Ayana terdiam seketika, tidak terus menjawab persoalan Alia itu, dia teringat kembali peristiwa yang berlaku tiga tahun yang lalu.
Sudah empat kali Ayana cuba menghubungi Alauddin, tetapi panggilannya tidak dijawab. Ayana mengeluh, semalam elok saja mereka berbalas mesej. Tidak pernah Alauddin berperangai sedemikian selama ini. Malah selama enam bulan dia pindah ke Perak kerana ditempatkan mengajar di sini pun Alauddin masih melayaninya seperti biasa tetapi kenapa sekarang jadi begini.
"Mana Abang Al ni. Tak akan tidur kut? Abang jarang tidur waktu petang, selalu kalau tidur mesti dia akan angkat juga call sebab Abang Al bukan jenis tidur mati," bisik Ayana perlahan sambil tangannya laju menaip mesej untuk dihantar kepada Alauddin.
Dah seminggu Alauddin tidak membalas mesej atau mengangkat panggilan telefon darinya. Ayana mula tidak sedap hati. Dia takut sesuatu terjadi kepada lelaki itu. Ingin bertanya kepada maknya tetapi baru semalam dia menelefon maknya untuk bertanya khabar tetapi maknya tidak mengatakan apa-apapun mengenai Alauddin. Kalau terjadi apa-apa pada lelaki itu mesti maknya akan memaklumkan kepadanya.
"Tak apalah, hujung minggu ni nak balik kampung juga. Haih Ayana tak sampai setahun lagi jauh dari Abang Al kau dah gelabah macam ni," Ayana berbisik untuk menenangkan hatinya.
"Abang Al! Betul ke apa yang mak beritahu Ana?" ujar Ayana sambil mengambil nafas. Dia berlari dari rumahnya ke rumah Alauddin untuk memastikan apa yang didengari dari maknya tadi itu salah.
"Apa?" balas Alauddin dingin. Dia langsung tidak memandang ke arah Ayana.
"Mak cakap abang... betul ke... betul ke abang nak... kahwin dengan Kak Azwa?" Teragak-agak Ayana menyoal. Ya Tuhan! Tolong, katakan itu semuanya tidak betul.
"Ya. Aku nak kahwin dengan Azwa. Lagi dua bulan kami akan kahwin," jawab Alauddin dingin.
Ayana seakan terdengar bunyi petir di telinganya. Dia terkaku mendengar bicara lelaki itu. Dadanya sakit, matanya panas menahan tangisan dari keluar.
"Tapi kenapa? Abang bukan suka An..."
"Bila masa aku cakap aku suka dekat kau? Kau yang perasan." Tidak sempat Ayana menghabis kata Alauddin terlebih dahulu bersuara.
Alauddin kalih memandang Ayana, dia tersenyum sinis. "Kau dengan aku tak pernah ada apa-apa hubungan. Jangan berharap lebih."
"Tapi selama ini Ana tahu kita berkongsi rasa yang sama abang. Jangan tipu Ana! Tolong, Ana merayu dengan abang. Ana perlukan abang dalam hidup Ana. Jangan buat Ana macam ni abang! Please!" rayu Ayana sambil dikesat air mata yang telah mengalir di pipinya itu.
Alauddin hanya memandang kosong ke arah Ayana, "Lupakan aku Ana. Aku dah tak ada perasaan dekat kau. Aku tak perlukan kau dalam hidup aku. Aku tak akan ubah keputusan aku untuk berkahwin dengan Azwa."
"Tapi Ana cintakan abang. Ana perlukan abang dalam hidup Ana. Abang Al..."
"Jangan panggil aku dengan panggilan tu lagi! Aku tak suka!" Terangkat bahu Ayana setelah mendengar suara Alauddin ketika itu. Tidak pernah Alauddin meninggikan suara kepadanya selama ini. Ini kali pertama! Bibir Ayana bergetar menahan tangisannya.
"Kau tak perlukan aku dalam hidup kau Ayana. Lupakan aku. Dia lebih memerlukan aku," sambung Alauddin seraya berlalu masuk ke dalam rumahnya meninggalkan Ayana di situ sendirian.
"Jadi maksud kau, lepas enam bulan kau pindah sini perangai dia berubah?"
"Ya, mungkin selama aku tak ada di kampung hati dia dah beralih arah kut. Atau memang sejak awal aku saja yang perasan dia suka aku dan bertepuk sebelah tangan. Arwah Kak Azwa tu cantik tau, lemah lembut lagi. Memang patut pun lelaki yang aku sayang tu boleh jatuh cinta dekat dia," ujar Ayana sambil menahan rasa. Walaupun dia kecewa dengan keputusan Alauddin dahulu tetapi dia tidak pernah membenci arwah Azwa kerana wanita itu sangat baik dengannya.
"Arwah meninggal sebab apa?" tanya Alia setelah lama mereka berdiam diri.
"Kemalangan. Dia nak balik dari kedai dekat kawasan bandar lepastu motosikal dia kena langgar dengan pemandu mabuk."
"Bila dia meninggal tu? Maksud aku lepas dia orang kahwin ke?"
Ayana tersenyum hambar sebelum menjawab, "Tak, Kak Azwa meninggal sebulan sebelum majlis dorang."
Dia teringat kembali wajah sunggul Alauddin ketika berada di tanah perkuburan tiga tahun yang lalu. Walaupun dia tidak nampak Alauddin menangis tetapi wajah lelaki itu kelihatan tidak bermaya dan nampak kesal.
"Jadi sekarang, kau memang betul-betul la nak pikat semula lelaki tu?"
Ayana mengangguk, "Ya, aku nak pikat dia balik. Hati aku tak pernah beralih arah daripada dia Lia. Semakin aku menolak perasaan ini, semakin susah aku nak buang. Perasaan aku dekat dia terlalu kuat. Walaupun dia pernah kecewakan aku dulu tapi... tapi aku tak mampu nak benci dia. Bodoh ke aku ni Lia?" tanya Ayana sambil menahan sebak.
Alia lantas mendekati rakannya itu dan mengusap bahu Ayana untuk menenangkan wanita itu. "Kau tak bodoh Yana. Jangan cakap macam tu. Allah uji tanda Dia sayang. Bila Allah bagi ujian dekat kita, Dia tahu yang kita ni mampu nak hadap benda tu. Jangan lupa selepas hujan akan muncul pelangi. Macam tu juga la bila kita dapat ujian, selepas pahit pasti ada manisnya."
Ayana tersenyum mendengar kata-kata rakannya itu. "Terima kasih Lia jadi pendengar setia aku. Aku akan berusaha untuk kejar bahagia aku. Aku dapat rasa jauh di sudut hati dia, dia masih ada perasaan dekat aku."
Tersenyum Alia melihat wajah bersungguh Ayana itu, "Yelah. Aku doakan kau berjaya. Cepat-cepat naik pelamin, aku nak makan nasi minyak kau nanti." Kemudian riuh suara dua orang sahabat itu berkongsi cerita pada malam itu.
Bersambung...
Terima kasih kerana sudi baca. Kalau tak keberatan saya nak minta jasa baik para pembaca untuk tekan butang vote. Terima kasih 🤍
YOU ARE READING
Ayana
Romance"Saya ikhlas cintakan awak Alauddin. Sejak dulu saya suka dan cintakan awak. Walaupun saya bukan yang pertama di dalam hati awak tapi awak yang pertama dan terakhir bertakhta di hati saya." - Ayana "... Aku tak layak untuk kau, Ayana." - Alauddin "S...