritu sebab semua jadi tiba-tiba," ujar Ayana. Alia hanya menggeleng kepalanya, dia tidak kisah pun tentang hal itu.
"Aku tak kisah laa. Janji masa majlis nanti aku dijemput!" jawab Alia sambil ketawa kecil. Sungguh dia tidak terasa langsung, itu hak Ayana. Buat apa dia mahu marah atau terasa hati. Dia hormatkan keputusan rakannya itu.
"Jadi, esok petang kau balik kampung ke tak?" tanya Alia. Esok hari Jumaat selalunya Ayana akan balik ke kampungnya sekiranya wanita itu tidak mempunyai sebarang aktiviti di sekolah. Berbeza dengannya, rumah ibu bapa Alia tidak jauh dari rumah sewa mereka. Lebih kurang 30 minit sahaja mahu ke rumah keluarga Alia. Dia sengaja keluar dari rumah keluarganya dan menyewa rumah lain kerana tidak sebulu dengan ayahnya. Ayahnya selalu mencari salahnya. Jadi, dari dia tertekan tinggal bersama keluarganya dia telah membuat keputusan untuk sewa sendiri.
"Ha'ah, aku nak balik. Aku ada benda nak bincang dengan Alauddin." Ayana menghembus nafasnya. Dia sudah tekad untuk memberitahu akan hal itu kepada Alauddin. Dia berharap Alauddin benar-benar tidak kisah dan marah kepadanya setelah dia memberitahu perkara sebenar.
"Eleh, ada benda nak bincang ke atau dah rindu dengan encik tunang sendiri," balas Alia sambil menciut pinggang Ayana. Dia sudah ketawa kuat apabila melihat wajah merah wanita itu.
"Mana ada lah!" nafi Ayana walaupun apa yang dikatakan oleh Alia itu sangat tepat. Dia memang merindui lelaki itu. Sekarang Alauddin rajin menghantar pesanan kepadanya untuk bertanya khabar setelah dia pulang ke sini. Dia tahu lelaki itu risaukan dirinya setelah apa yang berlaku. Sikap lelaki itu sudah berubah, berbeza dengan dahulu. Alauddin sekarang terlalu mengambil berat berkaitan dengan dirinya.
"Eleh! Muka dah merah macam tu pun tak nak mengaku lagi." Alia ketawa lagi sambil dicubit pipi Ayana. Ayana yang menerima cubitan itu menjerit kesakitan. Kemudian mereka sama-sama berbalas mencubit pipi sambil mulut Alia tidak lepas dari mengusik Ayana lagi.
"Dah! Dah! Aku mengaku kalah!" tutur Ayana apabila dia tidak tahan lagi dicubit dan digeletek oleh Alia. Ayana sememangnya sangat sensitif dengan sentuhan, dia cepat terasa geli apabila pinggangnya dipegang oleh seseorang.
Alia ketawa melihat wajah mencuka rakannya itu. "Haa, tahu pun!" ujar Alia sambil tersenyum kemenangan.
"Penat pula lepas bergusti dengan kau tadi. Aku nak ambil air. Kau nak tak?" Alia menyoal sambil dia bangun dari duduknya. Kakinya melangkah ke arah dapur
"Nak! Aku nak air horlicks kaw satu!" pinta Ayana sambil bibir menayang senyum manis ke arah Alia. Bukan selalu dia boleh membuli Alia, selalunya dia yang dibuli oleh wanita itu.
Tergeleng kepala Alia yang mendengar permintaan Ayana itu. 'Kemain kau, order horlicks kaw...' gumam Alia sendirian. Tangannya kemudian lincah mengambil cawan dan membancuh air yang dipinta oleh rakannya itu.
Bersambung...
Terima kasih sudi meluangkan masa baca cerita saya. Maaf kalau ada kekurangan 🙆🏻♀️💖
YOU ARE READING
Ayana
Romance"Saya ikhlas cintakan awak Alauddin. Sejak dulu saya suka dan cintakan awak. Walaupun saya bukan yang pertama di dalam hati awak tapi awak yang pertama dan terakhir bertakhta di hati saya." - Ayana "... Aku tak layak untuk kau, Ayana." - Alauddin "S...