Bab 73

2.9K 177 4
                                    

73
  Dia memicit kepalanya yang berdenyut kuat seperti hendak meletup sambil matanya terpejam rapat, menahan sakit. Badannya juga turut terasa bisanya. Apabila sedikit berkurang rasa sakit itu, perlahan-lahan dia membuka matanya. Memandang kawasan sekelilingnya yang sangat asing baginya. Dia cuba untuk bangun dari pembaringannya di atas lantai putih itu. Dia sedikit mengerang menahan pedih dikepala dan badannya. Entah untuk ke berapa kali dia melihat sekeliling bilik ini, atau lebih tepat macam sebuah makmal yang aneh.
  “Ouch!” Rintih Airil sambil tangan kanannya memegang kepalanya yang memberontak kesakitan. Aku dekat mana ini? Kenapa bilik ini pelik semacam saja? Airil cuba mengingati kembali apa yang berlaku sebelum dia tidak sedarkan diri tadi.  Tidak silap aku, kali terakhir aku berada di dalam bilik Tuan Izaryl dengan Airis. Airis? Mana dia?
  Perlahan-lahan Airil cuba untuk berdiri dan berjalan mencari kelibat Airis disekelilingnya. Mana tahu Airis pun berada di tempat pelik ini. Baru lima langkah kakinya berjalan, tiba-tiba sahaja dia terhantuk pada sesuatu.
  “Ouch.. apa ini?” Dia meraba-raba benda yang dia langgar itu. Tetapi sebenarnya benda itu tidak wujud pada pandangannya. Apa benda pula ini? Airil cuba mengetuk benda yang umpama dinding tersebut, bunyinya seperti kaca tetapi versi lut sinar. Kaca lut sinar yang betul-betul lut sinar, langsung tidak dapat nak lihat yang dihadapannya ada dinding kaca yang menghalang.
  Airil memegang dinding kaca tersebut dan melarikan tangannya, dan berfikir dipenghujung dinding kaca ini mesti ada ruang untuk keluar.
  “Apa ini?” Soalnya pelik apabila penat dua kali dia berpusing disekeliling tempat yang hanya lima kaki jarak dari tempat dia pengsan tidak sedarkan diri tadi. Aku terkurung dekat tempat yang macam silinder ini? Aku dekat mana sebenarnya. Ini memang tidak boleh jadi, aku kena lakukan sesuatu. Airil cuba mengeluarkan kuasanya. “Eh tidak mahu keluar pula kau ini?” Sekali lagi dia mencuba. “Keluarlah. Aku kata keluar itu keluarlah.” Masih sama.
  Airil meraup mukanya. Rasa geram yang tidak terkata. Apa yang berlaku sebenarnya? Aku dekat mana ini? Matanya tertarik pada suatu bahagian yang seperti ada orang. Dia mula membuka langkah semula menuju ke hadapan tempat yang dia berdiri tadi. Serius macam ada orang dekat situ.
  “Ouch. Sakitlah.” Adunya apabila sekali lagi dia terlanggar dinding kaca tersebut. Matanya sibuk melilau memerhati kerusi perak yang separuh berbaring itu. Kerusi itu memang pelik dan unik. Aku rasa ada orang yang sedang berbaring atas kerusi itu, tapi aku tidak nampak disebabkan kerusi itu menghadap tempat lain.
  Sekejap. Loket yang berbentuk kunci yang tergantung berdekatan dengan kerusi itu… macam loket Airis. Ya loket Airis. Setakat ini hanya Airis sahaja yang ada loket kunci dimensi, itu bermakna Airis yang sedang berbaring di atas kerusi itu.
  “ Airis… Airis… Airis.” Jerit Airil sekuatnya sambil tangannya mengetuk dinding kaca dihadapannya untuk memanggil Airis yang berkemungkinan besar berada dihadapannya.
  “Woi Farris Airis kau dengar ke tidak?” Pekak ke dia itu. “Airis…” Sekali lagi dia menjerit kuat.
  “Ris dengarlah.” Balas Airis dalam nada yang tertahan.
  Airil sedikit tersentak. “Kau ke Airis?”
  “Hmm Ris.”
  “Ris tolong carikan butang untuk buka tempat aku ini. Aku rasa macam terkurung duduk dalam dinding kaca ini.”
  “Ris tidak boleh bergerak. Kaki, tangan, kepala semuanya macam kena kunci dengan besi pelik ini. Kuasa Maya pun tidak boleh guna.” Balas Airis sambil berusaha melepaskan diri dari dibelenggu.
  Tidak guna! Kuat Airil menumbuk dinding dihadapannya. “Ouch.” Sambil menggosok tangan yang dia jadikan penumbuk tadi. “Ah…!” Aku tidak tahu nak buat macam mana lagi. Ketuk dinding, tidak pecah-pecah pun. Nak guna kuasa, tempat ini macam kedap kuasa saja. Airis pun tidak boleh nak buat apa-apa. “Ah!”
  “Ril tidak usah sakitkan diri sendiri, kita kena fikir macam mana nak keluar dari sini.” Nasihat Airis apabila mendengar jeritan Airil. Aku tahu Airil geram dengan apa yang berlaku, aku ini lagilah geram. Tidak sangka Qaireen sanggup buat semua itu, sanggup dia tikam abang dia sendiri. Kejam yang teramat. Tiada hati dan perasaan. Syira pun sama sahaja. Apa yang mereka berdua itu fikirkan pun, aku betul-betul tidak faham. Dendam? Buang masa sahaja benda macam itu, buat tambah dosa dan kurang pahala saja. Percuma macam itu sahaja.
  “Nak fikir macam mana lagi hah Ris? Kau sedar ke tidak yang kita tengah terkurung dekat tempat pelik bin ajaib ini? Entah dekat pelusuk planet mana pun kita tidak tahu.” Airil membantah dengan sedikit membentak. Baginya tidak relevan langsung idea Airis, sudah sah-sah mereka terperangkap, macam mana nak cari jalan keluar.
  “Nampak sangat yang Ril ini cepat putus asa.”
  Airil mendengus. “Aku bukannya putus asa, cuma kau sendiri boleh fikirkan macam mana keadaan kita sekarang.”
  “Ris tahulah tapi sekurang-kurangnya, fikirlah benda-benda yang positif sikit.”
  “Okay kalau kau nak fikir sangat, kau fikir. Fikirlah sekarang.”
  Keras kepala. “Kalau satu otak saja yang berjalan, tidak akan ke mana Farril Airil yang senget kepala batu.”
  “Lantaklah kau nak cakap apa pun, aku sudah tidak kisah. Aku penat, sakit kepala, sakit badan dan sakit otak sekarang ini.”
  Airis melepaskan keluhnya. “Ril, tidak akan dalam situasi macam ini pun kita nak bergaduh. Tak akanlah Ril masih nak menangkan kepala batu Ril itu. Ris tahu semua benda ini berlaku disebabkan kebodohan Ris, Ris tahu yang Ris bodoh. Ris tahu semua ini salah Ris. Ris tidak patut rahsiakan tentang Qaireen dan Insyira. Ris memang bodoh.” Ujar Airis dalam nada menyalahkan semua yang berlaku atas kesilapan dirinya sendiri. Akhirnya dua-dua diam.
  Airil diam seribu bahasa. Dia tahu dia tidak sepatunya berkelakuan macam itu tadi. Tapi disebabkan situasi yang macam ini, yang membuatkan dirinya memberontak. Walaupun dia tidak faham kenapa Airis perlu menyalahkan diri sendiri, dia tahu semuanya bukan salah Airis. Dia tidak ada kaitan langsung dengan semua ini. Dia hanyalah mangsa sama seperti dirinya.
  Sedikit sebanyak bayangan peristiwa yang berlaku sebelum ini muncul satu persatu dalam fikirannya. Peristiwa dibilik Tuan Izaryl, peristiwa ketika diserang Daniel, peristiwa munculnya Qaireen dan Insyira dengan membawa Qausar dan peristiwa Qausar ditikam.
  “Ris kau rasa Qaus akan selamat ke?” Soal Airil tiba-tiba bersuara.
  “In sya Allah dengan izin-Nya Qaus akan selamat. Ril jangan risau sangatlah.”
  “Macam mana aku tidak risau, Qaus itu sahabat aku sejak dari kecil lagi. Dialah sahabat, dialah abang, dialah adik, dialah musuh dan dia segalanya bagi aku. Aku membesar dengan dia. Sebaik mana dia, sejahat mana dia, dia tetap kawan aku. Sama macam Rania dan Danish. Sampai satu tahap itu, aku cuma rasa merekalah keluarga aku termasuk Miss Erliya.”
  “Ris tahu. Semua ini tidak akan terjadi kalau bukan disebabkan Ris. Ris yang rampas apa yang sepatutnya menjadi milik Ril. Semuanya salah Ris. Apa yang berlaku sekarang ini pun, salah Ris juga. Kenapalah sepanjang hidup Ris ini, Ris tidak habis-habis menyusahkan Ril sahaja.” Ujar Airis yang masih menyalahkan dirinya sendiri. “Ris tidak marah dan tidak kisah kalau Ril bencikan Ris. Sebab memang patut pun.” Tambahnya lagi.
  Airil terkejut mendengar apa yang baru sahaja Airis katakan. “Apa kau merepek ini Airis? Kau tidak bersalah pun. Aku tidak pernah salahkan kau. Ya, memang sebelum ini aku salahkan kau tapi itu pun sebelum aku tahu perkara yang sebenarnya. Kalau nak di ikutkan logiknya, aku yang salah sebab aku tidak pernah cuba untuk ke bukit Maya, tengok sendiri sama ada papa dan mama datang ke tidak melawat aku dekat situ. Aku yang bodoh sebab tanya saja pengawal yang jaga. Dan senang-senang sajalah aku kena tipu. Lagi bodoh yang pernah aku buat, aku tidak pernah sekali pun balik ke rumah.” Omel Airil sambil duduk bersandar pada dinding kaca apabila terasa lelah berdiri.
  “Ris yang salah. Kalau Ris tidak sakit, semuanya tidak akan berlaku.”
  “Semua itu takdir, Airis.”
  “Hmm. Tapi Ris tidak marah kalau Ril bencikan Ris pun.”
  Airil tersenyum. “Jadi kau memang nak aku benci kaulah ini?”
  “Err…”
  “Okay aku benci kau.” Airil cuba menduga.
  “Eh tadi Ril cakap sudah tidak bencikan?”
  “Bila masa aku cakap, aku hanya menafikan sahaja.”
  “Ril...”
  Tahu pun takut. “Lain kali jangan nak merepek.”
  Airis sambut jawapan Airil dengan senyuman dibibirnya.


  Tiba-tiba pintu bilik tersebut terkuak. Airil menoleh untuk melihatnya. Airis hanya menunggu derap kaki itu berjalan ke arahnya sebab kepalanya juga tidak boleh digerakkan. Derap kaki itu macam menandakan seorang sahaja yang bakal masuk ke ruangan bilik ini.
  “Oh kau sudah sedar Airil.” Ujar Insyira mendekati silinder kaca tempat Airil dikurung. Sambil dibibirnya terpamer senyuman sinis.
  Airil mengenggam penumbuknya. Tidak guna kau Insyira. “Apa yang kau nak daripada kita orang hah? Apa salah kita orang?” Persoalan Airil dibalas dengan ketawa yang menyakitkan telinga dan hati orang yang mendengarnya.
  Bodoh! “Tolonglah jangan tanya soalan bodoh macam itu, Farril Airil.” Balasnya megah sambil masih mentertawakan Airil. “Aku cuma nak tolong Hunter tapi…” Insyira melangkah ke arah Airis yang sedang separuh baring di atas kerusi yang berdekatan dengan tempat Airil dikurung. Bibirnya masih tidak melepaskan senyum sinis yang terpahat.
  “Aku memang sudah lama menunggu saat untuk tengok kembar kau ini menderita. Aku nak dia menderita sampai dia tidak mampu nak tersenyum lagi macam selalu. Dan aku sudah berjaya membawanya ke lembah tersebut. Tidak sangka aku akan tarik kau sekali, Airil. Kau memang bukan orang yang aku benci, nak cakap yang kau ini baik, aku tidak kenal kau pun. Malah aku lagi kenal seluruh keluarga kau itu. Yes memang memang baik dan aku pun tidak bencikan mereka.” Dia mendekatkan tangan kanannya ke pipi Airis dan mencengkamnya. “Tapi entahlah, hati aku ini rasa teramat sangat benci dan dengki dekat budak ini. Sangat!”
  Terasa seperti disambar petir dan kilat apabila mendengar kata-kata sinis daripada seorang kawan yang dia kenali sejak dari kecil lagi. Airis hanya mampu mengetap bibirnya dan menutup kelopak matanya untuk menahan pilu dan amarah didadanya. Sampai ke tahap itu Syira bencikan aku.
  Airil agak tergamam, tidak percaya, terkejut bagai terkena renjatan elektrik. Apa yang Insyira ini merepekkan? Aku betul-betul tidak faham? Benci Airis? Dengki? Aku tidak sangka ada orang bencikan budak sengal itu selain daripada aku (sebelum inilah tapi sekarang sudah tidak benci).
  “Okay kau benci sangat dengan Airis. Kenapa? Mesti ada sebabnya?” Ujar Airil cuba menenangkan diri dari amarahnya yang bila-bila masa sahaja akan meletup.
  Insyira melepaskan cengkamannya dan berpaling ke arah Airil yang bertanya. Dia mengangkat kedua bahunya. “No reason. Suah hati aku benci nak buat macam mana.”
  What? No reason. Gila! Apa jenis manusia dia ini? Mana ada manusia yang menbenci orang lain tanpa sebab. Yang teramat pula itu. Huh? Dia ini waras ke tidak?
  “Kalau kau nak tahu Airil, selama ini sudah banyak kali aku cuba untuk putuskan nyawa budak berpenyakit ini. Tapi nyawa dia itu macam nyawa serigala berekor sembilan. Aku tidak bagi dia makan ubat masa aku kena jaga dia dulu, dia tidak mati. Aku tolak dia masuk kolam sampai hampir lemas pun, dia tidak mati. Aku tukar ubat dia pun, dia tidak mati-mati. Begitu panjang nyawa insan yang bernama Farris Airis ini. Dan aku harap selepas kami dapat tawan dimensi Maya dengan bantuan dia, dia akan mati.” Omel Insyira dalam riak yang langsung tidak menunjukkan benda yang dikatakan itu salah.
  “Adalah sekali. Sekali sahajalah aku serang kau masa sesi latihan beberapa bulan lepas dulu. Serius aku cakap pada kau, mengamuk gila kembar kau masa itu. Nak bela abanglah konon walhal abang dia sedap-sedap saja tuduh dia yang buat. Kan Airis?”
  “Tak guna. Kau ini manusia ke binatang hah?” Jerit Airil mula hilang sabar. Siapa yang tidak sakit hati dengan mulut puaka macam itu.
  Insyira hanya mampu gelak sampai mengalir cecair putih dimatanya. “Marah ke?”
  “Aku tidak akan biarkan kau apa-apakan Airis.”
  “Okay. I’ll see.”
  Kau memang sudah melampau Syira. Ya Allah sakitnya hati ini. Kau kuatkanlah semangat hambaMu ini. Kuatkanlah kesabaran hamba menempuhi kebencian kawan sendiri. “Syira lepaskan kita orang. Kau jangan buat kerja bodoh nak tolong Hunter. Mereka cuma nak kuasai Maya dan musnahkan dimensi Manusia biasa. Tidak akan kau nak tengok dimensi tempat kita membesar, musnah macam itu sahaja, Syira?”
  “Ada pun suara kau Airis. Aku ingatkan sudah bisu macam Daniel kau itu.” Omel Insyira dalam nada menyakitkan hati. “Mind your own business Farris Airis. Aku gembira dengan apa yang sedang aku lakukan sekarang.”
  Ya Allah. Serius aku sudah tidak tahu apa yang patut aku katakan. Fatin Insyira sudah melampau. She’s too much. Heartless. Tapi walau macam mana pun, aku cuba untuk tanamkan kebencian hati aku dekat dia, aku memang gagal. Mungkin tidaklah sepenuhnya. Betullah kalau kita sayangkan seseorang itu, kita memang sayang sangat. Kalau kita benci seseorang itu, kita memang benci sangat. Tapi kalau seseorang itu kita pernah sayang dia, susah untuk hati ini bencikan dia sepenuh hati. Susah. Sangat susah. Sebab rasa sayang itu pernah hadir dan rasa benci itu pula lambat hadirnya.
  Sekali lagi pintu bilik itu terbuka. Insyira menarik senyuman seluasnya. Sambil menunggu langkah tersebut mendekatinya.
  “Mana Izreen?” Soal lelaki itu.
  “Iz cakap dia penat sangat, itu yang terus tidur. Malas nak bangun katanya. Yalah dia yang paling banyak gunakan tenaganya.” Balasnya sambil berjalan seiring ke arah skrin yang berdekatan. Matanya turut memerhati perbuatan Prof Arya dan Tuan Izmeer.
  “Syira pun pergilah berehat dulu.” Ujar Tuan Izmeer yang baru membuka mulutnya. Mukanya memang serius. Sangat serius. Juah bezanya dengan Tuan Izaryl yang murah dengan senyuman.
  Insyira pantas menggeleng kepalanya. “Tidak penat pun. Lagipun semalam sudah puas berehat. Apa yang ayah dengan Tuan nak buat dengan budak berdua itu?” Soal Insyira sambil jarinya menunjuk ke arah keberadaan Airil dan Airis yang dari tadi diam tidak bersuara. Hanya hati yang membara menahan amarah dan geram. Sakit sangat hati.
  “Mengembalikan dimensi Maya.” Prof Arya menjawab.
  Suara itu, suara itu yang selalu menghantui aku. Suara itu yang selalu membuat aku takutkan pasangan kembar Mukhrish. Suara itu yang pernah menggangu tidur aku. Ya memang suara itu. Tapi Syira panggil suara itu dengan panggilan ayah. Ayah dia ke? Selama aku kenal dia memang aku tidak pernah kenal ayah dia.
  “Nice to meet you again Farris Airis.” Ujar Prof Arya yang sudah berada dihadapan Airis. Airis sedikit terkejut kerana tidak perasan kehadiran Prof Arya dihadapannya. “Dulu saya gagal dapatkan kamu dengan cara kasar tapi sekarang saya dapatkan kamu dengan kebencian anak saya sendiri. Masih ingat Hikari Maya?”
  Betullah. Memang dia yang menghantui ketakutan aku selama ini. Tapi aku masih tertanya-tanya, siapa dia ini? Aku yakin sebelum kejadian hari itu aku memang pernah jumpa dia, memang pernah lihat muka dia. Tapi siapa? dekat mana? Kalau ayah Syira memang aku tidak pernah jumpa langsung. Omel Airis sendiri.
  Ya Allah banyaknya benda yang aku tidak tahu. Banyaknya yang Airis rahsiakan. Apa lagi agaknya yang akan buat aku terkejut lepas ini. Aku janji kalau kita orang dapat larikan diri dari sini nanti, aku tidak akan biarkan dia tanggung seorang diri. Aku tidak akan biarkan dia pendam sendirian. Airil pula mengomel sendiri.
  “Aku tanya kau, jawablah.” Tegas suara itu menerpa ke cuping telinga Airis. Hilang sudah bahasa saya kamu prof Arya yang merangkap ayah Insyira.
  “In… ingat. Kau ya..yang serang a..aku.” Balas Airis gagap sambil menahan gelora hatinya yang ketakutan apabila direnung tajam sekali lagi oleh lelaki yang menakutkan itu. Itulah yang dinamakan bapak borek anak rintik. Tidak hairan kalau Fatin Insyira itu heartless.
  Insyira berapi mendengar ayat Airis. “Jaga sikit bahasa kau itu Airis. Kau tengah bercakap dengan ayah aku.”
  “Syira.” Tuan Izmeer bersuara tegas. “ Setinggi tupai melompat pun, semua orang tahu dia akan mencium bumi jugakan.” Tambah Tuan Izmeer dalam nada sarkastik gila. Yang ini macam mana pula nak digelarkan? Bapak borek anak rintik cucu pula terkedek-kedek nak ikut. Hahaha keluarga hati hitam, heartless. Agaknyalah.
  Airis mencuri pandang muka Prof Arya sekali lagi. Kuat hati aku mengatakan yang aku memang pernah lihat dia ini, pernah kenal dia. Tapi siapa? Tajam matanya memerhati rauk muka yang hampir menyerupai Insyira itu. Daniel? Sekejap. Pak su Daniel? Ya pak su Daniel.
  “Kau pak su Daniel.” Kata Airis sedikit menjerit. “Kau pak su Daniel. Kau kejam. Kau yang bunuh seluruh keluarga dia. Kau yang bakar mereka. Kau yang sihir Daniel sampai dia tidak berani nak bersuara tentang perkara itu. Kau yang meletakkan semua kesalahan kau atas bahu Daniel. Kau yang buat Daniel menderita. Kau yang membuat Daniel dan Danish hilang segalanya. Kau memang jahat. Kau memang manusia yang tidak punya hati.” Pantas sahaja mulut Airis mengeluarkan isi hatinya yang tidak pernah surut untuk insan yang sekejam pak su Daniel, prof Arya.
  Sebaik sahaja habis Airis bersuara, automatik ketiga-tiga beranak itu melepaskan ketawanya yang kuat. Macam langsung tiada kesan atas apa yang mereka dengari tadi. “Oh jadi kau memang sudah tahulah Airis. Patutlah berani bersahabat dengan pembunuh rekaan ayah aku.” Insyira berkata sambil menahan gelaknya.
  “Memang aku pun yang buat, memang aku pun yang bunuh keluarga abang aku sendiri.” Ujar prof Arya pula. Budak ini mengingatkan aku pada seseorang. Kelantangan mulutnya hampir menyerupai Fitri. Muka mereka pun hampir menyerupainya. Aku rasa mereka anak Fitri Balqis.
  “Tapi aku yang arah Arya bunuh keluarga anak yang tidak guna itu. Kahwin dengan manusia dimensi lain, tinggalkan tanggungjawabnya dekat sini. Dia itu lebih percayakan si Izaryl tak guna itu daripada bapak dia sendiri. Jadi balasannya aku bunuh seluruh keluarganya dan tinggalkan dua orang anaknya yang lahir sebagai manusia Maya. Danish dan Daniel itu memang degil, tidak pernah nak terima nasihat seorang datuk yang sayangkan dia.” Tambah Tuan Izmeer menambahkan pedihnya. Kejam.
  Airis menahan kemarahan yang rasanya sudah sampai ke tahap 1% sahaja lagi nak masuk infiniti. Wujud ke manusia-manusia seperti ini. Kejam. Ya memang kejam.
  Airil yang dari tadi diam tidak bersuara, merah mukanya menahan marah. Merah tangannya mengenggam penumbuk. Jadi itulah sebab bisunya Daniel. “Tidak guna! kau orang memang tidak guna!”
  “Apa kau cakap? Kita orang tidak guna?” Soal Insyira geram. “Rasakan.” Sambil jarinya menekan butang hijau yang berada dihadapannya. Serentak itu Airil menjerit kesakitan menahan pedih seperti terkena renjatan elektrik.
  “Airil!” Airis menjerit memanggil Airil sebaik sahaja mendengar jeritannya. “Syira hentikan.” Air matanya mula mengalir. Kalau dulu aku pernah harap kau akan berubah Syira, tapi sekarang aku harap kau tidak akan pernah wujud dalam hidup aku. Selamanya.
  Memang tidak semua orang sukakan kita. Tidak semua orang boleh terima kita. Adakalanya ada yang membenci kita tanpa mengenal pun siapa kita. Sakit. Pedih. Pahit. Itu memang. Itulah fitrah kehidupan. Yang menyanyangi pun, tidak semua terus menyanyangi. Yang membenci pun, tidak semua terus membenci. Itulah kehidupan. Terima atau lontarkan sahaja? Pilihan sendiri.

Aduhai Si Kembar ! ✔✔✔Where stories live. Discover now