[Media] Iefa
Dalam sekelip mata, mereka berdua sudah kembali ke markas Iefa. Iefa telah menggunakan sihir bagi meneleportasi mereka kembali ke markas di bawah lombong. Lengan Affi yang digenggam kemas oleh Iefa, pantas dileraikan lalu Iefa menolak Affi ke hadapan. "Lemah." Tutur Iefa sepatah dengan nada jelek.
Air mata Affi sudah kering barusan tadi. Menyesal. Marah. Sedih. Cinta. Semuanya bercampur membuatkan Affi sendiri keliru dia menangis meratapi apa. Meratapi kematian Dira? Meratapi sikap terburu-buru diri sendiri? Meratapi perangainya yang telah berlaku kasar terhadap Dira? Meratapi ingatan apabila Dira tidak pernah menyakiti hatinya? Ataupun meratapi nasib dirinya mewarisi kesaktian Iefa selepas ini seperti yang diperjelas Iefa? Entah. Affi keliru. Affi buntu. Affi kelu.
Walaupun dirinya dikata lemah oleh Iefa sebentar tadi, walau Iefa telah menolak tubuhnya hingga terdorong ke hadapan, Affi bagaikan sudah mati perasaannya. Marah sahaja yang ada. Namun bukan terhadap sesiapa. Marah yang ada adalah terhadap dirinya sendiri. Dia marah akan dirinya yang terburu-buru. Marah akan hatinya yang buta menilai klu-klu perasaan Dira dahulu.
"Dah jom pergi kat bilik ritual. Aku nak bagi kuasa sakti ni pada kau. Aku nak bersara." Iefa mula menapak. 'Menyesal aku tak mohon keje government, paling tak dapat duit pencen bulan2.. haduh..tapi sape nak amik ahli sihir sebagai pekerja. Karut kata mereka.' Rungutan halus Iefa jelas didengari Affi yang berjalan seiring dengan Iefa. Iefa yang sebelum ini riang bagaikan kanak-kanak terencat kelihatannya sudah hilang perwatakannya yang satu itu. Kini, Iefa kelihatan lebih kejam dengan renungan mata yang menikam. Malah Iefa juga kelihatan lebih berkaliber berdasarkan ayunan langkah dan bahasa tubuh yang sungguh tidak janggal.
Mereka tiba di bilik ritual. Affi tidak terkejut kerana dia tau kewujudan bilik yang agak tersembunyi itu. Pertama kali menjejakkan kaki di markas itu, Affi sudah meronda si sekeliling markas dan bilik ritual itu telah Affi terokai. Kecil dan langsung tiada perabot.
Bilik ritual itu hanyalah sebuah bilik. Tiada daun pintu, sekadar ada lubang pintu bagi membenarkan perjalanan keluar masuk. Tiada tingkap, sudah pastinya tiada ruang peredaran udara yang sempurna dan menyamankan dalam bilik ritual itu. Terdapat sebuah katil, yang tidak layak pun digelar katil kerana ia hanyalah binaan batu bata secara memanjang tinggi separas pinggang, cukup untuk seorang dewasa baring. Tapi sekali pandang sahaja Affi sudah faham yang itu sudah tentunya bukan katil yang selesa bagi Iefa untuk beradu. Oleh itu, dia pasti ada sebab lain 'katil' itu ada di dalam bilik itu. Dan Affi telah mengetahuinya pada hari ini. Dia sendiri yang baring atas 'katil' itu. Menjalani ritual.
Dan seperti di seluruh markas, bilik ritual itu juga hanya diterangi lilin-lilin yang berpuluh batang-pelbagai saiz dan warna. Dan ada lilin yang wangi, membebaskan haruman yang halus dan misterius ke segenap bilik ritual itu. Seketika, Affi tenang dan lupa sejenak tentang masalah yang telah dan akan dia hadapi ini.
"Baring situ." Arah Iefa di sisi, memecah keharmonian fikiran Affi. Affi tidak membantah namun teragak-agak juga mahu membaringkan diri di situ. Akhirnya, Affi baring juga. Benar, memang tidak selesa. Keras. Affi baring menelentang menghadap siling yang tiada lampu mahupun kipas. Tidak perlu lampu kerana seluruh markas hanya diterangi lilin-lilin. Dan tidak perlu kipas kerana markas itu berada di bawah lombong dan kesejukan air lombong mempengaruhi suhu di markas Iefa ini.
Sambil baring, Affi menoleh ke kiri, memandang ke arah Iefa yang sedang..err..membancuh air?
"Kau buat apa tu?" Soal Affi kepada Iefa yang sedang berdiri di penjuru bilik, membelakangi Affi. Iefa senyap. Tidak langsung berpaling apatah lagi menjawab pertanyaan Affi. Tetapi Affi yakin Iefa sedang membancuh air kerana kedengaran bunyi dentingan sudu apabila berlanggar dengan dinding cawan kaca.
YOU ARE READING
THE WITCH (COMPLETED)
FantasyTiada siapa tahu wujudnya sebuah markas di dasar kolam renang terbiar itu. Apatah lagi wujudnya seorang ahli sihir lelaki yang tinggal di dalamnya. Wajahnya tampan, air mukanya tenang, matanya redup, auranya misterius dan rambutnya putih. Dan kau pe...