Deruan angin membelai wajah melalui jendela yang terkuak kecil. Air nescafe panas bersama biskut gula menjadi peneman setia sejak dua jam lalu.Jarinya mengetuk-ngetuk kepala bagi mengerah idea yang tidak kunjung tiba. Lama mata menatap komputer ribanya itu.
Konsep sudah selesai. Pengeditan sudah siap. Namun serasa ada yang tidak kena pada gambar projek yang diusahakan itu.
Orked menyisip kembali air nescafe itu. Jarinya kemudian lincah bermain dipapan kekunci, membetulkan beberapa perkara.
Sedang dia khusyuk itu,
telinganya menangkap sesuatu bunyi.
Perlahan.
Kepalanya didongak tiba-tiba.
Bunyi daripada tingkat atas. Seperti bunyi guli yang sedang digolek ke sana sini. Terkadang bunyi seperti lantunan.
Ding!
Ding!
Orked menyambung kerjanya.
Ding!
Ding!
Semakin kerap bunyi tersebut. Seolah sengaja mengusik.
Tatkala itu, jendala yang dibiar terbuka tadi diketuk pula. Perlahan.
Tok!
Tok!
Namun Orked masih santai. Kerjanya diteruskan lagi.
Tok!
Tok!
Ketukan tingkap kembali menjengah deria pendengaran.
Tok!
Tok!
Berasa rimas, Orked memalingkan wajah menghadap jendela kamar. "Kau nak apa memekak?" tanya dia pada seorang wanita yang sedang mengintainya disebalik kuakan kecil itu.
Wanita itu berpakai serba putih. Wajahnya biasa, cuma kelihatan pucat dan tidak bermaya bersama rambut yang terbelah panjang.
Wanita itu membuah senyum lebar.
"Adik nak beli pau suri?" soal wanita itu, lembut sekali suaranya.
Orked menggeleng, "Taknak. Dah kenyang makan biskut. Pergi bilik sebelah," tolaknya selamba.
Bukannya dia tidak tahu biliknya berada ditingkat 3. Dah macam mana akak ni buat servis delivery dari tingkap ke tingkap.
Wajah wanita itu bertukar mendung. "Adik nak beli pau suri?" soal dia semula.
Orked mencebik.
"Taknak. Dah kenyang. Jangan kacau la orang nak study," Orked bangkit kemudian pergi menutup jendela biliknya.
Sempat dia mengintai badan akak pau yang tidak berkaki itu lantas kembali ke tempat duduknya.
"Memekak betul," dengusnya. Air nescafe disisip melegakan sakit hati.
Setelah itu kedengaran bunyi keriuk katil. Orked berpaling.
"Kau cakap dengan sape?" tanya Marissa, yang terjaga dari lena kerana mendengar suara orang seperti berborak. Dia terpisat bangun dalam mamai.
"Oh sorry buat kau terjaga. Tah ada hantu kacau tadi. Serabut," jawab Orked seraya menyambung kerjanya yang terbantut tadi.
Marissa yang tadinya mamai, terus segar-bugar. Matanya memandang tingkap bilik mereka yang kosong itu.
YOU ARE READING
DIAM ✔
Misterio / SuspensoPabila suara demi suara berbisik kata, yang dia mahu hanyalah sunyi tanpa bicara. Hati meronta agar dilepaskan dari dimensi dunia yang tiada siapa boleh gambarkan. "Diam!" teriaknya di hening malam itu, walhal mereka yang lain sedang tidur berselimu...