Emir Amirullah berjalan keluar daripada pintu ketibaan internasional dengan agak tenang. Dirinya tidak terkejar-kejar malah langkah yang di ambil begitu perlahan, seolah tidak peduli perlu duduk di lapangan terbang ini berejam lamanya.
Mungkin kerana di Malaysia sekarang baru menunjukkan pukul 11 pagi. Ada lebih kurang...lapan jam lagi sebelum masuk waktu berbuka.
Teruja punya pasal mahu pulang beraya sehingga tempah tiket kapal terbang di awal pagi sedangkan penerbangan daripada Singapura ke Malaysia sahaja.
'Sepatutnya tempah tiket pukul dua petang, sampai Malaysia dalam pukul tiga petang. Takdalah tunggu lama nak berbuka. Pagi sebelum flight, boleh tidur senang dulu.' Emir berbisik dalam hati sambil mencari jalan keluar dari bangunan lapangan terbang ini.
'Tapi bulan Ramadhan orang balik awal. Stuck dalam jem, dah jadi satu hal pula. Lebih baik sampai rumah awal, tidur kat rumah sampai Asar. Takda bangun nanti terkejar-kejar atau stuck dalam kereta lama-lama." Hati Emir berdesis lagi.
Benarlah, setiap yang berlaku itu pasti berhikmah. Kadang hati kata menyesal lakukan perkara tersebut tetapi bila difikir secara teliti, itu yang terbaik.
Senyuman terukir di bibir sang jejaka. Baiklah, sekarang...rumah agam Encik Iqram menjadi tujuan! Kalau diikutkan, semua adik beradiknya sudah mula cuti hari raya memandangkan Ramadhan berbaki tiga hari saja lagi. Semuanya sudah berkumpul di rumah sejak semalam, hanya Emir yang tiada.
Emir juga tidak beritahu sesiapa yang dia pulang harini kerana Emir maklumkan, dia akan pulang pada malam raya dan bukannya beberapa hari sebelum raya. Kalau tiba-tiba muncul ni, Emir yakin! Semua akan terkejut beruk!
Keluar saja dari lapangan terbang, Emir panjangkan leher untuk cari kelibat kereta pemandu peribadi keluarga mereka. Emir sempat hubungi Encik Muadz sebelum naik kapal terbang, minta ambil di KLIA tanpa beritahu sesiapa.
Terpakir sempurna kereta Aston Martin berdekatan tempat Emir berdiri sekarang. Tak tunggu lama, Emir segera hampiri kereta tersebut dan ketuk tingkap hadapan.
Encik Muadz yang sedar akan ketukan itu langsung buka kunci kereta, membawa Emir masuk ke dalam.
"Assalamualaikum," tegur Emir terlebih dahulu. Beg sandangnya dibuka dan dibawa ke hadapan.
"Waalaikumussalam. Lenggang Emir ya setiap kali balik Malaysia," sahut Encik Muadz dalam senyuman.
"Baju saya berbakul-bakul dekat Malaysia. Tak payah bawa balik apa-apa pun tak ada masalah," ujar Emir dalam keterujaan seraya pakai tali pinggang keledar.
"Baguslah, memudahkan perjalanan. Ini...memang tiada siapa tahu ke Emir balik harini?" soal Encik Muadz. Pedal minyak ditekan perlahan-lahan, membawa kereta mewah ini membelah jalan raya.
"Tak ada siapa tahu, kejutan. Siapa je ada dekat rumah?" Emir lihat pemandangan di luar sebentar.
Kali terakhir Emir pulang ke Malaysia adalah sewaktu raya aidilfitri tahun lepas. Ya...setahun sudah berlalu. Walaupun terpisah beratus kilometer sahaja, Emir tetap tidak boleh pulang selalu.
"Adik beradik Emir semua ada. Mummy dan daddy saja yang takda, mereka ke pejabat macam biasa," jawab Encik Muadz, tenang.
Selepas tugasnya sebagai pemandu peribadi Fleur Sophia selesai, Encik Muadz langsung ditawarkan kerja menjadi pemandu peribadi keluarga Encik Iqram pula. Sesiapa yang mahu pergi kemana-mana tetapi malas hendak memandu, bolehlah panggil Encik Muadz. Pasti lelaki itu sampai tepat pada masanya.
"Mesti tengah terbongkang lagi semua." Emir dah dapat agak apa yang berlaku dalam rumah besar itu. Semuanya tidur tak ingat dunia. Kadang sehingga pukul tiga petang! Itupun sebab nak tunaikan solat Zohor. Agaknya kalau tiada solat Zohor dan Asar, mereka boleh tidur sehingga waktu berbuka.
YOU ARE READING
FLEUR SOPHIA || SPECIAL
Short StoryFleur Sophia dan keluarga besarnya kembali dengan pelbagai telatah yang bakal mencuit hati pembaca. ‼️ PENTING ‼️ ● Story ini dibuat untuk sambung cerita Fleur Sophia 1.0 dan Fleur Sophia 2.0 . ● Sebelum baca cerita ini , author sarankan agar reade...