Setelah sebulan tidak menjenguk Makcik Rusiah di kampung, Mirza ke sana bersama-sama ibu dan kakaknya di suatu pagi.
"Assalamualaikum," ucap Mirza setelah tiba di muka pintu rumah Makcik Rusiah.
"Waalaikumussalam. Oh, Mirza. Lama tak datang, jenguk mak," balas Makcik Rusiah seperti terasa hati dengan sikap Mirza.
"Maaf, mak. Mirza sibuk sejak kebelakangan ni. Maaf ye," pujuk Mirza lembut.
"Takpa. Masuklah," jemput Makcik Rusiah.
"Mama dan kakak pun ikut sekali," kata Mirza sambil menoleh ke arah keretanya.
"La ye ke? Jemput semua masuk. Mak nak jerang air sekejap sambil goreng samosa," balas Makcik Rusiah gembira.
"Samosa? Bila mak buat?" soal Mirza ceria kerana dia amat suka makan samosa yang dimasak Makcik Rusiah.
"Semalam. Tiba-tiba tergerak hati nak buat. Tak sangka anak mak nak balik rupanya," kata Makcik Rusiah sambil ketawa.
Mirza tersenyum lebar. Kemudian, dia membantu kakaknya mengangkat beg pakaian mereka serta barangan lain.
Keesokan pagi, Mirza ke warung Pakcik Harun untuk membeli nasi lemak.
"Assalamualaikum, pakcik. Nasi lemak belum sampai lagi, ye?" sapa Mirza setiba di warung itu.
"Nasi lemak?"
"Ye, pakcik. Nasi lemak Munirah."
"Nasi lemak Munirah dah tak ada. Dia dah tak tinggal kat sini lagi."
"Huh? Tak tinggal sini lagi? Satu keluarga ke pindah?"
"Tak la. Dia je."
"Pindah ke mana, pakcik?"
"Pakcik kurang pasti. Ini pun dengar daripada orang rumah pakcik. Ada baiknya kamu tanya sendiri pada ibu Munirah."
"Baik, pakcik. Terima kasih, ye."
Selesai berbual-bual, Mirza segera menuju ke rumah ibu Munirah. Ketika dia tiba di situ, terdengar suara orang sedang bertikam lidah.
"Ibu ni menyusahkan orang betul la. Tak kan la sarapan pagi pun tak boleh nak sedia kan. Orang penat la kerja. Tak kan kerja rumah pun orang nak kena buat. Penat la hidup macam ni."
"Tu la. Kami tak bagi Munirah pergi kerja kat tempat lain, ibu degil. Sekarang? Menyusahkan kami pulak. Kami penat kerja tau ibu. Cari duit, untuk bagi makan ibu jugak."
"Dah lah, Kak Mira, Kak Qila. Kita g makan kat luar je. Cakap banyak pun tak guna. Ibu tu bukan dengar cakap kita pun. Tak habis-habis mengadu sakit. Bukan buat apa pun kat rumah. Setakat kerja rumah je. Tu pun nak merungut."
Mirza tersentak apabila mendengar kata-kata adik-beradik Munirah. Dia masih menunggu di luar rumah. Tiba-tiba, Amira, Aqilah dan Aina keluar membawa topi keledar masing-masing. Amira terkejut apabila melihat Mirza tercegat di muka pintu rumah mereka. Disebabkan terlampau malu dengan sikapnya, Amira tidak menegur Mirza, malah segera beredar dari situ.
Setelah kelibat mereka tidak lagi kelihatan, Mirza memberi salam dan disahut lemah oleh ibu Munirah.
"Jemput la masuk, Mirza."
"Makcik apa khabar?" soal Mirza sebaik sahaja dia duduk di atas sebuah sofa.
"Kurang baik. Biasa la dah tua-tua ni," balas ibu Munirah perlahan.
"Nak saya bawak pergi klinik?" soal Mirza lagi.
"Tak apa la, Mirza. Makcik dah makan ubat. Nanti kebah lah tu demam," balas ibu Munirah lagi.
Mirza terdiam seketika. Fikirannya ligat memikirkan ayat-ayat yang sesuai untuk disoal pada ibu Munirah tentang Munirah. Dia yakin ibu Munirah jatuh sakit disebabkan rindu yang amat pada Munirah.
"Tadi saya pergi warung Pakcik Harun untuk beli nasi lemak. Tapi, kata Pakcik Harun, nasi lemak Munirah dah tak ada. Kenapa, makcik? Munirah pun tak sihat ke?" Soalan Mirza menambah sayu di hati ibu Munirah.
"Munirah dah tak ada, Mirza."
"Dah tak ada?" soal Mirza terkejut.
"Maksud makcik, dia dah berpindah tempat kerja. Dia tak tinggal sini lagi."
Mirza menghela nafas panjang. "Pindah ke mana, makcik?"
Ibu Munirah tidak menjawab soalan Mirza. Dia sudah berjanji kepada Munirah untuk merahsiakan hal ini daripada pengetahuan Mirza.
"Tak apa la kalau makcik tak sudi berkongsi dengan saya. Saya minta diri dulu," kata Mirza dengan nada merajuk bercampur kesal.
Ibu Munirah menghantar Mirza ke muka pintu. Dia berasa serba-salah. Tetapi, apakah daya, dia sudah berjanji dengan anaknya, Munirah.
Setiba di rumah, Mirza segera ke bilik tidurnya. Makcik Rusiah mengekori dari belakang.
"Kenapa, Mirza?" soal Makcik Rusiah lembut.
"Kenapa mak tak cerita pada Mir, Ira dah tak ada kat kampung ni?"
"Huh? Ira dah tak ada? Pergi mana?"
"Mak tak tahu?"
"Tak."
"Mak pergi la ziarah ibu Munirah. Dia tak berapa sihat tu."
"Kejap lagi, lepas solat Zohor, mak pergi. Nanti mak cuba tanya tentang Munirah juga."
Mirza tersenyum memandang wajah Makcik Rusiah. Dia mengharapakan Makcik Rusiah mampu mengorek rahsia daripada ibu Munirah.
Seusai solat Zohor, Makcik Rusiah menyusun langkah ke rumah ibu Munirah. Dia tidak membenarkan Mirza untuk menghantarnya.
Seusai bersalaman, Makcik Rusiah menghulurkan bekas berisi makanan ke ibu Munirah.
"Bila kau sakitnya? Kenapa tak bagitahu aku?" soal Makcik Rusiah kepada ibu Munirah.
"Aku tak mahu menyusahkan orang. Lagipun, sikit je ni. Nanti baik la tu," balas ibu Munirah.
"Mana Munirah? Kerja ke?"
Ibu Munirah lambat menjawab pertanyaan Makcik Rusiah. "Dia da pindah ke tempat lain, Rusiah."
"Ke mana?"
"Petaling Jaya. Kerja kilang di sana," jawab ibu Munirah jujur. "Tapi, aku minta jasa baik kau untuk merahsiakan hal ini daripada sesiapa ye," tambah ibu Munirah lagi.
Makcik Rusiah mengangguk tanda setuju. Setelah beberapa jam berada di rumah ibu Munirah, Makcik Rusiah meminta diri untuk pulang ke rumah dengan alasan ada tetamu yang harus dilayannya.
Setiba di rumah, Mirza terus menerpa ke arah Makcik Rusiah.
"Mak tak mampu mengorek rahsia, Mir. Ibu Munirah tu perahsia sangat orangnya."
Jawapan Makcik Rusiah menghampakan hati Mirza.

ANDA SEDANG MEMBACA
Sayangi Aku
Short StoryCerita ini mengisahkan tentang seorang gadis yang bernama Munirah. Munirah merupakan seorang anak angkat kepada seorang ibu yang mempunyai lima orang anak perempuan. Anak-anak perempuannya tidak boleh menerima kehadiran Munirah di dalam keluarga ter...