Tun Daim bergegas ke biliknya. Dia merasa sangat marah sampai di bilik dia membaling semua yang berada di hadapannya. Jantungnya berdegup pantas. Belum pernah dia merasa begitu marah terhadap seseorang. Pipit yang baru sahaja tiba di situ tidak berkata apa-apa. Dia pergi menuangkan air segelas untuk Tun Daim.
"Datuk, minum dulu ni. Bertenang sebentar,"kata Pipit menghulurkan cawan berisi air itu. Tun Daim menghela nafas panjang dan meneguk air pemberian Pipit. Pipit mengambil balik cawan itu dan meletakkannya di tempat asal di tepi bilik.
"Hari ini, hari yang sangat memenatkan datuk. Jika Cik muda berkata sesuatu yang datuk tidak berkenan tolonglah maafkan cik muda," kata Pipit. Tun Daim memandang Pipit dan matanya tidak dapat menyorokkan perasaan barannya ketika itu
"Dia menghalau aku pulang ke Nanjing." Pipit tidak terkejut dengan kata-kata Tun Daim itu kerana biarpun dia baru sahaja mengenali Cempaka setiap tindakan dan perangai puteri memanda itu amat difahaminya. "Aku marah sebab dia berduaan dengan Shu Wu Ji di biliknya. Dia itu bakal isteriku,"terang Tun Daim. Pipit mengangguk-angguk. Walaupun kedengarannya janggal dia pasti Tun Daim terbawa-bawa dengan perasaannya. "Kau tahu apa yang dia cakap?"tanya Tun Daim kepada Pipit. Pipit menggelengkan kepalanya. "Dia adalah ketua rombongan ini. Dia adalah anak Zheng He pelaut kesayangan maharaja." Pipit hanya memandang Tun Daim yang masih dengan marahnya.
"Datuk, tengahari tadi kami diserang lagi sekali. Jika tidak kerana cik muda menyelamatkan khadam, mungkin khadam tidak berdiri di sini,"terang Pipit.
"Diserang?"tanya Tun Daim kembali. Pipit mengangguk.
"Selepas serangan kami menyelamatkan orang besar di pekan ini. Jadi hari ini amat memenatkan cik muda,"balas Pipit lagi. Tun Daim menghela nafas panjang. Dia mengherdik dirinya sendiri kerana terlalu mengikut perasaan cemburunya. Dia terduduk di tepi meja. Dia mengurut lehernya. 'Apa yang telah aku lakukan ni?'soal Tun Daim kepada dirinya sendiri.
"Tinggalkan aku sendiri,"pinta Tun Daim. Pipit tanpa berlengah pergi dari situ.
"Shao ye," tegur pengawal Yong Qi. Dia jauh termenung di jendela besar melihat malam yang diterangi oleh cahaya lilin.
"Ta shi shei(siapa dia itu)?" Tanya Yong Qi.
"Zheng kunyang ialah anak orang besar Melaka. Keluarganya berpengaruh dan antara ternama di sana."
"Bagaimana dia boleh bersama Zheng gong gong?"
"Zheng gong gong bertemunya ketika mengumpul maklumat untuk maharaja di Melaka," terang pengawal peribadinya.
"Shu Wu Hen memberitahu dia sudah dijodohkan, dui me?"
"Dui, shaoye (betul tuan muda)."
"Zheng gonggong orang yang sangat teliti jika dia boleh mewakilkan dirinya dengan anak angkat yang baru dikenalinya, maka Zheng Kunyang sangatlah istimewa. Siapa pegawai Melaka itu?"
"Tun Daim. Anak saudagar terkaya di Melaka yang juga pegawai kastam ternama."
Yong Qi menghela nafas panjang. Bagaimana mungkin orang Melaka begitu berbakat dan bijak? Hatinya masih memikirkan Sara.
"Shaoye,"panggil pengawalnya. Yong Qi memandang pengawal yang bernama Li Hong. "Mereka akan berangkat ke Xi'an esok pagi,"kata Li Hong lagi.
"Pergi ke Xi'an malam ini pastikan sampai esok. Dapatkan Wang Li Bao dan jumpa aku di sana."
"Shi shaoye. Li Hong gao ci (Baik tuan muda. Li Hong minta diri)." Yong Qi hanya memberi isyarat menyuruhnya pergi. Yong Qi masih teringatkan kejadian tengahari tadi. Dia bersoal jawab dengan dirinya sendiri. Dia cuba membunuh gadis genit itu tetapi gadis itu juga yang menyelamatkannya.
"Zheng Shuang..." Dalam tidak sedar dia memanggil nama itu.
Pagi masih gelap, Sara sudahpun bersiap untuk berangkat. Dia melihat rantai mutiara itu dan tersenyum. Dia mengenakan cucuk sanggul jed putih pemberian Zheng Gonggong dan rantai mutiara putih ke lehernya. Baru sahaja dia memakainya rantai itu bergetar. 'Mungkin rantai ini cuba memberitahu aku sesuatu,'bisik hatinya. Dia meletakkan rantai itu ke atas lapisan baju supaya tidak terkena kulitnya. Getaran rantai itu terasa seperti renjatan elektrik dan apabila Sara melapiskan rantai itu di atas pakaian, kesannya tidaklah terlalu menyakitkan.
Getaran itu semakin ketara. Pada masa yang sama pintu biliknya diketuk.
"Assalamualaikum,"sapa Tun Daim di luar. Terkejut Sara dibuatnya. Jarang mendapat ucapan salam akhir-akhir ini.
"Waalaikumsalam wrt,"jawab Sara terus berdiri. Getaran rantai itu semakin dirasakan tetapi kerana ia tidak berada di kulit, Sara tidak menghadapi masalah yang besar. Sara membuka pintunya. Dia melihat Tun Daim berdiri sudah bersiap-sedia untuk berangkat. "Kenapa kau di sini? Tak jijik ke melihat Cempaka?"tegur Sara. Tun Daim merasa bersalah atas kata-kata itu.
"Kanda hendak bertolak ke Nanjing sekarang. Kanda datang hendak meminta maaf kerana kata-kata kanda semalam. Kanda biarkan perasaan kanda mengatasi fikiran."
Sara masih berdiri di pintu tidak memberikan reaksi apa-apa.
"Berikan kanda seketika sahaja. Ada yang mesti kanda luahkan sebelum berangkat."
Sara hanya memerhatikan sahaja Tun Daim di hadapannya.
"Bila kanda dapat tahu dinda dalam perjalanan ke sini, kanda resah. Kanda risaukan keselamatan adinda. Dan, kanda sebenarnya mahu memberi ini kepada dinda," lembut nada Tun Daim berbicara. Dia menghulurkan bungkusan baldu merah dan Sara menerimanya. Sara membukanya dan terkejut melihat cincin y ag dicari-cari rupanya berada di tangan Tun Daim.
"Kanda..."kata Sara terhenti di situ. Dia sedikit sebak kerana selama dia adalah Cempaka hubungannya dengan Tun Daim tidak pernah aman. "Dinda minta maaf sekiranya dinda banyak menyusahkan kanda."
"Kanda akan terus menunggu dinda menerima kanda dalam hati dinda. Biarpun pernikahan kita dirancang keluarga, kanda ikhlas menerima dinda kerana hati kanda ada pada dinda."
Sara kehilangan kata-kata. Diterima cincin nanti dianggap menerima cintanya ditolak, cincin ini pelengkap perjalanan balik ke milenium. Tun Daim mengambil cincin itu dari tangan Sara dan menyarungkannya ke jari manis.
"Kanda..."
"Dinda, ini ikhlas dari kanda. Sama ada dinda terima kanda atau tidak, cincin ini memang kanda beli untuk dinda tanpa ada maksud yang lain."
Sara melihat cincin itu di jari. 'Sekarang aku boleh pulang kepada mak dan mamatok,'bisik hatinya.
"Berjanjilah dengan kanda, dinda jaga diri dinda ketika kanda tiada,"bisik Tun Daim.
"Dinda doakan perjalanan kanda selamat."
Tun Daim mengangguk. Hatinya kecewa kerana Sara atau Cempaka tiada sedikit pun rasa kesal melihatnya pergi. Dia meminta diri dan terus berlalu. Sara melihat Tun Daim pergi sehingga hilang kelibatnya. Sara memegang rantai itu dan ia terus berhenti bergetar.
"Aik, rantai ni dah stop bergetar. Tapi bagaimana?Adakah kerana aku memakai cincin ini?" Soal Sara sambil berfikir-fikir.
"Sara,"panggil Wu Hen. "Jom kita dah boleh bertolak."
"Kembang Pipit," Sara memanggil.
"Ya Cempaka,"sahut mereka serentak.
"Kita dah boleh bertolak,"kata Sara.
"Baik...!" Jawab mereka berdua. Berlarian mereka mengambil barangan yang masih tidak diambil.