B A B 27

44 8 3
                                    

Krik, krik.

Itulah umpama yang boleh disamakan dengan keadaan Ayana dan Alauddin sekarang ini. Sepi! Kedua-duanya hanya senyap tidak mengeluarkan sebarang kata.

Alauddin melihat kearah adiknya yang sedang memberi makan kepada kambing-kambingnya itu. Setelah dia selesai makan sebentar tadi, dia menghampiri Ayana dan Siti yang sedang seronok bermain bersama kambing-kambingnya. Selepas itu, Ayana mengajaknya berbicara dan dia mengajak wanita itu ke pondok. Tetapi sejak tadi dia menunggu, Ayana tidak mempunyai tanda-tanda untuk memulakan bicara. Dia menoleh sekilas melihat wanita yang sedang duduk di hadapannya itu, Ayana hanya menundukkan wajahnya sambil bermain-main dengan jarinya. Wanita itu hanya diam dan seperti sedang memikirkan sesuatu.

Alauddin berdeham sedikit, cuba menarik perhatian Ayana.

"Tadi kau kata nak cakap sesuatu. Apa dia?" Alauddin memulakan bicara. Sekiranya dia tidak memulakan perbualan entah sampai bila Ayana akan mengunci mulutnya.

"Err,... saya..." Ayana menarik nafasnya. Dia tiba-tiba rasa berdebar dan takut. Berdebar untuk menyatakan hasratnya. Takut sekiranya dia dimarahi atau ditolak mentah-mentah oleh lelaki itu. Sekali lagi, Ayana berselawat di dalam hati dan dia menghembus nafasnya untuk menenangkan dirinya.

"Saya nak cakap fasal kita..." Ayana memejamkan matanya seketika sambil menghela nafas. 'Kau boleh Ayana!' bisiknya dalam hati.

"Ana nak cakap fasal kita. Macam yang Abang Al tahu, Ana memang suka dekat abang dari dulu. Ana tahu dulu Ana hanya bertepuk sebelah tangan. Walaupun dulu mula-mula Ana ingat kita berkongsi rasa yang sama, tapi Ana silap. Rupanya hanya Ana yang merasai perasaan itu. Ana akui,... jujur dulu hati Ana sakit... sakit sangat bila dapat tahu abang nak kahwin dengan Kak Azwa. Sebab cara abang layan Ana dulu buat Ana rasa disayangi. Ana ingat abang ada perasaan macam yang Ana rasa. Rupa-rupanya Ana hanya syok sendiri. Tapi Ana reda dan Ana janji nak buang perasaan tu jauh-jauh bila abang dah kahwin dengan akak. Tapi ..." Ayana berhenti seketika, hatinya sebak. Dia nekad untuk menukar kembali panggilan terhadap Alauddin dan dirinya seperti dahulu. Biarlah sekiranya dia akan dimarahi oleh lelaki itu, dia sudah tidak peduli. Mungkin dengan cara ini sedikit sebanyak dapat melembutkan hati Alauddin.

"Tapi lepas apa yang jadi dekat arwah, Ana keliru. Ana memang marahkan abang sebab Ana rasa abang dah main-mainkan perasaan Ana. Tapi, semakin Ana nak menjauhkah diri, semakin hati Ana rasa sakit. Sakit nak jauh dari abang. Jadi Ana nekad, Ana nak tawan hati abang! Ana tahu abang masih tak dapat lupakan arwah akak. Tapi Ana mohon... tolong beri Ana peluang dan ruang untuk bahagiakan abang. Tolong beri keizinan dekat Ana untuk isi sedikit saja ruang di dalam hati abang," luah Ayana sambil mengesat air mata yang sudah meleleh di pipinya.

Alauddin terpegun mendengar apa yang dibicarakan oleh Ayana itu. Hatinya rasa sakit dan pedih melihat air mata yang mengalir di pipi wanita itu. Dia rasa bersalah kerana telah membuat wanita itu bersedih dengan tindakannya dahulu. Sungguh dia tidak mempunyai niat untuk menyakiti Ayana.

"Tapi...aku tak layak untuk kau, Ayana," ujar Alauddin perlahan. Sungguh dia rasa dirinya tidak layak untuk memiliki Ayana. Dia hanyalah seorang manusia yang banyak dosa dan seorang penternak kambing. Dia tidak mempunyai harta. Bagaimana sekiranya Ayana berkahwin dengannya dan wanita itu tidak bahagia bersamanya? Apa perasaan wanita itu apabila mengetahui rahsia yang dia sembunyikan. Dia takut memikir segala kemungkinan yang akan terjadi.

"Kenapa Abang Al cakap macam tu?"

Alauddin mengeluh. "Aku ni tak ada apa. Aku tak kaya, tak ada banyak duit. Pekerjaan aku seperti abu di atas tunggul, datang angin terbanglah dia. Aku tak ada pekerjaan yang stabil. Aku belajar pun tak tinggi, setakat diploma saja. Kalau kau kahwin dengan aku, aku takut kau tak bahagia."

"Ana tak kisah abang! Ana tak kisah langsung fasal harta dan kelulusan abang tu. Ana senang dijaga. Makan nasi putih dengan telur dan kicap pun dah cukup. Janji Ana dapat hidup dengan abang," jawab Ayana bersungguh. Sungguh dia sanggup, dia tidak kisah. Kalau Alauddin tidak mampu membeli barang keperluan dia boleh menolong lelaki itu. Lagipun mereka boleh membuat perancangan kewangan dalam berbelanja selepas berkahwin nanti.

Terkedu Alauddin mendengar jawapan Ayana. Dia rasa nak tergelak mendengar bicara wanita itu. 'Orang tengah serius dia boleh lagi menjawab macam tu,' desis Alauddin perlahan.

"Jangan main-main Ayana. Hal perkahwinan ni serius. Berkahwin bukan nak hidup sehari dua sahaja bersama pasangan."

"Ana pun serius! Ana tak kisah fasal hal tu. Selagi ada abang di sisi Ana, Ana sanggup hadapi apa jua dugaan yang datang. Lagipun Ana yakin, Abang Al seorang yang bertanggungjawab. Tak akan abang nak biarkan isteri abang makan telur dengan kicap saja setiap hari," kata Ayana sambil tersenyum memandang Alauddin. Dia tahu bahawa lelaki itu merupakan seorang yang bertanggungjawab, dia sudah lama mengenali sikap Alauddin.

Melihat Alauddin yang hanya mendiamkan diri, Ayana menyambung bicaranya, "Ana ikhlas dan betul-betul sayang dan cintakan abang. Ana nak hidup bersama abang. Bina keluarga kecil kita sama-sama. Jadi, Ana nak lamar abang jadi suami Ana. Abang sudi?"

Teragak-agak Alauddin ingin membalas kata-kata Ayana. Hati dan akal saling berlawan, satu menyuruh dia mengangguk setuju, satu lagi menolak. Apa yang dia harus lakukan sekarang ini?

"Tak apa. Ana bagi abang masa untuk fikir," sambung Ayana setelah dia melihat Alauddin hanya diam dan seperti teragak-agak untuk memberi jawapan.

"Okaylah, Ana balik dulu ya. Ana harap abang fikir betul-betul dan nanti Ana dapat jawapan yang akan menggembirakan hati kita berdua," ujar Ayana sambil melangkah pergi.

Alauddin yang masih terkedu di situ meraup wajahnya. Dia kehilangan kata untuk memberi kata putus kepada Ayana. Dia mengangkat mukanya dan melihat ke arah wanita itu, dilihat Ayana memanggil adiknya dan berkata sesuatu. Setelah itu, Ayana memusingkan badan memandang ke arahnya sambil tangan wanita itu diangkat dan dilambai kepadanya.

"Ana balik dulu Abang Al!" teriak Ayana sambil tersenyum kepada Alauddin.

Siti yang melihat kelakuan Ayana itu lantas ketawa kecil. Dia mengikuti langkah wanita itu ke kereta.

"Amboi, senyum lebar nampak," usik Siti sambil memandang ke arah Ayana yang sedang memandu, wanita itu dilihat dari mula memandu sudah tersengih-sengih.

"Mestilah, hati rasa lapang dan gembira."

"Akak ada cakap apa-apa ke dekat abang?" soal Siti, tadi sebelum dia mengikut Ayana pulang, dia melihat abangnya itu hanya diam tidak berkutik di pondok.

Makin lebar senyuman Ayana, "Ha'ah, akak ajak abang Siti kahwin."

"Haa?!" Terkejut beruk Siti mendengar bicara Ayana.

"Akak betul ke ni?"

"Betullah. Siti tak suka ke?"

"Eh, bukan tak suka. Suka gilaaa! Cuma terkejut saja. Patut la abang diam je tadi masa kita nak balik."

"Siti doakan akak ya. Mudah-mudahan hati abang Siti tu lembut nak terima akak."

"InsyaAllah. Siti doakan Kak Yana dan Abang Din berjodohan dan bahagia dunia akhirat. Kahwin cepat-cepat, boleh bagi Siti anak sedara nanti!" ujar Siti sambil tersenyum nakal. Suka dia melihat wajah malu Ayana.

"Amboi!"

Ayana ketawa mendengar permintaan Siti itu, dalam hati dia berdoa kepada Allah agar dipermudah segala urusannya dan diberi kekuatan untuk dia menerima apa jua jawapan Alauddin nanti. Semoga lelaki itu terbuka hati untuk menerima dirinya.


Bersambung...


*Agak-agak Alauddin nak ke kahwin dengan Ayana 🤔

Terima kasih kerana sudi baca. Kalau tak keberatan saya nak minta jasa baik para pembaca untuk tekan butang vote. Terima kasih 🤍

AyanaWhere stories live. Discover now