16

135 6 0
                                    

Pada hujung minggu itu, dia mengambil keputusan untuk melawat Kampung Sarang Buaya , Muar untuk mengamati pemandangan sawah padi selepas menjamu selera ikan bakar. Dia tahu perjalanan itu memenatkan tapi dia sungguh berharap untuk mendapat petunjuk. Muar. Nama itu seperti pernah disebut oleh seseorang. Bukan itu sahaja, dia banyak mencoret kenangan indah di Muar juga. Muar? Faris. Dia berdiri memandang sawah padi yang menunduk menunggu masak lalu dibelainya perlahan-lahan. Cantik. Kampung itu dinamakan sarang buaya kerana terdapat banyak buaya mengikut legenda terdahulu tapi masyarakat dahulu  tidak takut akan buaya menurut ayahnya. Berani ibarat wira negara. Berani, wira ....

"Wa, mak cik Zainab ajak datang rumah dia, dah tak jauh dah." ibunya meminta. Ana hanya menurut, dia juga rasa gementar untuk ke rumah itu. "Assalammualaikum." Kehadirannya disambut baik oleh tuan rumah yang hanya duduk berdua di rumah itu. Selepas menjamu kuih sepotong dua , dia meminta izin untuk menghirup udara luar.Mereka tahu yang dia resah mencari jawapan hati. Silir petang itu mententeramkan hatinya yang resah , silir daksina yang bebas pencemaran revolusi industri. Cukup menenangkan.Dia duduk di tempat yang selalu didiami Faris petang itu, dapat dia rasakan kuat aura wira itu di kampung halamannya. Hatinya semakin bergetar, laju menjemput perasaan hiba yang menguasai diri. Dia menangis teresak-esak di pondok luar rumah itu sehingga tangisannya memecahkan keheningan petang. 

Seolah-olah tidak dapat dihentikan kekacauan hatinya, dia dipujuk oleh ibunya dan ibu Faris. Berat hatinya memikul beban yang tidak terluah namun dia memilih untuk berdiam diri. Seusai mendirikan solat Maghrib berjemaah, Ana terus setia di atas sejadah menginsafi kesalahannya agar hatinya tenteram. 'Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati manusia. Kau tenteramkanlah jiwa hambamu yang penuh khilaf ini.'  Sikap pelik Ana itu menimbulkan tanda tanya kepada kedua-dua buah keluarga. Dalam perjalanan pulang, ibunya sempat berpesan, "tiada siapa yang paksa kamu Wa." dalam nada pujuk rayu. Dia tahu, 'tiada siapa yang memaksanya, dia yang memilih jalan ini.'

...................................................

Faris meletakkan telefonnya dengan lemah sebelum menerima panggilan kecemasan seterusnya. Khabar pilu itu turut meruntun jiwanya yang berharap. 'Kenapa perlu menangis? Apa salah saya?' Dia merasakan dirinya sebagai beban buat Ana. Jika begitulah takdirnya, dia lebih rela tidak pernah mengenalinya. Dia tidak mahu menjadi beban kepada sesiapa pun . Dia mula berfikir jika Ana menganggap kerjayanya sebagai beban. Adakah Ana takut kehilangannya ataupun dia memandang rendah terhadapnya? Ataupun dia tidak sanggup berkorban buatnya? Pelbagai persoalan menghantui fikiran Faris . Pantas dia menepis persoalan-persoalan itu lalu beristighfar kepada Allah. 

.......................................................

Ana memberi kata putus dalam ketidakpastiannya namun dia berjaya menggembirakan hati semua pihak cuma dia meminta agar perkara itu dirahsiakan dari pengetahuan Faris. Dia malu, takut dan tidak pasti dengan perasaannya. 'Tapi, bagaimana dia hendak berjumpa Faris?' 

Dalam perjalanan pulang ke rumah, enjin keretanya mati di tengah-tengah jalan. Nasib baik dia berada di lorong kiri. Dia cepat-cepat mengeluarkan tanda segi tiga amaran untuk memberi isyarat kepada pemandu lain. Enjinnya terasa panas sewaktu dia membuka bonet. Tiba-tiba sebuah kereta memarkir di hadapan keretanya. Dia sudah serik dengan kes-kes wanita menjadi mangsa penipuan, dia berhasrat untuk menolak bantuan itu. Apabila dia memandang ke arah pemandu itu, dia melihat sesusuk tubuh bekemeja putih keluar dari tempat duduk pemandu. Rambut yang selalu menutupi dahinya disisir rapi ke belakang dan dia lebih tegap jika dibandingkan dengan sebelumnya.

"Tadi saya nampak kereta awak berhenti di tepi jalan. Alang-alang saya lalu jalan ni, boleh saya tolong?" Ana hanya mengangguk perlahan tanda setuju. Dia terlupa yang jalan itu memang sehala ke balai bomba. Ana cuma terdiam, bibirnya kelu tanpa sebarang kata tercegat menemani Faris yang khusyuk melakukan kerjanya walaupun hatinya meronta-ronta untuk bertanya jika dia menyusahkan Faris, apa khabar dia, adakah dia sihat? Namun apabila ditelitinya, dia membuang hasrat itu jauh dari lubuk hatinya. Nada Faris tidak seperti kebiasaan, nadanya formal tidak merayu, dia juga tidak mencuri pandang wajah Ana seperti sebelum ini. Ana sedih namun digagahinya juga hasratnya untuk menegur Faris. 

Dia sedar yang Faris hampir selesai membaiki keretanya manakala kakinya berdiri teguh di sebelah kereta menunduk sayu. Hatinya tidak tenteram. Faris mencapai penutup bonet lalu memandang Ana yang sudah berair kolam matanya. Dia kaget. Adam yang menumpang keretanya cuma mengangkat bahu. Tatkala Ana menunduk berlalu pergi , dia juga mengatur langkah, hatinya kecewa. Namun dia disekat dari belakang. "Fariss!!", dia menoleh memandang mata Ana yang sudah pun merah menangis. 

"Boleh kita cakap?" tanya suaranya yang hampir tidak didengari kerana terlalu sayup dalam esak tangisnya. Faris risau akan keadaan wanita itu tapi dia tidak mampu berbuat apa-apa. Jika dibiarkannya, dia juga akan turut menangis kecewa.

Lama dia menunggu kata-kata Ana di samping dia mempersiap emosinya untuk menerima kekecewaan. Dia tahu Ana tidak dapat menerimanya.Hatinya mula hiba namun diseka air matanya daripada mengalir. Dia mencari alasan untuk mengelakkan kedukaan itu. "Awak, saya ada kerja ...." Belum sempat dia beralasan, Ana dulu mendongak seraya berkata, "Saya suka awak!" dengan pandangan penuh harapan.

Ku Tunggu CintamuWhere stories live. Discover now