"Haa, dah keluar pun!" sakat Akid saat wajah Alauddin muncul di hadapannya.
Alauddin hanya menayang riak bersahaja seperti tidak kisah dengan kata-kata abangnya itu. Dia keluar terlebih dahulu kerana ingin memberi ruang kepada Ayana untuk bersiap.
"Lama betul abang solat. Lama adik dengan Kak Alia tunggu tau! Jom, Kak Alia kita masuk tolong Kak Yana bersiap balik." Siti dan Alia melangkah masuk ke dalam bilik Ayana.
Alia yang menolong Ayana bersolek kerana Ayana tidak mengupah jurusolek. Itupun Alia yang menawarkan diri terlebih dahulu untuk menjadi jurusolek tidak berbayar kepada Ayana kerana wanita itu pandai dalam bab bermekap ini. Dia ingin menawarkan kemahirannya kepada Ayana pada hari bahagia sahabatnya itu.
"Din, tahniah! Gembira aku, kawan aku seorang ni dah kahwin juga akhirnya. Aku doakan rumah tangga yang dibina sentiasa diberkati oleh Allah dan kau serta isteri bahagia selalu!" tutur Amar sambil menepuk bahu Alauddin. Sebak tadi dia menyaksikan lafaz ijab dan qabul rakannya sebentar tadi. Akhirnya, kau bertemu bahagia juga Din!
"Terima kasih Mar! Terima kasih juga sebab kau datang. Isteri kau mana?" soal Alauddin.
"Isteri aku tak boleh datang. Anak aku tu tak sihat. Itu yang aku seorang je datang ni." Alauddin hanya mengangguk sedikit setelah menerima balasan rakannya itu.
"Kalau macam tu jemput la makan. Ada kami buat jamuan sikit." Setelah itu, Amar lantas melangkah ke arah Azman yang dilihat sudah mula menjamu selera.
Alauddin hanya memandang tetamu yang hadir di rumah Mak Cik Amna, semuanya hanyalah keluarga dan teman rapat sahaja yang hadir. Dia melabuhkan duduk di sofa ruang tamu kerana ingin menunggu isterinya bersiap terlebih dahulu.
Bibir Alauddin terhias dengan senyuman, dia masih tidak percaya bahawa dia dan Ayana telah menjadi suami isteri. Kepalanya lantas teringat kembali peristiwa di bilik Ayana sebentar tadi, wajah malu-malu isterinya sangat comel di matanya.
Alhamdulillah Ya Allah, terima kasih dengan nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku!
"ALHAMDULILLAH, selesai juga semuanya." Mak Cik Amna berkata sambil tersenyum memandang ke arah rakannya. Mak Cik Salimah juga sudah tersenyum lega setelah selesai majlis akad nikah anaknya pada hari ini. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.
"Nanti, kita bincang pula bila nak buat majlis dia orang. Aku tak sabar nak tengok Din dengan Yana naik pelamin!" tutur Mak Cik Salimah sambil ketawa kecil.
Matanya memandang ke arah anak dan menantunya yang sedang mengambil gambar bersama anak sulungnya. Akid menjadi jurugambar tidak berbayar dan sedang memotret gambar dua pasangan sejoli itu dan muka mereka pasrah membuat pelbagai gaya seperti yang di arah oleh Siti dan rakan Ayana, Alia.
Pengantin baharu itu sedang mengambil gambar. Kecoh mulut Siti menyuruh abangnya itu membuat pelbagai gaya. Akid pula sudah ketawa melihat muka Alauddin yang tidak puas hati kerana dikutuk oleh adiknya itu.
"InsyaAllah, rancangnya hujung tahun ni. Kita sekalikan je majlis nanti. Senang haa... Eh, Mah adik kau datang tak tadi?" soal Mak Cik Amna kepada rakannya. Rasanya tadi dia tidak nampak muka Joyah dan anaknya, Auni.
"Adik aku je dengan suami dia, Wahab yang datang. Tu pun kejap je dia duduk lepastu dia balik. Nasib la suami dia tu bagus, tunggu sampai habis majlis. Anak saudara aku tu yang tak datang langsung. Buat perangai je kerja budak tu!" Mak Cik Salimah pula yang rasa malu dengan perangai anak beranak itu. Sudahlah haritu anak saudaranya buat perangai di rumah mereka. Hari ini pula buat perangai tak datang majlis kahwin sepupu sendiri.
"Auni marah lagi ke? Aku rasa bersalah pula dekat dia..." Dia jatuh kasihan pula tengok Auni yang patah hati bila Alauddin berkahwin dengan Ayana kerana dia tahu bagaimana perasaan Joyah apabila anaknya patah hati begitu. Pasti makan hari untuk memujuk Auni. Dia pernah berada di tempat itu semasa Ayana patah hati kerana Alauddin ingin berkahwin dengan Azwa dahulu.
"Tak payah kau nak rasa bersalah Amna. Aku kenal perangai anak beranak tu. Dulu Auni tu mana pernah nak pandangnya Din. Entah angin ribut mana datang, tiba-tiba cakap suka dekat Din tu. Mak dia tu bukannya suka dengan Din pun. Kerja mengikut je apa yang anak dia suruh buat." Geram Mak Cik Salimah dengan perangai adiknya itu. Dia tahulah perangai sebenar adik dan anak saudaranya itu. Bukannya Auni tu patah hati sangat pun, lebih kepada tak puas hati saja.
Mak Cik Amna terdiam mendengar bicara rakannya itu. Dia tidak mahulah disebabkan hal ini, timbul pula masalah antara rakannya itu. Dia tidak mahu nanti Salmah dan adiknya bergaduh pula disebabkan hal ini. Mak Cik Amna melepas keluh.
"Aku harap kau dengan Joyah tak gaduh la sebab ni. Aku tak nak rumah tangga yang anak kita bina sebabkan orang lain pula yang berpecah belah."
"Jangan risaulah Na. InsyaAllah tak ada apa-apa. Kita doa je kebahagian untuk Yana dengan Din. Doa bagi kita cepat dapat cucu!" Ketawa Mak Cik Amna mendengar kata Mak Cik Salimah itu. Yelah, dia pun teringin juga mahu menimang cucu.
"Tak sangka ya Mah, dapat juga kita nak berbesan. Aku nak berterima kasih sebab kau boleh terima Ayana sebagai menantu kau. Walaupun kau tahu banyak kekurangan dekat diri dia, tapi kau masih sudi terima Yana. Aku minta maaf awal-awal Mah kalau anak aku ada banyak kekurangan, aku harap kau layanlah Yana tu macam anak kau sendiri. Sayang dia macam anak kau sendiri, kalau dia ada buat salah tegur dia..." lirih suara Mak Cik Amna kedengaran di telinga Mak Cik Salimah dan kemudian dia menggenggam erat tangan rakannya itu.
"Aku yang patut berterima kasih dekat kau, Na. Aku tahu anak aku, Din tu tak ada apa pun. Banyak kekurangan dia. Tambah dengan kes dulu tu. Tapi kau... kau tak pernah kisah pasal tu. Malah, kau masih layan dia dengan baik lagi lepas dia pernah kecewakan hati Yana dulu. Kami yang beruntung Na... beruntung sebab Yana sudi nak jadi isteri kepada Alauddin." Mak Cik Salimah menahan air mata dari menitis.
Sebak hatinya memikirkan kebaikan Amna sekeluarga yang masih melayani keluarganya dengan baik. Walaupun keluarga Amna lebih berada dari keluarganya tetapi rakannya itu tidak pernah sombong. Malah Amna tidak kisah menjadikan anaknya, Alauddin sebagai menantu.
"Sudahlah Mah, kita tak payah la sebut hal ni lagi. Yang penting anak-anak kita bahagia. Hubungan kita pun semakin erat bila dia orang dah berkahwin ni. Kita doakan kebahagiaan anak-anak kita... aku tak pernah kisah pasal hal lain, yang penting Alauddin dapat bahagiakan Ayana. Bahagia Yana, bahagia la aku." Mak Cik Salimah tersenyum mendengar bicara rakannya itu. Beruntung dia mempunyai rakan seperti Amna.
Mak Cik Amna tidak kisah langsung sekiranya Alauddin tidak berharta kerana dia tahu lelaki itu sangat mencintai anaknya. Dia yakin Alauddin dapat membahagiakan Ayana, itu sudah cukup baginya. Lagipun lelaki itu sangat beradab dan rajin mencari rezeki, bukankah dari situ dapat dilihat bahawa Alauddin seorang lelaki yang baik? Biarlah tidak berharta janji rajin berusaha.
Mata Mak Cik Amna dan Mak Cik Salimah saat ini memerhati gelagat pengantin baharu itu. Doa mereka agar rumah tangga anak-anak mereka sentiasa berada dalam rahmat dan keredaan Allah serta bahagia sehingga ke akhir hayat.
Bersambung...
Maaf sebab dah beberapa hari saya tak update Ayana. Ada masalah sikit.
Terima kasih pada yang sudi membaca kisah Ayana. Saya hargai sangat! ♥️♥️
YOU ARE READING
Ayana
Romance"Saya ikhlas cintakan awak Alauddin. Sejak dulu saya suka dan cintakan awak. Walaupun saya bukan yang pertama di dalam hati awak tapi awak yang pertama dan terakhir bertakhta di hati saya." - Ayana "... Aku tak layak untuk kau, Ayana." - Alauddin "S...