Lima (Edited)

2.5K 108 8
                                    

Selesai sahaja makan malam tadi, yang lain semua sudah masuk ke dalam bilik. Banyak yang mereka sempat bualkan sewaktu makan tadi. Tetapi Adam laju sahaja memotong apabila Puan Fatimah cuba bertanya perihal Nadiya kepada Azri.

Ibunya itu, kalau dah mula nanti susah pula nak berhenti.

Dan sekarang, tinggallah Adam dan Azri dipangkin hadapan rumah milik keluarga Adam.

Terang bulan malam ini. Angin lembut menampar tubuh mereka berdua. Cuaca malam ini sejuk tidak seperti semalam berbahang rasanya.

"Kau macam mana sekarang okey ke?" Adam bersuara untuk memulakan bicara, banyak perkara yang ingin dikorek malam ini.

"Alhamdulillah. Setakat ni okey. Bahagia walaupun hidup masih berdua."

Perkahwinannya dengan Anis Kamila sudah memasuki usia 3 tahun, namun mereka belum diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata. Tetapi Azri dan Anis tidak pernah mengeluh, tuhan belum mengurniakan mereka rezeki zuriat tetapi dimewahkan rezeki yang lain. Sihat tubuh badan juga merupakan rezeki yang penuh nikmat.

"Alah, nanti ada tu rezeki nya. Belum sampai masanya lagi tu," balas Adam cuba untuk tidak berlebih-lebihan.

Soal zuriat ini, dia tahu bukan sesuatu yang mudah bagi sesetengah pasangan. Dia pernah lihat sendiri bagaimana rakan-rakannya yang lain diuji dengan penantian dan harapan, dan itu membuatkan Adam lebih berhati-hati bila berbicara tentang topik ini.

"Insya-Allah, aku yakin rezeki tu ada. Kami tak putus asa pun, cuma kadang-kadang orang luar yang banyak tanya. Kau tahu aje lah, mulut orang." Azri tersenyum nipis.

"Biasalah tu Ri, kau jangan ambil hati sangat. Yang penting, korang berdua bahagia. Itu pun rezeki yang tak semua orang dapat." Adam mengangguk, faham benar dengan situasi yang dialami sahabatnya. Tekanan dari orang sekeliling kadang-kadang lebih berat daripada cabaran yang dihadapi sendiri.

"Lepas aku kahwin, Aqil pun kahwin. Lepas tu Nadiya pula. Cuma nya..."

Lama Azri terdiam. Nafasnya dihembus perlahan sebelum dia menyambung.

"Aku ingatkan, lepas Nadiya kahwin, selesai lah tanggungjawab aku. Tapi..."

Adam hanya diam, menunggu Azri meneruskan ayatnya. Dia tidak mahu mengganggu. Hanya mahu meminjamkan telinganya untuk mendengar, mungkin Azri  boleh sedikit lega selepas bercerita. Dia tahu, berat beban yang Azri tanggung selama ini.

"Aku tak sangka, orang yang adik aku sayang boleh buat adik aku sampai macam tu sekali." Kedengaran berat suara Azri untuk membicarakan soal ini.

Jeda seketika.

Suasana semakin hening rasanya. Hanya bunyi cengkerik menemani malam hari.

Azri memandang raut wajah Adam, berat sebenarnya dia ingin membuka bicara selanjutnya. Tetapi, dia juga perlu lepaskan rasa itu. Rasa yang sekian lama dia simpan.

"Bekas suami dia?" Soal Adam.

Azri memandang pelik ke arah Adam.

Macam mana Adam boleh tahu perihal Nadiya sedangkan dia baru sahaja hendak mula membuka cerita.

"Aunty Kartini yang bagitahu aku semalam. Tapi aku tak ada lah tanya lebih-lebih," sambung Adam lagi.

Kakinya menguis-nguis rumput ditanah. Menunggu Azri menyambung ceritanya.

Azri mengangguk perlahan, nafasnya dihela seketika sebelum meneruskan bicara.

"Kau tahu Dam, masa Nadiya bagitahu aku dia nak kahwin tu. Aku risau. Aku cakap dekat Nadiya, fikir betul-betul jangan buat keputusan tergesa-gesa. Tapi biasalah, orang tengah dilamun cinta Dam. Semua benda dia nampak manis. Aku jumpa jantan tu, aku cakap terus terang, aku set terus expectation. Apa aku nak, kalau dia betul-betul nak jadi suami kepada satu-satunya adik perempuan aku."

Give Me Your ForeverWhere stories live. Discover now