Bab 32

27 6 0
                                    

"Berat sebilah pedang itu lebih berat daripada beratnya mahkota."

Ayat sebaris itu terasa berdenyut mengetuk memori. Awalnya dahulu Aida tidak dapat memahami maksud di sebalik kata-kata Urana tetapi mungkin sekarang dia tahu. Dosa yang hadir daripada setiap titisan darah daripada senjata itu lebih berat bebannya. Mungkin itu pendapat Urana, bukan dia. Kerana bagi Aida, berat keduanya adalah serupa atau sebaliknya kerana beratnya bebanan menampung mahkota itu datang seiring dengan tajamnya bilah senjata di tangan pemerintah.

Pemerintah boleh berperang, mengotorkan tangan sendiri dengan darah musuh atau hanya perlu mengarah tanpa perlu berkutik walau seinci. Namun, hakikatnya tetap sama. Tinggi mana pun darjat mereka. Dosa itu takkan pernah terkecuali daripada sesiapa.

Hulu pedang yang bergoyang-goyang mengikut rentak langkahnya dek senjata yang tersisip di pinggang itu dipegang dengan tangan kanan. Cuba menstabilkan posisi senjata tersebut agar tidak berlaga dengan belakang kasut yang tersarung di kaki.

"Dayang Sulung, buat apa di sini?" Aida mengerutkan dahi apabila dia terdengar satu suara yang berada tidak jauh darinya. Derap langkah yang memang langsung tak kedengaran terhenti separuh jalan. Kepala masih menekur memandang muka lantai. Riaknya tidak berubah.

Bukannya dia ada buat salah pun cuma tindak balasnya itu berlaku secara spontan. Dia sendiri tidak tahu mengapa. Selang beberapa inci di hadapan lorong, cabang tiga mulai kelihatan dan suara itu hadir daripada lorong kanan.

Salah seorang yang digelar Dayang Sulung mengangkat bakul rotan bersegi empat yang ditatangnya dari tadi. "Bawa persalinan tuanku ke kamar."

Baru mengambil langkah setapak. Sahabatnya terlebih dahulu mendepakan tangan, menghalang. Laju dia menggeleng dengan riak risau. Terkebil-kebil Dayang Sulung memandang insan di hadapannya itu. Namun, belum sempat dia menyoal insan tersebut terlebih dahulu memotong.

"Tuanku sedang dalam rawatan."

Kening Dayang Sulung terjongket naik. "Lagi sekali?" Keluhan berat dilepaskan. Dia menggeleng kesal.

"Dayang Sulung tak rasa tuanku dapat bertahan lebih lama."

Dengan mimik muka yang sedih, insan di sisinya itu mengangguk. "Dayang Tengah pun rasa begitu. Apa akan jadi dengan negeri ni kalau tuanku tak ada, Dayang Sulung?"

Anak mata gadis muda di hadapannya itu ditatap lama.

"Mungkin orang kanan tuanku akan ambil alih. Lagi pula...." Dia memandang ke sekitar untuk memastikan tiada sesiapa di situ.

Nada suara sengaja diperlahankan sebelum berbisik betul-betul ke cuping telinga kanan Dayang Tengah.

"Dayang Sulung ada dengar khabar angin yang pemegang tampuk pemerintahan sebenar adalah Aida bukan Tuanku Urana."

"Hah?" terkebil-kebil wanita itu memandang Dayang Sulung.

Bersungguh Dayang Sulung mengiyakan kata-katanya. "Beberapa tahun selepas negara ini mengalami Dystopia. Ayahanda Urana menggulingkan tampuk pemerintahan pada waktu tersebut. Aida melarikan diri jauh ke dalam hutan tanpa dapat dijejaki selepas kerajaan lama tumbang dan ayahnya terkorban di medan peperangan. Manakala ayahanda tuanku pula mangkat tidak berapa lama selepas kemenangan tersebut. Jadi Tuanku Urana lah yang mengambil alih tampuk pemerintahan selepas itu."

Dayang Sulung menangguhkan bicaranya seketika untuk menarik nafas sebelum menyambung tetapi hasratnya terus terbantut melihatkan wajah pucat Dayang Tengah.

Aida yang berdiri di balik bayang kembali menampakkan susuk tubuhnya sebelum berdehem. Dayang Sulung terasa kejung satu badan. Jantung dah terasa mahu melompat keluar. Tak perlu dia menoleh ke belakang untuk mengetahui siapakah gerangan tersebut kerana melihatkan reaksi Dayang Tengah sahaja dia dapat mengagak.

"Berkenaan tuanku, kita masing-masing hanya perlu berdoa dan usaha mana-mana yang perlu untuk menjaga kesihatan Tuanku Urana. Baginda tuanku seorang pejuang, aku tak ada niat untuk ambil semula tampuk pemerintahan."

Ayat penyata yang disajikan untuk wanita berdua itu menyebabkan mereka terdiam tidak mampu bersuara. Langsung tidak menyangka akan bertembung dengan Aida di dalam keadaan yang sedemikian rupa.

"Err...."

"Aida." Baru Dayang Sulung mahu bersuara memohon maaf. Ada suara lain pula yang menjengah masuk ke corong telinga.

Aida memusingkan badannya ke arah suara yang berada tidak jauh dari mereka. Dia memandang pengawal yang datang bersama surat di tangan. Tanpa perlu menyoal, gadis itu menyuakan tangan mahu menyambut perutusan yang datang.

Hujung surat dikoyaknya sebelum menarik keluar isi di dalam. Sepatah demi sepatah perkataan dibacanya dengan dahi yang berkerut. Keluhan berat dilepaskan. Tiga insan yang turut berada di situ terasa sesak menantikan perkhabaran berkenaan isi surat di tangan Aida.

"Ada apa?" soal pembawa utusan itu tanpa teragak-agak. Aida memandangnya sekilas sebelum mengeluh sekali lagi.

"Kita ada tetamu."





Arif pandang Amy yang sedang bermain dengan gelas di tangannya.

"Apa rancangan kau untuk tolong Shah sebenarnya?"

Pergerakan jemari runcing milik gadis itu terhenti. Dia pandang Arif untuk sesaat dua sebelum melarikan pandangan ke dalam ruang bilik yang masih tegang suasananya. Kerusi digerakannya sedikit ke sisi untuk merapatkan jarak antara mereka.

"Satu-satunya cara untuk tolong Aya, jawapannya cuma ada dekat tempat kelahiran aku."

Arif mengangkat keningnya tinggi dengan dahi yang sedikit berkerut. Setahunya gadis itu langsung tidak menyukai tempat tersebut. Jadi kenapa dia boleh mencadangkan rancangan sedemikian?

Dia dapat membaca riak Arif yang sedikit termangu memikirkan situasi tersebut. Bibir menarik senyum secebis.

"Aku benci tempat tu tanpa ragu tapi aku sedar... lambat laun aku kena habiskan apa-apa yang aku dah mulakan dan aku kena hadapi ketakutan aku yang paling dalam sebab kalau tidak aku akan terperangkap dalam kepompong yang sama."

Arif pandang gadis itu tak lepas. Dalam sepasang kolam mata milik dia, ada seribu satu cerita yang tak terzahir.

"Kita boleh fikirkan cara lain kalau kau tak nak."

Laju dia menggeleng sebagai balasan. 

"Aku tak nafikan pilihan untuk cari penyelesaian tu banyak, Arif. Cuma sekarang kita mengejar waktu dan aku pasti ini jalan yang paling tepat dan paling berkesan."

Sudahnya Arif hanya mengangguk, nak dikata apa kalau dah tuan punya badan pun dah senekad itu.

"Tapi aku ada soalan," ucapnya sebaris. Kepala menekur memandang lantai apabila Arif hanya berdiam, memberinya laluan untuk bersuara. "Kalau jadi apa-apa nanti dalam rancangan kita dan keadaan memaksa... kau sanggup tak untuk bunuh aku?"

Berderau dia dibuatnya dek soalan yang diterima. Langsung terkelu tak tahu nak membalas apa.

AksaraTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang