Sejak belakangan ini, dia selalu melawati ibunya selepas kerja terutama sekali apabila Faris belum pulang ataupun bekerja malam , dia juga selalu menelefon dan berjumpa adik-beradiknya buat kali terakhir. Sewaktu makan malam, ibunya bertanya tentang kesihatannya,sudah dia mengagak. Pucat mukanya lain macam sehingga tidak boleh ditutup lagi. "Wa, kau sakit ke?" Tepat.
"Kenapa mama tanya macam tu." duganya.
"Taklah aku tengok kau ni pucat lesi je, doktor cakap apa?" ibunya risau.
"Doktor cakap kurang darah sebab Wawa kan tak selera." pandai-pandai dia mereka alasan.
"Tu lah kau memang selalu memilih makan, tapi untuk bayi dalam kandungan tu kenalah jaga." Ana menunduk faham."Lepas ni mak Zai kata nak jaga kamu waktu pantang." Ana senyum memang dia gembira mendengar berita itu keluar dari mulut mentuanya sendiri minggu lepas namun dia tahu tiada siapa yang akan menjaganya. Walaupun dia mahu menangis di dalam bilik, dia tolong ibunya melipat kain. Biarlah dia lakukan tanggungjawab sebagai anak perempuan buat kali yang terakhir. Esok apabila dia berjumpa Faris, akan dia dakap suaminya seerat-eratnya. Betapa dia berharap agar waktu terhenti dan dia dapat meluangkan setiap saat bersama Faris.
Perutnya semakin sakit dan dia tahu dia tidak dapat melahirkan anak dengan normal, maka dia terlebih dahulu membuat temu janji dengan doktor. Ana kesal. Dia menekup mukanya di tempat parkir hospital dan menangis sekuatnya dalam kereta, dia sungguh berharap dia dapat melahirkan anaknya dengan normal dan memberikan susu badan tapi dia tidak mampu. Dia mahu anaknya mempunyai memori dengannya, sama seperti dia yang menyusu badan dan membesar dengan baik sekali. Namun, anaknya tidak akan mengingatinya pun, rintih Ana.
.......................
Pada hari terakhirnya di sekolah, dia beramah dengan semua orang. Hatinya hiba namun disorokkan perasaannya jauh-jauh.
"Hari ni hari bahagia awak sebab saya akan bercuti lama ~ Kepada anak-anak murid saya, saya sayang ~ awak!" ucapnya dengan kedua-dua tangan membentuk hati di atas kepala. "Kepada anak-anak murid saya yang nakal! Saya laaagi sayang awak!" Kali ini dia menghadiahkan hati kecil yang dibentuk dengan jarinya. Dia memeluk semua cikgu perempuan di bilik guru sambil memohon doa mereka. Dia sungguh sedih hendak melihat wajah-wajah yang banyak mengajarnya buat kali terakhir. Staf sokongan juga tidak dilepaskannya. Walaupun dia cuma guru muda, dia sedih untuk meninggalkan kerjanya dalam mendidik pelajar. "Saya tahu saya garang tapi sebab saya sayangkan awak." Itulah ungkapan terakhirnya buat para pelajar yang disambut sorak sorai budak-budak yang baru setahun jagung itu. "Cikgu, maafkan salah saya, harap cikgu doakan saya nanti."
Ana mengambil cuti dua minggu sebelum tarikh yang diberitahu doktor. Walaupun agak awal, namun dia telah menyiapkan semua tugasnya dan dia juga tidak dapat bercuti panjang kerana dia akan bercuti selamanya. Dia mahu menunggu Faris di rumah setiap hari. Dia sangat merindui Faris.
.................
Faris melentok di atas pahanya sambil mengusap-ngusap perutnya yang kecil itu. Dia bertanya tentang nama anak mereka nanti. Dia bercadang untuk menamakannya dengan huruf A bersempena nama Ana kerana bayi itu bayi lelaki, Faris juga bercadang untuk mendapat anak perempuan nanti. Ana hanya diam dibuangnya kata-kata Faris seolah-olah dia tidak mendengar dan terus mengusap kepala Faris. Ada ketika dia mengucup bibir Faris tanpa segan. Faris terkesima tapi dia berbunga.
" Ana , harap-harap bayi ni ikut muka Ana sebab kalau ikut muka abang nanti bergaduh. Dua-dua kacak."sengihnya. Walaupun Ana tak mampu bersuara, dia cuba.
"Tapi Ana nak budak ni ikut muka abang." Faris memandangnya.
"Sebab Ana nak dia kacak,comel, cerah, tinggi, berani macam ayah dia." Ana mencubit hidung Faris membuatkan dia tersenyum kembang.
"Nanti jangan lawan cakap ibu tau, kalau tidak ayah cuuubit!" pandai-pandai dia membuat gaya depan perut Ana sampai Ana pula yang mencubitnya. "Aduh,sayang sakit sayang!" dia mengadoi.Setiap malam dia tidur menghadap Faris dan Faris yang sudah terbiasa akan mendodoikannya dalam pelukan. Dua minggu itu dia sungguh bahagia. Dia telah menyiapkan baju-baju bayi dan kelengkapannya ke hospital. Dia meletakkan buku bank dan diarinya dalam laci yang selalu dibuka Faris.
..............
Ana pergi ke wad bersama ibu dan mentuanya. Dia sungguh bersyukur mempunyai dua orang ibu yang sangat penyayang. Faris tidak dapat menghantarnya kerana perlu bertugas. Walaupun berat hatinya dia perlu fokus. Ana mengucup tangannya sebelum pergi bertugas, dapat dia rasakan kelainan pada isterinya itu. Lambat-lambat Ana melepaskan tangan Faris. Beberapa langkah sebelum menaiki kereta, dia memeluk Faris dari belakang sambil menangis, dia tidak dapat menahan lagi, "Ana sayang abang!" Ucapnya perit. Walaupun telah berkali-kali mendengarnya, Faris tetap sayu seakan-akan ..... "Sayang, dengar sini, tiada apa akan terjadi. Sayang akan selamat! Abang akan jumpa sayang dengan anak kita. Kita akan besarkan anak kita sama-sama."
Dia cuba memujuk dan merungkaikan pelukan Ana dengan berat hati. Kedua dua ibunya yang baru mendapat tahu dia akan melalui pembedahan amat risau dengan keadaannya namun Ana meminta agar ia dirahsiakan daripada Faris agar dia tidak risau. Mereka terus menghubungi saudara mara dan orang surau untuk meminta doa mereka manakala Ana hanya tersenyum melihat telatah mereka. Ana memohon ampun daripada kedua ibu bapanya sebelum memejamkan mata ke dewan bedah. Dia meletakkan kedua dua tangan atas perutnya untuk kali terakhir. Semoga bayinya dapat menerima dia sebagai seorang ibu.
.............
Faris terus menuju ke hospital apabila ibunya memberitahu Ana kritikal di ICU. Syukur bayinya dapat diselamatkan namun dia sangat merisaukan Ana. Dia tidak sanggup kehilangannya. Faris sedar kenapa Ana berkelakuan pelik selepas memberitahu beritanya mengandung. Rupanya ada benda yang telah lama dia sorokkan dan menanggung sakit seorang diri. Faris jatuh ke atas lantai menginsafi kealpaannya sebagai seorang suami. Dia gagal menjaga Ana.
"Ana menghidap kanser perut pada awal kandungannya dan dia bertanya pada saya jika kandungannya akan terganggu. Bagi penghidap kanser perut , peratus untuk hamil adalah rendah dan perlu menjalani rawatan kimoterapi dan pembedahan namun dia terlebih dahulu perlu menggugurkan kandungannya jadi Puan Ana menolak kerana kansernya sudah berkembang pada tahap dua. Saya minta maaf, encik. Keadaan Puan Ana yang lemah sekarang ini tidak mengizinkan kita untuk melakukan apa-apa. "
Faris tidak mampu menahan sebaknya lagi lalu dia meraung di luar ICU.
...............
Apabila tiba waktu melawat, dia hanya dibenarkan melihat Ana dari tingkap kaca. Dia sedang bertarung sekuatnya , wajahnya yang semakin memutih langsung tidak menunjukkan erti putus asa walaupun dia hanya bergantung pada mesin pernafasan. Faris dapat membayangkan bagaimana Ana menemaninya di IJN walaupun wanita itu tidak pernah menceritakannya. 'Ana,bangun sayang. Abang datang.'

YOU ARE READING
Ku Tunggu Cintamu
Romance"Tiap hari aku berdoa agar kita dipertemukan. Demi Allah tidak pernah aku mengkhianati cintamu. Walaupun sebelum aku mengenalimu, aku telah mencintaimu. Datanglah padaku kasih. Aku berjanji akan menjagamu. " , kedua-dua mereka merintih agar bisikan...