10

798 65 0
                                    

Sara bersantai di buaian di tepi taman. Pipit dan Kembang juga ada di situ. Pipit yang tinggi dan sasa tapi telah dikalahkan oleh Sara semalam buat Sara tersenyum sendirian. Dia berbuai sambil ditolak oleh Kembang.

"Pipit,"panggil Sara.

"Ya Cik Muda," jawab Pipit.

"Cuba senyum,"minta Sara. Pipit cuba tersenyum di samping merasa hairan dengan permintaan itu. Sara ketawa.

"Sesungguhnya lesung pipit itu menawan hati. Patutlah orang memanggilmu Pipit,"kata Sara, Kembang turut tertawa. Pipit tersipu-sipu malu. "Pipit, aku mahu kau jadi seorang yang kuat dan tahu mempertahankan diri kerana aku mahu kau jadi seorang hulubalang yang boleh melindungi aku dan Kembang. Jadi setiap hari selama separuh hari aku akan melatih kau menjadi seorang pahlawan."

"Cik muda, nyawa khadam untuk Cik Muda," kata Pipit.

"Ketika kita bertiga panggil saja aku Cempaka. Aku harap kau akan jadi seorang yang amanah dan setia,"ucap Cempaka.

"Dengan nama Allah, khadam berjanji berkhidmat dengan sepenuh hati,"janji Pipit.

"Alhamdulillah. Kalau macam tu, tolong petikkan mangga di situ. Cempaka hendak menyicah,"suruh Sara ceria.

"Baik, Cik Muda," tanpa berlengah Pipit memanjat pokok mangga.

"Kembang pergi mengambil garam dan pisau,"kata Kembang.

"Aih tunggu. Ambilkan lada kecil sekali, cuka dan gula,"kata Sara.

"Baik Cik Muda!"cepat sahaja Kembang berlari ke dapur. Sara turun dari buai dan mengutip mangga yang dipetik.

"Ambil yang masak tu,"tunjuk Sara. Memanda Temenggung yang berjalan lalu di situ tersenyum.

"Malawati, tengok tu patut hendak seorang khadam lelaki rupanya disuruh panjat pokok kutip mangga. Kita boleh bayangkan musim rambutan dan manggis nanti betapa sibuk Cempaka menyuruh khadamnya mengutip buah," kata Temenggung. Tengku Malawati ketawa

"Janji dia bahagia kanda," jawab Tengku Malawati. Mereka berlalu dari situ.

Tun Daim duduk di anjung sendirian. Dayang menghidangkan air dan kuih kepadanya. "Ayahanda dan bonda di mana?"tanya Tun Daim kepada dayang itu.

"Datuk dan Tengku baru sahaja keluar, tuan muda. Mereka mengkhabarkan sebelum maghrib akan tiba di sini,"terang dayang itu lagi.

"Kau boleh teruskan dengan kerja kau,"kata Tun Daim sambil meneguk minuman panas itu. Dia meneliti bungkusan bekas cincin itu. Sudikah Cempaka menerima cincin ini sebagai tanda maaf darinya? Hati Tun Daim tidak tenteram apabila mengingatkan Pipit yang baru saja ditugaskan menjaga Cempaka. Aku mahu berada di Istana Temenggung.

Dia bingkas bangun dan bergerak ke istana Temenggung. Sara sudahpun menyediakan campuran cuka,gula dan garam untuk menyicah mangga muda.

Kembang mengupas mangga itu berhati-hati dan Pipit pula tergaru-garu digigit kerengga. Sara bersimpati dengan Pipit. Dia menyuruh Pipit duduk dan menyapu bedak sejuk bagi menghilangkan bisa.

"Dinda buat apa ni?"tegur Tun Daim dengan nada keras.

"Menyapu bedak tak nampak?"balas Sara. "Tuan Muda Tun Daim berada di sini kenapa? Abang Ishak di bilik,"kata Sara. Tun Daim merampas bedak sejuk itu dan dia sendiri menyapukan bedak itu ke tempat yang digigit kerengga.

"Salah kalau hendak melawat dinda? Kanda ni tunang dinda..bakal suami dinda,"jawab Tun Daim. Selesai menyapu ubat Tun Daim pergi ke tempayan yang berisi air dan membasuh tangannya. Sara tidak menghiraukan kata Daim dan mula menyicah mangga itu.

"Kembang, Pipit mari makan,"ajak Sara. Tun Daim duduk di tepi Sara. Kembang dan Pipit terus berdiri.

"Suapkan abang satu. Abang pun lama tak makan mangga muda,"kata Tun Daim. Nadanya lebih neutral dan Sara merasa lain kerana selalunya Daim hanya tahu menengking.

"Abang?" Ulang Sara.

"Kenapa? Panggilan abangkan lebih mesra,"kata Tun Daim merenung Sara.

"Nak mangga? Nah, dinda suapkan,"kata Sara manis. Dia menyicah mangga itu di atas lada kecil dan menyuapkannya ke mulut Tun Daim.

"Pedas! Masam!"kata Tun Daim mengipas mulutnya. "Air, air!" Kembang dengan cepat memberikan air kepada Tun Daim. Sara tergelak besar. Kembang dan Pipit menahan ketawa.

"Abang nak lagi, Cempaka suapkan,"kata Sara selamba. Tun Daim menggapai tangannya tanda tidak mahu.

"Pedasnya!"kata Tun Daim masih lagi mengipas mulutnya.

"Mana ada pedas. Tengok dinda makan,"kata Sara sambil menyuap mangga selamba. 'Pedas gila kot!'jerit Sara di dalam hati. Cepat-cepat dia memakan mangga ranum yang dipotong oleh Kembang. Sara terus menyicah mangga tersebut tanpa menghiraukan Tun Daim yang memerhatikannya. "Kau tak ada kerjakah? Baru tadi pergi dari sini. Ni datang balik?"sindir Sara.

"Cempaka, dinda betul bila dinda tuduh kanda gila semasa dengan Syahida tadi," kata Tun Daim. Sara tidak memberikan sebarang reaksi. "Kanda sudah gila. Gilakan dinda." Sara yang sedang mengunyah mangga tersedak. Kembang dan pipit cepat memberikannya air.

"Pergi ke pasar nak membeli ikan, ikan dibawa dari jeti, hati dan perasaan sukar difahamkan, kadang sayang kadang membenci," jawab Sara. Dia mengalihkan pandangannya ke tempat lain.

"Sayang selasih di pinggir laman,melur menangis tidak dipeduli, Kasih dan sayang bukan mainan, tiada yang lain di dalam hati,"pantun dibeli oleh Tun Daim. Sara memandang Tun Daim. Ini bukan Tun Daim yang dahulu. Wajahnya banyak tersenyum. 'Permainan apakah ini?'soal hati Sara.

"Daim!"panggil Tun Ishak.

"Abang!"panggil Cempaka manis kedengarannya.

"Aku ingat kau dah pulang,"tegur Tun Ishak.

"Aku hendak bermalam di sini boleh?"tanya Tun Daim terus-terang.

"Sudah tentu boleh!"jawab Tun Ishak. "Cempaka sedang menyicah mangga?"tanya Tun Ishak melihat hirisan mangga di pinggan. Sara mengangguk.

"Abang nak rasa? Cempaka suapkan,"kata Sara. Dia lalu mengambil sekeping yang separuh kuning dan menyicahnya. "Nah," kata Sara menyuapkan mangga itu. Wajah Tun Daim terus berubah. 'Oh ini muka cemburu kau,ya?'bisik hati Sara.

"Sedap! Siapa yang buat air cuka ini?"tanya Tun Ishak sambil duduk di meja.

"Cempakalah,"jawab Sara.

"Kesian Pipit kena gigit kerengga," tegur Tun Ishak ketawa.

"Biasa saja Tuan Muda,"jawab Pipit.

"Pipit sabarlah berkhidmat dengan Cik Muda ni. Sekejap lagi dia minta dukunglah, beli baranglah ikat rambutlah,"usik Tun Ishak.

"Saya akan cuba sebaik mungkin,"jawab Pipit tersenyum. Itu mengejutkan Tun Ishak lalu dia ketawa. Tun Daim hanya duduk di situ. "Pipit jangan lupa, lindungi Cik Muda, bantulah dia semampu mungkin,"kata Tun Ishak.

"Itu tugas aku bukan tugas dia,"potong Tun Daim. Tun Ishak menepuk bahu Tun Daim.

"Selagi belum sah, tugas itu tugas aku dan kalau aku tak ada itu tugas Pipit,"kata Tun Ishak masih nada bergurau. Tun Daim memandang tajam kepada Pipit. "Kau dah ada di sini baguslah. Ada beberapa hal yang perlu diteliti. Mari ikut aku ke bilik,"ajak Tun Ishak.

"Tapi,"Tun Daim cuba membantah. Tun Ishak menarik Tun Daim untuk mengikutnya. Sara melambai selamat tinggal kepada Tun Daim.

Sara: Cempaka Sari (Vol 1)Where stories live. Discover now