BERBEKALKAN wajah kusut dan serabai, tangan menggagau tanpa hala yang tetap. Kaki seakan terikat dengan sepikul beban lantas selimut tebal yang menyelubungi tubuh, tidak ditolak ke tepi. Badan setia dibuai keselesaan katil empuk manakala akal bersisakan mimpi.
"Mana pula telefon aku ni...?" Joshua bergumam sendiri. Kelopak mata yang tertutup menghalang pencariannya di sebuah meja kecil sebelah katil.
Geram telefonnya tidak berada dalam genggaman setelah 20 saat tangan mengambil peranan sepasang mata dalam mencari, Joshua menghela nafas berat ketika bangun dari pembaringan. Selimut seperti musuh, ditendang-tendang sehingga terjatuh di atas lantai.
"Hurm... Telefon dekat sini...," rengek Joshua. Dia menyalahkan kedudukan telefon kerana berjaya buat dia bangkit dari katil sedangkan alat komunikasi tersebut diletakkan secara tidak sengaja berhampiran bantal malam tadi.
"Baru pukul 7.30 paAAAGIII..." Joshua segera menutup mulut yang menguap. Dia kemudiannya duduk termenung memandang tingkap. Cermin kaca yang ditutup birai warna cerah itu, menjemput sejalur cahaya sang jingga menerobos dan melewati ruang kamar. Joshua perhatikan cahaya itu tanpa sekelumit perasaan.
Tok! Tok!
"Joshua... Dah bangun ke, nak?" tanya Minhyuk dari luar bilik.
Hendak menjawab saja, Joshua sudah berperang dengan kemalasan. Perlahan-lahan dia berjalan menuju ke pintu.
"Tolong pergi kedai kejap. Roti dah habis," sambung Minhyuk.
Joshua melakukan pusingan-U dan rebah semula di atas katil. Kemalasan berjaya menakluki segenap wilayah tubuh badannya. Dia mengelat dan enggan menurut permintaan Minhyuk. Penat badan dek bekerja dibengkel masih berbaki.
Emma. Dia perlukan Emma. Dia yakin adiknya itu boleh diharap kerana sudah menjadi kebiasaan Emma bangun awal hatta hari minggu sekalipun. Masa inilah digunakan adiknya untuk mereka baju dan menjahit di rumah. Apa salahnya kalau Emma merajinkan diri ke kedai pula?
Minhyuk mencekak pinggang bersama sudip di tangan. Walaupun Joshua tidak terjengkul di muka pintu, tetapi Minhyuk dapat rasakan derapan kaki anaknya sebentar tadi.
Bahu Minhyuk ditepuk Emma dari tepi. "Kenapa, ayah?"
Inilah yang dikatakan sebagai harapan bangsa dan negara. Emma sudah siap bersihkan diri di awal pagi. Bukan seperti Joshua yang masih terbongkang di atas katil. Minhyuk jadi sebal. "Abang kamu... Minta ayah bakar bengkel dia."
"Arrghhh! Jangannn!" Suara Joshua sayup-sayup kedengaran. Bila diancam, automatik telinga Joshua lincah memproses dan menghantar signal ke otak seterusnya ke mulut.
"Emma tolong ayah pergi kedai, ya? Roti dah habislah. Nak tunggu abang kamu bangun awal waktu cuti macam ni, jangan harap." Minhyuk menyerahkan not duit kepada Emma.
Emma angguk tanda menurut sehingga Minhyuk menghilang di balik cerunan tangga. Dia tercegat di hadapan bilik abangnya, bukan bertujuan memaksa lelaki itu bangun dari tidur tetapi lebih kepada memikirkan sesuatu.
YOU ARE READING
𝐃𝐀𝐍𝐃𝐄𝐋𝐈𝐎𝐍: 𝐋𝐚𝐬𝐭 𝐋𝐨𝐯𝐞
FanfictionBicara cinta tidak terungkap dengan kata-kata. Lebih indah jika digambarkan melalui ketulusan sang hati. Dua insan ditakdirkan bertemu dalam lingkaran teka-teki perasaan. Cantuman cinta disusun hingga tiada cebisan yang tertinggal. Namun, menjan...