PETI masuk e-mail dibuka Chansung dan nama syarikat naungan Kingdom Hotel dicari. Setelah mendapati dokumen kiriman pihak hotel, Chansung mengambil masa setengah jam meneliti sebelum tangan mencapai butang interkom telefon pejabat.
"Ya, tuan," sapa pegawai operasinya.
"Kingdom Hotel cc surat kepada pihak operasi. Cuba awak semak dan tolong pastikan stok susu White Farm mencukupi sebelum kita beri maklum balas. Awak beritahu sekali bahagian marketing. Kemudian, laporkan kepada saya semula," arah Chansung.
Selesai saja tugasnya menyemak dokumen permintaan daripada pihak hotel, Chansung tertoleh-toleh. Kerjanya hampir selesai sebelum tiba waktu tengah hari. Melihat detik waktu yang berjalan melalui jam tangannya, dia berkira-kira untuk mengajak dua orang anak terunanya makan bersama.
Chansung segera mencapai telefon pintar dan buku log kenalan dibuka bagi mencari nombor Yugyeom.
Sudah bertahun nombor telefon anaknya berhabuk dalam simpanan kenalan. Sejak Yugyeom keluar dari rumah, sebaris nombor itu langsung tidak dihubungi malah dia juga tidak menerima sebarang panggilan atau mesej.
Terbit secebis kerinduan dalam lautan ego Chansung. Dia menarik nafas panjang bagi menghilangkan sayupan dingin yang melingkari jiwa. Mungkin dengan menelefon, suaranya akan gagap berkata-kata.
"Chat sajalah. Takkan dia tak baca langsung, kan?" Chansung menyedapkan hati dengan kata-kata positif.
"Ayah nak ajak Yugyeom dan Jeongin keluar makan. Ayah belanja," sebut Chansung sambil menaip.
Setelah itu, telefon diletakkan di atas meja. Sepuluh jari bertaut lalu ibu jari berpusing-pusing sesama sendiri. Dia menunggu balasan daripada anak sulungnya itu.
Apabila kesabarannya terusik, Chansung terus mengambil tongkat lalu bangun. Kali ini biarlah dia beralah. Bertemankan pemandu, dia akan pergi menjemput kedua orang anaknya di butik. Mungkin dia boleh ajak Krystal sekali. Tidak perlulah isterinya bersusah-payah menyediakan hidangan di rumah.
✺✺❋❋✺✺
KOMPUTER riba yang diserahkan kepada Jeongin, dibawa lelaki itu menuju ke sebuah meja. Segala gambar atau video yang diambil semasa majlis perkahwinan tempoh hari perlu disunting dan dicetak seterusnya dibukukan mengikut pakej pilihan pelanggan.
Kaki yang menyusuri tingkat dua, beransur perlahan saat matanya tertancap pada pasangan yang memasuki ruang pemilihan baju yang sedia ada.
Bagaikan separuh pergerakannya terbatas, Jeongin terpacak tanpa mengebilkan mata.
"Apa Olivia buat dekat sini??" Jeongin dipagut risau. Siapa yang sedang menemani pasangan itu?
LENGAN kekar Wonwoo menjadi tempat Olivia berpaut erat semasa mereka memilih busana yang tergantung di bilik cerah berwarna putih pucat dan disinari kandil yang tergantung kukuh.
YOU ARE READING
𝐃𝐀𝐍𝐃𝐄𝐋𝐈𝐎𝐍: 𝐋𝐚𝐬𝐭 𝐋𝐨𝐯𝐞
Fiksi PenggemarBicara cinta tidak terungkap dengan kata-kata. Lebih indah jika digambarkan melalui ketulusan sang hati. Dua insan ditakdirkan bertemu dalam lingkaran teka-teki perasaan. Cantuman cinta disusun hingga tiada cebisan yang tertinggal. Namun, menjan...