Prolog (Edited)

6.8K 134 4
                                    

1 tahun sebelumnya,

Lidahnya kelu, tiada kata-kata lagi yang mampu dia ungkapkan. Kaki terasa semakin berat untuk melangkah, nafas ditarik dan dihela perlahan walaupun dada mula terasa semakin sesak. Perutnya juga terasa semakin senak.

Kepalanya masih lagi ligat untuk memproses kata-kata yang keluar dari mulut lelaki dihadapannya itu. Mujur perempuan yang awalnya tadi bersama lelaki tersebut telah pun beredar.

Tangan yang masih kemas digenggam oleh lelaki tersebut cuba ditarik perlahan walaupun genggaman itu seakan mencengkam, bukan lagi seperti yang biasa lelaki itu lakukan. Sakit, tapi tidak sehebat sakit di hatinya.

Apa lagi salahnya? Apa lagi kurangnya dia?

Dia memandang tajam kearah lelaki dihadapannya itu. Lelaki yang masihkah layak digelar suami. Dia sendiri tidak tahu siapa lelaki itu dihatinya saat ini.

Adakah masih ada lagi rasa sayang? Atau sebenarnya hanya tinggal rasa benci yang sudah menguasai dirinya? Yang dia tahu, dia bukan lagi sesiapa didalam hati lelaki tersebut.

"Awak tahu kan, saya sayangkan dia Nadiya. Saya cintakan dia Nadiya. Susah sangat ke awak nak setuju?" Soalan serta kenyataan yang keluar dari mulut lelaki tersebut sangat menyakitkan.

Setuju? Atau dipaksa setuju? Lelaki ini memang gila. Dengan beraninya lelaki itu bertanyakan soalan seperti itu kepada isterinya sendiri. Isteri yang sedang mengandungkan zuriatnya.

Nadiya melabuhkan punggungnya diatas sofa dengan perlahan. Bahagian perutnya yang terasa agak kejang itu diusap perlahan.

Kandungannya itu sudah memasuki usia 7 bulan, tapi suaminya pula sedang berbahagia bermain cinta dengan orang lain. Tidak ada sedikit pun rasa belas kasihan lelaki itu pada dirinya, sedangkan bayi yang sedang dikandungnya itu milik lelaki tersebut. Air mata yang sekian lama ditahan akhirnya mengalir juga.

"Saya faham, saya cukup faham Muaz. Saya hormat keputusan awak, kalau itu yang awak nak. Tapi satu je saya minta.." Akhirnya dia berjaya juga menuturkan kata-kata yang difikirkan sejak dari awal lagi.

Dia nekad, itu adalah keputusannya. Tangannya masih tidak lepas mengusap perlahan perutnya yang sudah semakin besar itu. Sesekali, terasa tendang halus milik si kecil. Sabarlah duhai hati. Mungkin ini takdirnya dan mungkin juga ini yang terbaik untuk dia dan anaknya.

'Mummy minta maaf sayang.' Detik hati kecilnya.

"Lepas anak saya lahir.. Awak tolong ceraikan saya." Perlahan dia menyambung. Terketar-ketar suaranya untuk menyambung ayat yang tergantung tadi.

Ya itu permintaannya.

Walaupun semua ini terasa berat, dia tidak mahu bertahan lagi. Cukuplah sampai disini sahaja. Dia tidak ingin lagi berpura-pura seolah-olah semuanya akan baik-baik sahaja. Sudah terlalu lama dia memendam rasa, manahan segala kesakitan yang tidak tertanggung lagi. Dia sedar, keputusan ini bukan mudah, lebih-lebih lagi dengan anak yang bakal lahir. Namun, dia perlu lakukan ini demi dirinya sendiri. Demi maruahnya yag telah terlalu lama diinjak.

Mata lelaki itu seakan memandang sinis kearahnya sebelum senyuman mula terbit dari raut wajah lelaki tersebut.

Sakit, perit, kecewa.

Entah apa lagi rasa yang terbuku di dalam hatinya. Dia sendiri tidak tahu, sudah cukup penat dia berperang dengan emosinya sendiri sejak dari awal tadi.

Sejak lelaki itu datang membawa kekasih hatinya ke rumah mereka untuk berbincang tentang hubungan mereka bertiga. Tetapi tidak sedikit pun perbincangan itu berpihak kepada dirinya, malah lebih ke arah perbincangan untuk hubungan terlarang mereka berdua.

Give Me Your ForeverWhere stories live. Discover now