Tersenyum wajah Nek Asiah dan Mak Cik Amna melihat gelagat Ayana yang keluar dari kereta itu.
"Assalamualaikum mak! Tok ibu! Bidadari syurga dah sampai ni!" Laung suara Ayana sambil keluar dari keretanya. Dia berlari anak ke arah tok ibunya itu.
"Waalaikumussalam. Haa sampai pun cucu aku seorang ni."
Ayana lantas memeluk erat tubuh tua tok ibunya itu dan mencium pipi wanita tua itu. Mak Cik Amna yang berada di muka pintu rumah hanya tersenyum melihat gelagat mereka. Setelah menyalam tangan tok ibu, Ayana memeluk tubuh ibunya pula. Dikucup sayang pipi dan dahi ibunya itu.
"Kenapa makin susut kamu ni mak tengok. Makan tak cukup ke kat sana?"
"Ish mana ada la mak. Terlebih makan lagi adalah. Yana laparlah. Mak dah siap masak ke?" Tersengih Ayana sambil menggosok perutnya.
"Betul ke kamu ni cukup makan?" tanya Mak Cik Amna masih tidak berpuas hati. Dia seorang sahaja ke yang merasakan tubuh anaknya itu sedikit kurus?
"Sudah la tu Na. Cucu aku ni lapar. Jom kita makan." Nek Asiah bersuara untuk menghalang lebih banyak soalan daripada mulut anaknya itu kepada cucunya. Budak tu baru sahaja sampai, dah disoal macam-macam. Kalau ya pun, masuklah rumah terlebih dahulu.
"Marilah. Mak ada masak lauk kegemaran kamu. Udang masak lemak cili api."
Ayana yang mendengar nama makanan kegemarannya itu tersengih suka. Perut yang memang sedang lapar terus berbunyi menandakan minta untuk diisi.
"Tambah lagi Yana. Banyak mak kamu masak untuk kamu ni." Nek Asiah bersuara sambil mencedok sayur campur ke dalam pinggan cucunya itu. Ayana yang mendengarnya hanya tersengih. Sudah banyak dia tambah nasi tadi. Sekarang dia mahu meratah lauk sahaja.
"Tadi mak ada jumpa dengan Din masa beli barang dekat kedai runcit Saiful tu."
Ayana yang mendengar nama lelaki tu lantas menoleh ke arah maknya itu. "Ye ke mak? Dia ada tanya apa-apa pasal Yana tak?" soal Ayana teruja.
"Dia kirim salam dekat kamu. Dekat mak pun ada Din kirim salam tadi." Nek Asiah yang mendengarnya hanya menjawab salam itu di dalam hati. Berbeza dengan Ayana yang sedang tersengih suka itu.
"Lama Yana tak jumpa Abang Al. Ingat esok nak pergi rumah Mak Cik Salimah, boleh menziarah," kata Ayana sambil tersengih.
Mak Cik Amna dan Nek Asiah yang mendengarnya hanya menggeleng kepala masing-masing. Macam-macam betul budak ni. Tidak berputus asa dari dulu lagi. Bukan mereka tidak tahu Ayana memang sukakan Alauddin sejak wanita itu remaja lagi. Tapi itulah, Ayana hanya bertepuk sebelah tangan.
Sudah puas mereka mahu menjodohkan Ayana dengan orang lain setelah gadis itu pernah dikecewakan dengan keputusan yang dibuat oleh Alauddin dulu. Tapi takdir sekali lagi membuatkan Ayana tidak berputus asa untuk bersama Alauddin.
"Kamu masih mahukan budak Din tu ke Yana? Tok ibu tak mahu kamu kecewa lagi macam dulu," luah Nek Asiah kepada Ayana. Dia risau cucunya itu akan kecewa sekali lagi.
"Mestilah tok ibu. Abang Al tu cinta mati Yana. Dia seorang saja yang layak jadi suami Yana," balas Ayana bersungguh. Dia sudah tekad untuk menjadikan lelaki itu sebagai imamnya. Teman sehidup dan sematinya. Walaupun dulu dia pernah terluka dengan tindakan yang dibuat oleh Alauddin tetapi kali ini dia tidak akan berpatah balik dengan keputusannya.
Mak Cik Amna yang mendengar itu hanya diam memandang wajah gembira anak gadisnya itu. Ibu mana yang tak mahu anaknya gembira. Walaupun dulu dia pernah kecewa dengan apa yang dilakukan oleh Alauddin kepada anaknya tetapi sekiranya dengan bersama Alauddin akan membuatkan satu-satunya anaknya itu bahagia dia tidak kisah. Asalkan Ayana bahagia, itu lebih penting baginya.
"Mak, termenung apa tu. Yana tanya ni."
"Haa? Kamu tanya apa?" Terhenti lamunan Mak Cik Amna apabila mendengar suara anaknya itu.
"Yana tanya, esok boleh tak nak minta mak masakkan lauk pajeri nenas? Yana teringin nak makan."
"Boleh. Nanti esok mak beli nenas untuk masak pajeri yang kamu nak."
Ayana tersenyum suka sambil mencedok udang masak lemak ke dalam pinggannya. Nek Asiah yang melihat anaknya itu hanya tersenyum nipis. Bukan dia tidak tahu apa yang sedang bermain di fikiran anaknya itu. Mesti memikirkan soal Ayana dan Alauddin.
ALAUDDIN yang baru pulang dari masjid di kampungnya itu sedang duduk termenung di sisi kepala katil di biliknya. Fikirannya teringat akan kejadian yang berlaku petang tadi.
"Eh Din, tu bukan kereta Ayana ke?"
Alauddin yang ketika itu sedang mengelap peluh di mukanya dengan menggunakan tuala kecil menoleh melihat wajah Amar. Kemudian dia memandang ke arah yang dilihat oleh Amar.
Jelas kelihatan sebuah kereta berjenama perodua Myvi berwarna merah sedang lalu di hadapan kebun Pak Karim. Memang benar itu kereta Ayana. Alauddin yang melihat kereta itu menghembus nafas setelah kelibat kereta itu hilang dari pandangannya.
"Kau dengan dia macam mana?"
Berkerut dahi Alauddin setelah mendengar soalan yang diajukkan oleh rakannya itu. "Apa maksud kau? Macam mana apa?"
"Yelah. Yana tu kan dah lama suka dekat kau. Jangan kata kau tak tahu. Masa kau hampir nak ka..."
Tak sempat Amar ingin menghabiskan ayat, Alauddin lantas mencelah, "Aku dengan dia tak ada apa-apa pun. Tak mungkinlah dia suka dekat aku."
Amar yang mendengarnya hanya mendiamkan diri. Pelik benar dia dengan sikap Alauddin. Takkan tak perasan kut budak tu tangkap cintun dekat dia. Keras juga hati Alauddin ni. Seingat dia Ayana tu memang tunjuk habis yang dia sukakan Alauddin.
Lagipun dulu Alauddin dan Ayana macam belangkas. Rapat dan selalu kemana-mana bersama. Sampailah Alauddin menjatuhkan bom di hati Ayana. Sesungguhnya dia juga terkejut dengan keputusan yang dibuat oleh Alauddin dulu.
"Ikut kau lah Din. Soal hati ni jangan dibuat main. Kalau suka mengaku. Jangan kau menyesal nanti sudah. Benda yang dah lepas tak payah dikenang."
Balas Amar sambil mengemas barang miliknya untuk siap balik ke rumah. Alauddin hanya mendiamkan diri. Dia tercengang mendengar apa yang dikatakan oleh Amar. Tidak tahu mahu membalas apa, lantas dia hanya membatukan diri.
"Aku nak pergi jumpa Pak Karim dulu. Nak bagitahu dia kita dah siap mesin rumput kebun dia ni. Nanti dah dapat upah aku bagi dekat kau. Aku balik dulu. Assalamualaikum."
Alauddin hanya mengangguk kepala dan mengangkat tangannya sambil memerhatikan kelibat Amar yang berlalu meninggalkan kebun.
Kemudian semasa dia mahu ke masjid untuk solat maghrib tadi dia akan melalui jalan depan rumah keluarga Ayana. Semasa melalui di hadapan rumah itu dia melihat kereta kepunyaan Ayana elok terletak di halaman rumah berwarna coklat itu. Semasa melihat kereta Ayana, timbul satu rasa di dalam hatinya.
Alauddin mengeluh, lantas songkok dibuka dan diletak di meja kecil yang berada di sisi katil. Kepalanya terbayang wajah Ayana. Senyuman Ayana, ketawa Ayana dan tangisan Ayana. Lantas dia beristighfar. Dia tidak tahu rasa apa yang dia rasakan sekarang ini. Tidak mahu banyak berfikir lantas dia bangun dari duduk dan keluar dari biliknya menuju ke ruang tamu.
Bersambung...
*Maaf, terpanjang pula bab kali ni😅
Terima kasih kerana sudi baca. Kalau tak keberatan saya nak minta jasa baik para pembaca untuk tekan butang vote.
Terima kasih 🤍
YOU ARE READING
Ayana
Romance"Saya ikhlas cintakan awak Alauddin. Sejak dulu saya suka dan cintakan awak. Walaupun saya bukan yang pertama di dalam hati awak tapi awak yang pertama dan terakhir bertakhta di hati saya." - Ayana "... Aku tak layak untuk kau, Ayana." - Alauddin "S...