"Hai Mak Cik Amna, banyak betul beli barang harini." Ramah Saiful menegur pelanggannya itu.
"Ya la Saiful. Harini anak aku tu nak balik. Aku nak masak sedap-sedap dekat dia," balas Mak Cik Amna sambil memilih sayur bayam.
"Ayana ke mak cik?"
"Yelah Saiful oii. Anak aku tu Ayana sorang saja. Mana aku ada anak lain."
Saiful tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Bukan dia tidak tahu, tapi saja tanya. Lagipun beberapa tahun yang lepas dia jarang melihat Ayana. Sejak peristiwa Ayana kecewa dengan Alauddin dulu sudah jarang dia melihat Ayana ke kedainya. 'Mungkin sibuk dengan kerja agaknya,' getus Saiful di dalam hati.
"Assalamualaikum Abang Saiful." Terdengar satu suara yang memberi salam di belakang mereka.
"Waalaikumussalam. Oh, Din rupanya ingatkan siapa tadi," ujar Saiful manakala Mak Cik Amna hanya memandang kearah Alauddin. Wajah Alauddin ditelek tidak lepas oleh Mak Cik Amna. Alauddin yang perasan akan hal itu jadi tidak tentu arah.
"Err, Abang Saiful, saya nak minyak masak dua paket boleh?" Alauddin bertanya kepada Saiful. Saiful yang perasan akan keadaan itu berlalu pergi ke belakang untuk mengambil minyak masak sambil meninggalkan dua orang manusia itu di situ.
Setelah melihat Saiful berlalu, Alauddin menoleh semula kepada Mak Cik Amna yang masih memandang kearahnya itu. Teragak-agak Alauddin memulakan bicara, "Mak Cik apa khabar? Sihat?"
Mak Cik Amna tersenyum nipis, "Alhamdulillah sihat. Kamu dari kandang ke ni?"
"Ya mak cik. Saya dari kandang. Sebelum balik rumah singgah dulu ke sini sebab nak beli minyak masak."
Suasana hening seketika dan hal ini membuatkan Alauddin berasa janggal. "Ayana kirim salam dekat kamu."
Ayat yang dilontarkan oleh Mak Cik Amna itu berjaya membuat Alauddin terkaku. Sudah beberapa bulan dia tidak mendengar khabar wanita itu. Bukan Ayana tidak pernah menghantar mesej atau menelefon dia tetapi dia saja yang jarang membalas.
Mungkin ini disebabkan oleh dia masih ada rasa bersalah kepada wanita itu. Dia yang menyebabkan hubungan antara dia dan Ayana renggang dulu. Peristiwa tiga tahun yang lalu. Peristiwa yang tak akan dia lupakan. Jadi dia tidak mahu terlalu memberi Ayana harapan. Dia tidak mahu wanita itu kecewa lagi.
"Waalaikumussalam. Ayana balik ke minggu ni mak cik? Seingat saya dah dua minggu Ayana tak balik sini," soal Alauddin tenang walaupun dalam hati sudah gugup.
"Balik. Ni petang nanti sampai la tu. Sebab tu mak cik datang kedai nak beli barang sikit. Nak masak lauk untuk Yana tu."
"Ayana sihat mak cik?"
"Sihat saja budak tu. Yana kalau telefon mak cik selalu tanya pasal kamu, Din. Kamu tak ada berhubung dengan dia ke?" tanya Mak Cik Amna sambil bergerak ke rak lain untuk memilih bawang.
"Err... ada juga kadang-kadang," balas Alauddin perlahan.
"Din! Ni minyak masak yang kau nak tu. Ada apa-apa lagi ke yang kau nak beli?" Kedengaran suara Saiful yang sedang memasukkan dua paket minyak masak ke dalam plastik.
"Mak cik, saya balik dulu ya. Nanti kirim salam dekat tok ibu dan Ayana." Alauddin tersenyum kepada Mak Cik Amna dan bergerak ke kaunter untuk membayar barang yang dipesan oleh maknya itu.
"Tak ada dah bang. Ni saja yang saya nak," ujarnya sambil menghulur duit.
"Abang dengar petang ni kamu nak pergi mesin rumput di kebun ayah abang. Betul ke?"
"Ya bang. Amar ajak saya tadi."
"Abang minta maaf ya kalau nanti ayah abang tu ada kata apa-apa dekat kamu," balas Saiful sambil mengeluh. Bukan dia tak tahu ayah dia merangkap tok penghulu itu suka betul mengata atau menyindir Si Alauddin. Jenuh dia menasihati ayahnya itu tetapi orang tua itu tidak mengendahkan nasihatnya. Malah, dia pula yang dimarahi oleh ayahnya.
"Tak apa. Bukan salah abang pun. Saya gerak dulu la ya," tutur Alauddin sambil mengambil duit lebih yang dihulur oleh Saiful.
Saiful hanya memandang belakang Alauddin yang berjalan ke arah motosikalnya itu. Kesian dia memikirkan nasib Alauddin itu. Selain ayahnya, adiknya juga suka mencari fasal dengan Alauddin. Dia pun tidak faham kenapa ayah dan adiknya itu tidak suka dengan Alauddin. Malah bermacam perkara yang berlaku kepada lelaki itu beberapa tahun yang lepas.
"Tengok apa tu Saiful. Jauh betul kau termenung," tanya Mak Cik Amna sambil meletak barang yang ingin dibelinya di atas kaunter.
"Tak ada apa mak cik. Saya ni kesian tengok Si Din tu. Saya tak faham kenapa ayah dan adik saya tu suka betul mengata dia," jawab Saiful sambil memasukkan barang yang dibeli oleh Mak Cik Amna ke dalam beg plastik.
Mak Cik Amna hanya terdiam setelah mendengar luahan Saiful itu. Dia tidak berani nak mengata apa-apa. Hati manusia ni tak boleh nak dipuaskan. Buatlah kebaikan apa pun pasti akan ada saja yang tak kena dimata manusia lain. Ada saja yang tak puas hati dengan apa yang kita lakukan.
"ASSALAMUALAIKUM. Mak, Din balik dah ni." Alauddin memberi salam sambil membuka pintu rumah.
"Haa dah balik dah. Pergi mandi dulu. Lepas tu kita makan sama-sama. Elok abah kamu pun baru balik dari rumah Pak Cik Hashim," balas Mak Cik Salimah kepada Alauddin.
"Baik mak." Alauddin berlalu ke biliknya. Tangan mencapai tuala mandi yang tersangkut di belakang pintu biliknya. Fikirannya tiba-tiba teringat kembali perbualan antara dia dan Mak Cik Amna di kedai runcit tadi.
Sungguh dalam hatinya sekarang bercampur pelbagai perasaan. Dia tidak faham dengan rasa ini. Mindanya teringat akan wajah Ayana. Sudah lama dia tidak bersua muka dengan gadis itu. Bukan Ayana tidak pernah bertanya khabar atau datang mahu berjumpa dengannya tetapi dia sahaja yang selalu mengelak. Hanya membiarkan pesanan ringkas dan panggilan yang diberi oleh Ayana tanpa dijawab. Entahlah dia tidak tahu mengapa dia berbuat begitu.
"Din! Cepat mandi. Sekejap lagi kita nak makan sama-sama." Bunyi ketukan dan suara di luar pintu bilik tidur Alauddin menyebabkan Alauddin yang sedang termenung itu tersentak setelah mendengar laungan suara Mak Cik Salimah.
Dia pantas menggeleng kepala dan segera membuang bayangan wajah Ayana di dalam fikirannya. Nafas dilepas dan tanpa membuang masa Alauddin bergegas ke bilik air untuk membersihkan diri.
Bersambung...
Terima kasih kerana sudi baca.
Kalau tak keberatan saya nak minta jasa baik para pembaca untuk tekan butang vote. Terima kasih 🤍
YOU ARE READING
Ayana
Romance"Saya ikhlas cintakan awak Alauddin. Sejak dulu saya suka dan cintakan awak. Walaupun saya bukan yang pertama di dalam hati awak tapi awak yang pertama dan terakhir bertakhta di hati saya." - Ayana "... Aku tak layak untuk kau, Ayana." - Alauddin "S...