Bicara cinta tidak terungkap dengan kata-kata. Lebih indah jika digambarkan melalui ketulusan sang hati. Dua insan ditakdirkan bertemu dalam lingkaran teka-teki perasaan. Cantuman cinta disusun hingga tiada cebisan yang tertinggal.
Namun, menjan...
Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.
PINTU shutter roller dinaikkan Yugyeom menggunakan sebelah tangan. Jeongin lekas menghulurkan bantuan. Dia dapat mengagak bahagian anggota badan Yugyeom yang dihuni sel barah.
Yugyeom biarkan tingkah adiknya sebelum kunci pintu kaca dibuka.
"Abang, jawablah soalan Jeongin tadi...," pinta Jeongin. Pergerakannya terhenti di hadapan kaunter selepas Yugyeom melakukan hal yang sama.
Seperti ada sesuatu yang tersekat di dada lalu ia memberi kesan pada keronkong yang ingin mengeluarkan suara. Yugyeom mendiamkan diri apabila anak mata tertancap pada air muka Jeongin.
"Abang... Abang sihat, Jeongin. Kau jangan nak merepek," nafi Yugyeom. Tekanan suaranya kedengaran pincang di telinga Jeongin. Pemuda itu menggeleng, menolak mentah-mentah kenyataan rapuh abangnya.
"Abang pergi hospital, terima suntikan ubat kemo pada hari kereta abang rosak, kan? Abang ingat Jeongin tak tahu. Boleh dikatakan setiap malam tangan abang sakit. Abang makan sikit bukan sebab abang kenyang, tapi abang hilang selera..."
"... Abang nak sembunyikan apa lagi daripada Jeongin??" Jeongin tidak dapat mengawal lonjakan suara seraknya. Yugyeom tetap menegakkan sesuatu yang sudah terang lagikan bersuluh. Yugyeom fikir Jeongin seorang kanak-kanak yang boleh diperdaya begitu mudah?
Yugyeom melemparkan arah mata ke lantai. Penyakit yang disangka hilang sepenuhnya, kembali menyerang pada hujung tahun lepas. Sel barah berkumpul pada tulang humerus kanan menyebabkan pergerakan anggota tersebut adakalanya terbatas demi mengelakkan sebarang kecederaan seperti patah tulang.
Jeongin merapati Yugyeom. Air matanya murah berbanding Yugyeom. Apakah faktor kekuatan abangnya selama ini? Jiwa lelaki itu tidak ampuh sekalipun diserang pelbagai seksaan emosi dan penyakit.
"Abang, kita balik... Kita beritahu ibu, beritahu ayah. Ya?" pujuk Jeongin tanpa mengenali erti putus asa.
"Kalau kau rasa kau adik abang, jangan sesekali kau beritahu ayah atau ibu. Abang dah banyak menyusahkan diorang. Kau nak hati ibu berkecai sekali lagi ke?" tekan Yugyeom. Pantang baginya jika Krystal terus menangis kerana seorang anak. Cukuplah dengan apa yang terjadi. Jangan ditambah cengkaman dalam naluri seorang ibu.
Jeongin mengetap bawah bibir sebelum menunduk kalah. Dia pasti menangis apabila abangnya disakiti, cedera atau dimarahi. Perlahan-lahan tubuh Yugyeom dipeluk. Mutiara jernih Jeongin meluncur sekali lagi. Bayang silam Yugyeom meraung di atas katil kerana menahan sakit terlayar dalam fikiran. Jeongin takut detik itu terjadi sekali lagi dan lebih teruk jika abangnya berhadapan situasi tersebut tanpa ada sesiapa di sisi.
"Abang jangan tinggalkan Jeongin, ya? Jangan tinggalkan ibu dan ayah. Janji?" Perkataan 'tinggalkan' adalah perkataan yang sukar dilepaskan Jeongin kerana ia membawa makna kesedihan tiada kesudahan.
Mata Yugyeom terpejam rapat. Tangannya mengusap lembut belakang kepala Jeongin. Pelukan ketakutan dan kasih sayang Jeongin buat dirinya, dibalas dengan pelukan ketenangan dan perlindungan.