BAB 42 - Arena of Death

1K 81 4
                                    

Cassandra menggenggam pedangnya erat walaupun tangannya menggeletar seperti hendak tercabut.Keringat membasahi segenap tubuhnya.Sama ada yang mengalir itu peluh dek kepanasan ataupun peluh dirundung ketakutan - mungkin kedua-duanya sekali.

Lingkaran api ini sedikit sebanyak telah melemahkan dirinya.Lututnya terasa longgar, badan mahu sahaja rebah ke bumi.Bahang api di sekelilingnya seperti mahu memanggang dia hidup-hidup.Tetapi, dia tetap menggagahkan diri.Untuk Katilda dan untuk kemenangan rakyat Dracbarrow.

Katilda menghunus pedangnya ke arah Sarafina; ia seperti bercahaya, memantulkan sinaran api yang marak. "Ini antara kau dengan aku.Lepaskan mereka berdua!"

"Ini amaran atau rayuan?" Sarafina mendengus kecil lalu ketawa. "Aku tak sebodoh tu, Katilda.Aku tak akan lepaskan sesiapa yang menghalang jalan aku!"

Jarred lekas berdiri di hadapan Katilda seperti benteng yang melindunginya. "Kalau kau nakkan dia, kau mesti lepasi aku dulu!"

Tanpa berkata apa-apa, Sarafina terus membaling shurikennya ke kepala Jarred.Pergerakannya begitu pantas sehingga tidak dapat dikesan oleh mata kasar.

Jarred terpempan.Pergerakannya seolah-olah dikunci oleh ketakutan.Badannya kaku.

Katilda pantas merentap lengan lelaki itu.Dia tersembam ke lantai tanpa bersedia.Itu lebih baik daripada mati.

Shuriken itu melintas ke dalam api yang marak di belakang mereka.Ia lenyap dan tidak kelihatan lagi.Mujur perempuan itu tidak membaling boomerang.

"Tindakan yang pantas.Tengok kalau kau boleh elak yang ni." Sarafina menerjah ke arah Katilda.Pergerakannya begitu pantas seperti cheetah yang mengejar mangsanya.

Katilda belum bersedia untuk menerima apa-apa serangan.Dia masih di lantai.
Apabila Sarafina hampir sekaki dengannya, dia cuba menumbuk peha kiri perempuan itu dengan sekuat hati.Tetapi dalam sekelip mata, dia terus lenyap tanpa meninggalkan sebarang kesan.

Katilda dan Jarred bangun.Mata mereka meliar memandang sekeliling.

"Perempuan tu boleh muncul dari mana-mana tempat.Pastikan kamu semua bersedia!" kata Katilda dalam nada yang serius.

"Atas!!" teriak Cassandra  sambil mendongak ke langit.
Katilda dan Jarred pantas mendongak.

Kelihatan perempuan serba putih itu sedang menjunam dari langit.Pakaiannya yang putih menyukarkan mereka untuk melihat.Dia sebati dalam sinaran terik mentari.
Dia semakin hampir! Kakinya didahulukan ke bumi.Rambut putihnya mengerbang ditiup angin kencang.

Katilda pantas menarik lengan Cassandra dan Jarred.Dia berlari jauh dari tempat mereka berdiri dan menghempas badan ke lantai.

BRAAKKKKK!!!

Tendangan menjunam Sarafina berjaya meretakkan jalan sejauh 10 kaki diameter dan menghasilkan lubang yang agak dalam.

Batu yang menghiasi permukaan jalan hancur dan terpelanting ke merata tempat.Seperti bata yang jatuh ke dalam lopak air.

Deruan angin yang terhasil menyebabkan api menjadi bertambah marak.

Cassandra menggigil ketakutan. Dia mahu menangis sekuat hati.Jarred sempat menenangkan dia sebelum segalanya menjadi bertambah teruk.Lelaki itu memeluknya seraya membisikkan kata-kata semangat.Cassandra berasa selamat dalam dakapan lelaki itu.

Katilda tidak berfikir panjang.Dia segera melepaskan Cassandra bersama Jarred dan terus meluru ke arah Sarafina dengan tangan kosong.

Sebelum dia sempat menyerang, Sarafina pantas mengilas pinggang seraya melibas lengan kirinya ke arah Katilda.

THRONE OF THE VAMPIRE QUEENWhere stories live. Discover now