Bab 10

57 14 0
                                    


Bunyi ketukan bertalu dari arah luar menyebabkan Ria memberhentikan pergerakannya yang sedang membasuh pinggan di singki. Wajah ditoleh ke arah ruang utama sebelum memulas pili untuk menutup aliran air. Tatkala bunyi tersebut bergema sekali lagi dia pantas mengorak langkah ke arah pintu utama untuk membuka pintu.

"Cepatnya mereka sampai," monolognya sendiri.

Bibir tanpa sedar mengukir senyum untuk menyambut tetamu yang disangkanya Arif dan Keth seperti yang telah diberitahu oleh suaminya.

Tombol pintu dipulas perlahan namun, saat pintu terkuak kuntuman di bibirnya langsung layu. Wajah-wajah dihadapannya itu dipandang beku satu persatu.

"Kehadiran kalian tidak dialu-alukan di sini."

Senyum sinis ditarik 78. Wajah dihadapannya di saat itu dipandang tajam. "Kalau begitu serahkan tetamu yang kau alukan sangat itu kepada aku," ujarnya tanpa berdalih.

"Langkah mayat aku dulu." Garang Ria memandang 78 seolah-olah ingin mencabar lelaki itu.

Geraham diketap rapat. Penumbuk 78 naik menumbuk muka pintu rumah tersebut, menggertak wanita yang tingginya hanya paras bahunya.

Bunyi kuat yang tiba-tiba mencerap masuk ke corong telinga menyebabkan Hairi tersedar akan sesuatu. Bunyi deruan air tidak kedengaran. Tanpa menunggu balasan daripada insan yang duduk bertentangan dengannya. Dia bangun untuk memeriksa keadaan isterinya.

Bunyi kaca pecah yang berderai bertemu lantai kemudian menyusul saat dia sudah memikirkan pelbagai kemungkinan buruk. Bulu roma merinding, darah menderu laju turun daripada wajah. Langkah pantas dihalakan ke arah bunyian tersebut.

Hairi memberi isyarat mulut kepada Farid supaya menyorok dan membawa Iman bersamanya.

Farid yang tidak tahu sebab arahan yang diterimanya itu hanya akur menerima. Perlahan-lahan dia menarik tangan kecil Iman supaya mereka masing-masing menjauhi ruang tersebut persis yang telah diamanahkan oleh tuan rumah.

"Abang, kenapa?" tanya Iman dengan suara halus. Tangan kiri masih memegang sudu sup yang digunakan sebantar tadi. Kalau diikutkan, anak kecil itu mahu memaut mangkuk di atas meja itu sekali dengan tangannya yang sebelah lagi tetapi tangan tersebut terlebih dahulu diraih abangnya.

Telunjuk ditekap Farid ke bibir, menggesa agar adiknya itu supaya diam.

Perlahan-lahan langkah dibawanya ke arah stor di tempat tersorok di dalam rumah tersebut. Saat Arif meninggalkan mereka di situ, perkara pertama yang ditunjukkan Hairi adalah tempat tersebut.

"Aku tak jamin takkan ada apa-apa tapi andai kata sesuatu berlaku. Masuk dalam ni. Stor ni susah sikit nak dijumpai," pesanan Hairi suatu ketika dahulu.

Usai memastikan Iman sudah selamat masuk ke dalam. Farid berpaling untuk seketika. Saat itu tercerap visual belakang badan Hairi yang lurus statik di ruang pemisah antara dapur dan ruang tamu.

Nafas dihela perlahan sebelum lambat-lambat dia menapak, mengekori langkah Iman lantas menutup muka pintu.




Kenderaan pacuan empat roda yang kini berhenti tidak jauh daripada lokasi mereka menyebabkan Arif memanggungkan kepala dengan dahi berkerut.

Kolar baju ditarik naik sebelum dia lambat-lambat bangun daripada duduk. Sarung tangan di dalam poket digapai lantas disarungkan ke tangan.

Riak seriusnya disambut dengan secebis senyuman daripada gadis tinggi lampai di hadapannya itu. Pintu dibuka dari dalam sebelum dia memboloskan diri keluar dari perut kereta. Langkah diatur menghala ke arah susuk tubuh yang berdiri tegak menanti kehadirannya supaya mendekat.

AksaraTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang