Suasana malam sangatlah hening. Yang kedengaran cumalah bunyi jam berdetik tiap saat. Taman perumahan aku pulak jauh dari jalan besar, jadi memang tak kedengaranlah bunyi kereta atau kenderaan yang seangkatan dengannya lalu lalang depan rumah. Lagipun, sekarang dah pukul 2.30 pagi, siapa je nak keluar waktu-waktu macam ni.
Dalam keheningan itu, telingaku menangkap suatu bunyi tapak kaki dari luar rumah. Dahlah lagi tadi semerbak je haruman melati. Bilikku pula memang dekat dengan jalan. Haihhh, siapa ajelah yang berjalan tengah-tengah malam kat kawasan persekitaran rumah aku ni?
Bunyi derapan kaki makin dekat dan makin dekat. Aku menggigil seram sejuk di atas katil. Lagi tadi aku memasang niat untuk keluar dari bilik dan menuju ke bilik mak abah. Kalau boleh, aku nak tidur tengah-tengah mak dan abah! Tapi, entah kenapa... badanku kaku di atas katil. Tak mampu bergerak walau seinci!
Satu bayang-bayang hitam berupa sesosok tubuh muncul di tingkap. Peluh mula merenjis keluar dari badan.
"Dang," satu suara garau kedengaran dari bayang-bayang itu. Siapa sebenarnya milik bayang-bayang tu?
"Aku dah lama rindukan kau," ujar suara itu lagi.
Aku masih terkaku di atas katil. Tiba-tiba aku teringat pada rantai emas ditanganku. Dengan segera, rantai emas ditangan aku campak ke lantai sekuat mungkin.
"Kalau kau buang aku, siapa lagi yang aku nak ikut," ujarnya lagi.
Kali ni aku dah menangis ketakutan. Gila tak takut, aku tak tahu pun suara tu milik siapa! Tiba-tiba cakap aku Dang. Tiba-tiba nak ikut aku!
"Aku milik kau."
Aku semakin kuat menangis mendengar kata-katanya.
"Aku takkan pergi dari kau."
Aku berusaha sekuat hati untuk berkata-kata. Untuk melawan kata-kata itu. Setidaknya, untuk menjerit supaya ada seseorang mendengar suaraku.
"Dang...."
"Aku bukan Dang! Jangan ganggu aku!" Jeritku kuat.
"Jangan buang aku Dang."
"Jangan kacau aku! Pergi! Jangan ganggu aku!" Aku menjerit-jerit sekuat hati. Tanganku menarik selimut dan menyelubung seluruh tubuhku.
"Pergi! Tolong pergi! Jangan kacau aku!" Jeritku lagi.
Bunyi pintu dikuak keras. Aku makin ketakutan.
"Pergi! Jangan kacau aku! Pergi!!!!" Jeritku lagi.
Satu tangan cuba menarik selimut dari diriku. Aku cepat-cepat menarik balik selimut. Dia cuba lagi merampas selimutku dari aku.
"Pergi! Jangan kacau aku! Tolong, aku merayu..." suaraku kian melirih. Aku ketakutan. Sangat takut!
Selimut dirampas kuat dari aku. Seraya itu, wajah mak yang aku nampak di balik selimut dan silangan tanganku.
"Mak!!!"
Aku terus memeluk tubuh mak dan terhinggut-hinggut menangis di bahu mak. Mak membalas pelukanku. Tangannya menepuk-nepuk belakang tubuhku.
"Makkk... kita takut," lirihku.
"Ya, mak ada ni. Dah jangan takut."
"Kita takut mak."
"Mak ada ni, kan. Dah, dah... tak payah takut. Jangan nangis lagi," pujuk mak sambil menepuk-nepuk belakang badan dan membelai lembut rambutku.
"Kenapa sayang? Apa dah jadi ni?" Soal mak setelah pelukan terlerai dari tubuh.
Aku menunjuk ke arah rantai emas yang berada di lantai. "Rantai emas tu berhantu, mak."
"Siapa punya tu?"
YOU ARE READING
LOVE LOCK (NOVEL MELAYU)
RomanceAisy Humaira, selalu didatangi mimpi pelik-pelik. Dia di dalam mimpinya dipanggil dengan gelaran Dang. Sedangkan namanya Aisy Humaira. Pertemuan dengan Megat Adrian semakin mengelirukan dirinya kerana Ian juga pernah muncul dalam mimpinya yang mempe...