Keesokannya, semasa pulang dari tempat kerja, Munirah dan Shuhada berbual-bual di dalam kereta.
"Ra, kau ingat lagi tak aku pernah mintak resume kau?" soal Shuhada dengan mata yang bersinar-sinar.
"Hmm ingat. Kenapa?" jawab Munirah sambil memandang ke arah Shuhada untuk mengetahui lebih lanjut tentang itu.
"Masa aku layan Facebook hari tu, aku terjumpa satu iklan kerja kosong, kerja kilang kat Petaling Jaya. Aku hantar resume kau dan aku, saja cuba nasib. Alhamdulillah, rezeki menyebelahi kita," terang Shuhada sambil tersenyum lebar.
"Maknanya kita kena berpindah ke tempat baru la ye?" soal Munirah lagi.
"Ye. Tapi, kau jangan risau. Aku ada saudara tinggal kat sana. Dia boleh bantu kita, in shaa Allah."
"Tapi, nak ke ibu aku berpindah tempat, weh?"
"Eh, jap jap. Aku tak cakap pun kita akan bawak ibu kau sekali. Kau dan aku je."
"Kita berdua je? Habis ibu aku, siapa yang akan jaga?"
"Laaa... Ibu kau kan ada lima orang anak perempuan. Boleh la mereka jaga kan. Apa yang kau nak risau, Ra?"
"Tapi, mereka bukan jaga elok ibu aku tu. Aku risau, weh."
"So, kau tak nak pergi la ni?"
"Nak tapi hmmm..."
Shuhada terdiam seketika. Kemudian, dia cuba menyakinkan Munirah bahawa ibunya akan baik-baik sahaja.
"Nanti aku bincang dengan ibu aku dulu k," kata Munirah sebelum keluar dari perut kereta. Shuhada hanya mengangguk.
"Assalamualaikum, ibu. Rindunya," ucap Munirah sambil memeluk tubuh ibunya yang kecil itu. Ketika itu, ibunya sedang asyik mengangkat pakaian di ampaian.
"Waalaikumussalam. Baru balik, sayang?" balas ibunya lembut.
"Ye, bu. Meh Ira tolong angkat bakul ni," kata Munirah sambil mengambil bakul pakaian yang dipegang ibunya. Lalu, mereka berjalan menuju ke rumah mereka.
Munirah meletakkan bakul tersebut di bilik tidurnya sebelum menuju ke bilik mandi untuk membersihkan diri.
Seusai mandi, Munirah melipat pakaian bersama-sama ibunya. Ketika itu, dia berkongsi cerita akan perihalnya yang akan berpindah tempat kerja di Petaling Jaya.
"Ibu, Ira nak cakap sikit ni."
"Cakap lah. Ibu dengar ni," balas ibunya sambil tangannya ligat melipat kain batik.
"Shuhada ajak Ira kerja di Petaling Jaya. Katanya, gaji besar, dalam RM1650 termasuk overtime."
Ibunya terdiam sejenak. "Kerja apa?" soal ibunya.
"Kerja kilang juga. Ibu izin ke Ira ke sana?" balas Munirah pula.
Ibunya terdiam lagi. "Bila nak perginya?"
"Lepas tempoh berhenti tamat. Kata Shuhada, dia ada saudara tinggal di situ. Jadi, kami akan tumpang rumahnya sementara cari tempat tinggal sendiri."
"Ira nak pergi ke?"
"Nak sebab gaji besar berbanding kerja kat kilang ni. Cuma, Ira berat hati nak tinggal kan ibu," jawab Munirah jujur.
Ibunya tersenyum. "Ibu boleh jaga diri sendiri. Ini masa depan, Ira. Jadi, Ira harus pergi. Ira kena rebut peluang yang ada. Allah dah buka jalan, selebihnya Ira kena usaha pula," nasihat ibunya membuatkan air mata Munirah jatuh berderai.
"Tapi, Ira sayang ibu. Siapa nak jaga ibu?" Munirah mula sebak.
"Ibu boleh jaga diri sendiri. Lagipun, Kak Amira, Kak Aqilah, Kak Aina, Atiqah dan Amalina kan ada. Mereka boleh jaga ibu," pujuk ibunya sambil memandang sayu wajah anak kesayangannya.
"Ira janji Ira akan jaga diri Ira baik-baik kat sana. Ira cuma nak cari rezeki je. Ibu doa untuk Ira, ye?" Munirah mula menjatuhkan kepalanya ke atas riba ibunya. Habis basah kain batik yang dipakai ibunya, dek air mata Munirah yang berterusan mengalir.
Ibunya mengusap lembut rambut Munirah. "Ibu sentiasa doa yang terbaik buat anak-anak ibu, tidak kira di mana kamu berada."
YOU ARE READING
Sayangi Aku
Short StoryCerita ini mengisahkan tentang seorang gadis yang bernama Munirah. Munirah merupakan seorang anak angkat kepada seorang ibu yang mempunyai lima orang anak perempuan. Anak-anak perempuannya tidak boleh menerima kehadiran Munirah di dalam keluarga ter...