SETELAH selesai mandi, Yugyeom memerhatikan diri melalui biasan cermin. Tuala di tangan laju mengelap belakang tengkuk bagi mengeringkan rambut. Sebelah tangannya pula beralih pada telefon pintar bagi melihat waktu sebelum telinga cuba menangkap bunyi di tingkat bawah.
Derapan kaki menuruni anak tangga bikin pembantu rumah angkat muka ketika menghidangkan makanan di atas meja. Wanita itu tersenyum melihat kemunculan majikannya di ruang tersebut. Wajah tenang Yugyeom sedang melemparkan senyuman buatnya.
"Puan Ko dah packing makanan?" soal Yugyeom ingin tahu. Kerusi ditarik sambil menanti balasan pembantu rumahnya. Sejurus itu, dia melihat sekeliling. Di mana adiknya?
"Dah, tuan," jawab Puan Ko. Setiap kali dia menyediakan makan malam, Yugyeom akan memastikan pembantu rumahnya membawa bekalan pulang ke rumah untuk santapan bersama Encik Ki.
"Saya dan suami beransur dulu, ya tuan?" pamit Puan Ko dan dibalas dengan anggukkan Yugyeom.
Di ruang tamu, wanita berkenaan berselisih dengan Jeongin sebelum mereka bertukar senyuman. Tahulah dia bahawa pembantu rumah abangnya ingin pulang setelah waktu bekerja tamat.
Duduknya Jeongin di ruang makan, diperhatikan Yugyeom. Dia akan pastikan telefon tidak berada di tangan adiknya. Jika tidak, makan malam mereka akan ditayang secara langsung melalui Instagram. Hilang sudah makna sebuah privasi jika begitu.
"Abang tunggu Jeongin?" tanya Jeongin, terharu. Sangkanya Yugyeom akan makan terlebih dahulu tanpa menunggu.
"Erm," jawab Yugyeom.
Nampaknya angin kencang surut dayunya. Hujan pula tidak lebat turunnya. Mode abangnya begitu baik malam ini. Maka, senanglah untuk dia mengutarakan soalan.
"Ayah marahkan abang lagi?" soal Jeongin. Sekelumit takut masih melekat dalam hati. Yugyeom tidak boleh dijangka. Barangkali angin satu badan boleh datang semula dan hamburan penekanan kata akan tercurah buat Jeongin.
Yugyeom menyepit potongan sayur kailan lalu dimasukkan ke dalam mulut. Kunyahannya perlahan sambil lirikan mata merayap pada lauk yang lain.
"Macam biasa," jawab Yugyeom tanpa memandang wajah Jeongin. Tidak perlu dijelaskan dengan lebih lanjut. Sudah terang lagi bersuluh bagaimana riak wajah Chansung ketika keluar dari butik. Semanis muka langsung tidak tertayang.
Pengakhiran 'perbincangan' itu sudah dapat diagak oleh Jeongin. Nampaknya tembok konkrit masih utuh dalam jiwa Yugyeom dan Chansung. Tembok tersebut menghalang aliran kekeluargaan sejak tujuh tahun dulu.
"Kalau abang perasan, ini kali pertama ayah sanggup berjumpa abang secara berdepan. Ayah kalau dah marah, tiada siapa boleh redakan. Apa yang jadi pagi tadi, macam petanda. Mungkin ya ayah marahkan abang, tapi dalam masa yang sama mungkin ayah nak abang balik?" Jeongin menanam sudut pandangan positif buat Yugyeom. Dia tidak mahu memaksa Yugyeom membuka minda bagi melihat semua itu kerana dia tahu abangnya seorang yang peka.
YOU ARE READING
𝐃𝐀𝐍𝐃𝐄𝐋𝐈𝐎𝐍: 𝐋𝐚𝐬𝐭 𝐋𝐨𝐯𝐞
FanfictionBicara cinta tidak terungkap dengan kata-kata. Lebih indah jika digambarkan melalui ketulusan sang hati. Dua insan ditakdirkan bertemu dalam lingkaran teka-teki perasaan. Cantuman cinta disusun hingga tiada cebisan yang tertinggal. Namun, menjan...