Secawan air mineral dihulur pada teman sebiliknya itu.
"Aku.. minta maaf," ujar Luqman serba salah, tidak menyangka Zarif akan menjerit sebegitu kuat hanya kerana dia menyelak selimutnya.
Zarif menghirup nafas dalam. Kepalanya terasa berdesing.
Tangan Luqman yang menghulur air itu ditepis kasar. Pandangan tajam mencerlung lelaki itu.
Dalam kesakitan itu Zarif bangkit dari pembaringannya. Hoodie yang tersangkut dibirai katil itu disarung lantas menutup separuh kepalanya.
Dan tanpa sebarang bicara, Zarif melangkah keluar dari bilik tersebut.
"Kau nak pergi mana tengah malam buta ni?"
Soalan Luqman diabaikan umpama angin lalu.
########
Kakinya menapak tanpa arah tuju. Laju menuruni anak tangga empat tingkat itu."Ah," kepalanya yang berdenyut itu dipegang sebentar,
—lalu tanpa sedar kakinya tersadung terlepas satu anak tangga dan badannya tergolek jatuh hingga menghentak dinding bangunan.
Zarif mengetap gigi mengaduh sakit. Badannya terbaring di lantai tingkat satu.
Tatkala itu terdengar hilaian tawa halus disebelah telinganya.
Nyaring namun perlahan.
Bingit namun jauh.
Seolah mentertawakan dirinya.
Dada Zarif berombak laju mengumpul nafas dan kekuatan. Pening dikepalanya semakin terasa disetiap urat-urat.
Matanya terpejam. Tidak bermaya.
"Abang?"
Tiba-tiba satu suara menegurnya.
Suara yang tidak asing.
Zarif tersentak. Matanya automatik terbuka, memandang empunya suara yang menegur.
Wajah Zahra menghiasi pandangan.
"Kenapa abang baring dekat sini?" soal gadis itu sambil memuncungkan bibir.
Zarif bingkas bangun, reaksi dek terkejut.Matanya bersinar menatap wajah adiknya yang turut membalas pandangannya.
Dan tika itu kedengaran tapak menghampirinya.
"Zarif, kenapa baring atas lantai macamni? Berapa kali ibu pesan supaya jangan main kotor," ibunya memapah lengannya membantu dia untuk duduk dengan betul.
Zarif kemudian menatap wajah ibunya pula. Perasaan sebak serta merta hadir menyelubungi hatinya.
Pegangan ibu dan Zahra ditolak.
Air matanya sehabis mungkin ditahan agar tidak tewas.
"Jangan kacau aku lagi.." bergetar suara Zarif, sambil kepalanya tergeleng menidakkan perkara yang dilihat saat ini.
Sudah lah,
dia tidak akan termakan lagi dengan permainan ini.
Zahra memeluk Zarif tiba-tiba."Abang.. Jangan nangis..."
Zarif mengetap bibirnya. Kehangatan pelukan Zahra itu terasa benar-benar nyata.
Namun dia tetap meleraikan pelukan itu.
"Tolong...
tolong jangan kacau aku lagi ." lirih Zarif. Air mata yang sudah mengalir itu diseka pantas.

ANDA SEDANG MEMBACA
DIAM ✔
Mystery / ThrillerPabila suara demi suara berbisik kata, yang dia mahu hanyalah sunyi tanpa bicara. Hati meronta agar dilepaskan dari dimensi dunia yang tiada siapa boleh gambarkan. "Diam!" teriaknya di hening malam itu, walhal mereka yang lain sedang tidur berselimu...