Empat Puluh Tujuh

2.4K 155 9
                                    

Sesungguhnya, dari Dia kita datang. Kepada-Nya jua kita kembali.

Berita yang diterima Nadiya sebentar tadi bagaikan petir menyambar di siang hari. Suara Puan Kartini yang serak oleh tangisan masih terngiang-ngiang di telinganya.

"Muaz dah tak ada, Yaya. Anak mama dah tak ada."

Kata-kata itu bergema, menghempas jiwanya dengan perasaan yang tidak percaya.

Dunianya seakan-akan berhenti berputar, seketika. Tubuhnya terus terasa lemah, hampir sahaja dia terjelepok ke lantai mujur tangannya sempat berpaut pada meja makan.

Puan Kartini, tidak mampu berkata lebih. Hanya tangisannya yang memenuhi talian, memecah kesunyian hari itu.

Nadiya pula terkedu, otaknya seakan sukar memahami berita yang baru diterimanya.

Muaz, bekas suaminya itu sudah tiada.

Air mata Nadiya mengalir tanpa dia sedari. Hatinya sayu memikirkan betapa berat kehilangan ini buat Puan Kartini, seorang ibu yang kini kehilangan satu-satunya anak yang dia ada dan Amsyar, kini bergelar anak yatim.

Nadiya terduduk di kerusi, hatinya bagai dihempap batu berat.

Walaupun hubungannya dengan Muaz sudah lama berakhir, hakikat bahawa lelaki itu adalah bapa kepada Amsyar membuatkan kehilangan itu terasa semakin berat.

Baru beberapa minggu lepas dia dan Adam membawa Amsyar bertemu dengan Muaz. Selepas kejadian salah faham antara Adam dan Muaz, Muaz seakan cuba menjaga jarak antara mereka tapi Adam telah menjelaskan apa yang sebenarnya dia rasai dan mengakui silapnya yang terlalu mengikut emosi.

Puan Kartini pasti sedang dilanda kesedihan yang tidak terperi. Seorang ibu yang kehilangan anak tunggal kesayangannya.

Nadiya masih ingat lagi, kali terakhir mereka bertemu. Riak wajah gembira Muaz yang sedang melayani telatah Amsyar, pesanan Muaz untuk dia dan Adam, lambaian Muaz kepada mereka sebelum mereka bergerak pulang meninggalkannya.

Tidak pernah dia terfikir bahawa detik ini tiba secepat ini.

Air mata mengalir lagi.

Bukan kerana cinta yang sudah lama tiada, tetapi kerana rasa simpati terhadap seorang insan yang dahulunya pernah hadir dalam hidupnya, dan kini sudah pergi buat selamanya.

"Allah..." bisiknya perlahan, mendongak memandang ke arah Amsyar yang sedang tidur di ruang tamu.

Bagaimana caranya untuk menjelaskan pada si kecil, bahawa ayah kandungnya sudah tiada.

"Sayang!" Laju Nadiya menoleh ke arah Adam yang baru sahaja muncul di pintu rumah.

Nafasnya masih tersekat-sekat, matanya berkaca menahan tangis yang masih belum reda. Tenaganya seakan hilang setelah cuba menenangkan diri sejak tadi. Tak terdaya langsung rasanya untuk berdiri, dia hanya bersandar pada kerusi menunggu Adam menghampiri dirinya.

"Allah, abang terkejut betul sayang. Nasib baik Athif ada, dia suruh abang cabut terus." Ujar Adam suaranya penuh kebimbangan, tubuh isterinya itu dirangkul erat. Tangannya lembut mengusap belakang badan isterinya, cuba menenangkan isterinya yang masih menangis.

Hampir terlepas telefon bimbit dari pegangannya bila menerima mesej daripada Nadiya tadi. Tanpa berfikir panjang, dia meminta bantuan Athif untuk mengambil alih tugasnya sebelum dia terus bergegas pulang.

Nadiya hanya diam, air matanya masih mengalir tanpa henti. Dia memandang Adam sejenak sebelum memandang ke arah ruang tamu.

Sayu rasa hatinya.

Give Me Your ForeverWhere stories live. Discover now