"Cepat Yana! Lama betul kamu bersiap." Kedengaran ketukan di pintu dan suara Mak Cik Amna di luar bilik Ayana itu.
"Ya, kejap mak. Dah siap ni," jawab Ayana sambil tangan sibuk mencapai telefon bimbitnya yang berada di atas meja solek.
Sebelum keluar dari bilik Ayana sekali lagi memerhati penampilannya di cermin meja solek. Dia mengenakan sepasang baju kurung cotton berwarna ungu dan bercorak bunga-bunga kecil serta dipadankan dengan tudung bawal berwarna ungu lembut. Mulutnya hanya dicalit pelembab bibir berjenama Laneige untuk mengelakkan bibirnya kelihatan pucat dan kering.
'Tak sabar nak jumpa Abang Al!' kata Ayana perlahan sambil tersenyum memandang wajahnya yang terpampang di cermin itu.
"Yana! Sudah ke belum? Anak dara ni lama betul bersiapnya." Suara Mak Cik Amna sekali lagi menghiasi pendengaran Ayana.
Laju Ayana berjalan dan membuka pintu biliknya itu. Dia tersengih memandang wajah maknya yang sudah berkerut menunggunya, tok ibunya pula hanya tenang duduk di sofa ruang tamu.
"Sorry, lambat sikit bersiap. Tudung bawal ni tak jadi tadi." Jelas Ayana sambil bergerak keluar dari rumah untuk menghidupkan kereta miliknya itu.
"Jadi ke tak jadi ke dah cantik dah kamu tu Yana," ujar Nek Asiah kepada cucunya itu.
"Mana boleh tok ibu. Yana kena cantik malam ni. Biar Abang Al terpegun tengok Ayana kejap lagi." Ayana tersengih suka, Mak Cik Amna yang mendengar bicara Ayana itu lantas mencubit lengan anak gadisnya itu.
"Amboi! Gatal betul cucu mak seorang ni," adu Mak Cik Amna kepada Nek Asiah.
"Macam-macam kamu ni Yana. Sudah, jom gerak ke rumah Hashim tu. Nanti terlepas pula majlis."
"SITI, abang kau datang sini tak malam ni?" Sengaja Auni bertanya kepada Siti yang berada di sebelahnya itu. Bukan dia tidak tahu Alauddin sudah pasti akan datang ke majlis begini. Lagipun lelaki itu rajin membantu gotong-royong atau aktiviti yang diadakan di kampung mereka ini.
"Hmm." Siti hanya membalas perlahan soalan Auni itu. Dia tidak berapa suka dengan sikap Auni. Walaupun mereka sepupu tapi Siti tidak pernah sekepala dengan perangai Auni.
Auni hanya mencebik mendengar sahutan Siti itu. 'Dasar budak tak habis sekolah lagi. Tak tahu nak hormat orang yang lagi tua dari dia,' desis Auni perlahan.
"Siti!"
Terkalih kepala Siti dan Auni memandang ke arah gerangan yang memanggil nama Siti itu. Auni membuat muka meluat setelah melihat orang yang sedang berjalan ke arah mereka.
"Eh, Kak Yana. Lambatnya akak sampai. Siti tunggu akak tau dari tadi. Ingatkan akak tak jadi datang tadi." Lagi meluat Auni setelah mendengar ceria suara Siti yang sedang menyembang bersama Ayana itu. Tadi bukan main berat mulut betul budak tu tak mahu bersembang dengannya. Bila bersama Ayana riuh pula bercakap.
Ayana tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Salahnya juga sebab sibuk membetulkan tudung tadi. Ayana menoleh melihat Auni yang berada di sebelah Siti. Tangannya dihulur untuk bersalam dengan Auni. Wanita itu hanya membalas tidak acuh huluran tangan Ayana kepadanya.
"Hai Auni. Lama tak jumpa awak. Awak sihat?" tanya Ayana ramah. Dia sedikit pun tidak terasa dengan tindakan Auni itu. Dia tahu Auni tidak menyukainya kerana dia rapat dengan Alauddin. Wanita dihadapannya itu juga turut mempunyai perasaan terhadap Alauddin. Tetapi dia tidak faham kenapa tiba-tiba sahaja Auni menunjukkan minat terhadap Alauddin walhal sebelum ini Auni tidak pernah menunjuk minat terhadap lelaki itu.
"Aku elok ja hidup lagi. Kau tak payah sibuk sangat nak tanya fasal aku."
Siti yang mendengar bicara Auni itu berasa kurang senang dengan jawapan yang diberi oleh sepupunya itu.
"Mulut Kak Auni ni elok sikit tak boleh ke? Kak Yana tanya elok-elokkan. Tak boleh ke..." Terhenti bicara Siti setelah lengannya dicuit perlahan oleh Ayana. Ayana hanya tersenyum nipis dan menggeleng kepalanya tanda tidak mahu Siti meneruskan katanya itu.
Auni yang melihat hal itu berasa jengkel lalu dia berlalu meninggalkan Ayana dan Siti di situ.
"Kenapa akak tak bagi Siti tegur Kak Auni tadi. Biadap sangat cara dia tu."
"Biarlah, akak tak nak bergaduh dengan dia dekat sini. Malu orang tengok nanti. Jom, kita cari mak kita. Majlis nak mula dah tu." Ayana menarik tangan Siti supaya jalan beriringan dengannya. Dia malas mahu bergaduh dengan Auni di rumah orang. Air muka mak dan tok ibunya perlu dijaga. Bergaduh dengan orang macam tu hanya buang masa dan tenaganya sahaja. Selagi dia boleh bersabar nak hadap perangai Auni tu, dia akan bersabar.
Bersambung...
Terima kasih kerana sudi baca. Kalau tak keberatan saya nak minta jasa baik para pembaca untuk tekan butang vote. Terima kasih 🤍
YOU ARE READING
Ayana
Romance"Saya ikhlas cintakan awak Alauddin. Sejak dulu saya suka dan cintakan awak. Walaupun saya bukan yang pertama di dalam hati awak tapi awak yang pertama dan terakhir bertakhta di hati saya." - Ayana "... Aku tak layak untuk kau, Ayana." - Alauddin "S...