Tujuh Belas

2.4K 101 9
                                    

Puan Kartini mengerling sekilas ke arah Muaz yang masih tegang sejak pulang dari majlis perkahwinan Zaty tadi. Mata Muaz masih kekal fokus memandang pada jalan yang agak sibuk itu. Biasalah hari minggu.

"Muaz ada cakap apa-apa ke dekat Nadiya tadi. Laju terus dia balik, mama tak sempat pun nak jumpa Amsyar" suara Puan Kartini kedengaran memecah ruang sunyi yang hanya bertemankan lagu di radio.

Muaz mengeluh keras, sakit hatinya bila teringat tingkah laku Nadiya tadi.

"Entah lah ma, dah kemaruk sangat bercinta kot. Muaz elok-elok tanya nak minta izin pegang Amsyar laju dia ajak bakal suami dia tu balik. Muaz ni tetap bapa kandung budak tu!" kedengaran keras suara Muaz meluahkan rasa.

Tangan Puan Kartini perlahan menepuk bahu anaknya itu. Meminta agar anaknya tidak terlalu beremosi. Keadaan Muaz sekarang agak beremosi lagi-lagi setelah penceraiannya dengan Hani. Senang sangat untuk Muaz naik angin walaupun hanya disebabkan perkara kecil.

"Mama kenal ke lelaki yang datang dengan Nadiya tadi?" soal Muaz.

"Mama kenal gitu jelah. Dia yang tolong Nadiya masa dia kemalangan hari tu" balas Puan Kartini.

Dia tidak menyangka begitu rupanya takdir menemukan Nadiya dengan Adam, walaupun agak terkejut bila Nadiya memaklumkan perkara itu tetapi dia gembira bila melihat Nadiya bahagia bersama pilihannya. Lagi pula melihat cara Adam melayani Amsyar yang langsung tidak kekok itu membuatkan Puan Kartini bersyukur, dia tahu cucunya itu akan mendapat kasih sayang yang secukupnya walaupun bukan dari bapa kandungnya sendiri.

"Adam tu rupa-rupanya kawan lama Azri. Adam tu orang Ipoh juga Muaz. Tapi mana tak sempat tanya dekat mana" tambah Puan Kartini lagi.

Suasana kembali sunyi. Muaz hanya diam meneruskan pemanduan. Hatinya sakit, sudahlah tidak dapat pegang anak kandungnya sendiri. Bekas isteri sudah jumpa pengganti dan paling menyakitkan lagi gelaran yang patut disandangnya telah diambil oleh orang lain. Habis dia ni apa? Padahal panggilan itu sebelum ini dia gunakan setiap kali dia berbicara dengan anaknya itu semasa masih dalam kandungan Nadiya.

"Anak daddy hari ni nakal ye? Mummy mengadu dekat daddy, awak menyorok tak nak tunjuk pun awak boy ke girl" ujarnya selepas Nadiya mengadu anak mereka tidak memberikan kerjasama ketika Nadiya ingin membuat imbasan ultra bunyi untuk mengetahui jantinanya. 

"Assalamualaikum anak daddy. Jangan lah tendang mummy kuat-kuat. Kesian mummy tak boleh tidur" tegurnya selepas melihat Nadiya berpusing sekejap ke kiri, sekejap ke kanan mencari posisi yang selesa untuk tidur.

"Selamat malam anak daddy, daddy sayang anak daddy ni" ujarnya setiap malam ketika menyapu losyen pada perut Nadiya yang sudah mula merekah.

Tetapi sekarang, gelaran daddy itu sudah diambil oleh orang lain. Sungguh dia merasakan hatinya benar-benar sakit ketika ini dan secara tidak sedar dia menghempas kuat tangannya pada stering kereta.

"Muaz! Ya Allah! Kamu kenapa Muaz?" jerkah Puan Kartini yang terkejut dengan tindakan melulu Muaz tadi, tetapi nasib baik tiada kenderaan lain berhampiran mereka.

Muaz yang baru tersedar itu agak tersentak dengan jerkahan Puan Kartini tadi. Mulutnya terkumat-kamit beristighfar berulang kali.

"Sorry ma, Muaz tak sedar" ujar Muaz, tangannya mengenggam tangan si ibu yang masih terkejut dengan kelakuannya tadi.

"Muaz, mama tak tahu apa yang Muaz tengah rasa, apa yang ada dalam fikiran Muaz sekarang ni. Cuma satu je mama nak pesan, apa yang jadi sekarang ni semua Allah dah tentukan. Kita sebagai hambanya, kena terima dengan hati yang terbuka"

Give Me Your ForeverWhere stories live. Discover now