✺ 1 ❋

94 16 161
                                    

SEMENTARA menunggu kemunculan orang yang dipanggil, badan direbahkan pada kerusi secara mengiring

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

SEMENTARA menunggu kemunculan orang yang dipanggil, badan direbahkan pada kerusi secara mengiring. Masa dihitung, mengagak bila agaknya pertolongan tiba bagi menyelesaikan masalah dihadapi.

Nombor telefon yang tertayang pada skrin telefon dipandang sekali lagi lalu jari mengalihkan paparan pada skrin utama.

Tidak pasti siapa yang bakal datang memandangkan nombor tersebut diperoleh dari pekerjanya sendiri.

Mata meredup pandang pada jalan yang disusuri kenderaan tanpa henti. Warna dan jenama kenderaan dilihat tanpa satu pun menarik perhatiannya. Deruman perlahan mahupun kuat, sedikit pun tidak menganggu halwa telinga. Lamunannya jauh tersasar dari tayangan luas sepasang mata.

Dek kerana bosan menunggu, dia bangun lalu menutup pintu kereta yang tersadai. Dia berjalan menuju ke penghadang jalan bertemankan payung. Cuaca tidak terlalu panas, tidak pula mendung. Namun jika dia lama berada di luar, badan boleh merasa bahangnya terik matahari.

Hendak duduk setia dalam kereta, enjin sudah lama dimatikan apatah lagi penghawa dingin.

Mata tergerak melihat ke tepi kanan. Beberapa tangkai bunga kuning hidup meliar di bahu jalan. Melihat keutuhan bunga tersebut, dia tersenyum nipis.

"Dekat sini pun korang ada?" Diri bertanya pada bunga yang tidak mampu bersuara. Dengan berhati-hati, bunga tersebut dicabut dari akar untuk dibawa pulang ke rumah.

Saat kotak kecil dikeluarkan dari bonet belakang, datang sebuah trak penarik kenderaan lalu memakir di hadapan kereta. Dia meneleng, memandang dua orang yang tidak dikenali turun dari trak tersebut.

"Encik Kim Yugyeom, bukan?" tanya si pemandu trak. Seorang lagi melihat nombor pendaftaran kereta bagi memastikan mereka berjumpa orang yang betul.

"Ya, saya," jawab Yugyeom setelah bonet kereta ditutup. Pekerja dari bengkel yang ditelefonnya tadi, dihampiri. Mereka tunduk hormat sebelum Yugyeom diminta untuk membuka bonet hadapan.

"Saya Seong Hwa. Encik beritahu suhu kereta naik mendadak, ya?" tanya pemandu, sementara kawannya membongkok dan mencari punca masalah. Betul-betul di bawah bampar atau bumper hadapan, dipandang sejenak. Dia mendapati ada cecair kuning menitis di atas jalan.

"Ya. Saya tak pasti kalau kereta saya ni kekurangan air atau ada sebab lain." Yugyeom memandang bahagian bonet hadapan, seakan cuba mencari punca utama.

Seong Hwa ditepuk pada bahagian bahu oleh rakannya sebagai isyarat agar lelaki itu mendekati. Radiator kereta dilihat kedua pekerja bengkel tersebut sebelum Yugyeom dipandang semula.

"Radiator kereta encik bocor. Kalau encik setuju, saya akan bawa kereta encik ke bengkel. Kami boleh gantikan hos atau radiator baru jika perlu," terang Seong Hwa.

Yugyeom mengalih wajah, memikirkan sama ada dia perlu mengikuti mereka berdua atau tidak. Badannya kepenatan dan dia mahu berehat. Meluangkan masa dalam menunggu tidak berada dalam rencananya.

𝐃𝐀𝐍𝐃𝐄𝐋𝐈𝐎𝐍: 𝐋𝐚𝐬𝐭 𝐋𝐨𝐯𝐞Where stories live. Discover now