"Sekarang kita nak pergi mana?" Bahu dijongketkan Arif, juga buntu tidak dapat mencadangkan mana-mana tempat yang boleh mereka tuju buat masa terdekat.
Cambahan cahaya matahari yang mulai menampakkan sinarnya dari ufuk timur menunjukkan yang pagi mulai menjelang. Lama juga mereka terbaring di atas pasir begitu.
Terkedang Arif dan Keth di atas tanah bersebelahan antara satu sama lain memandang muka langit. Mata masing-masing yang sembap gara-gara kurang tidur langsung tidak dapat disembunyikan.
"Kau sedih lagi tentang gambar yang arwah ibu kau bagi dekat kau ke?" soal Keth tanpa mengalih pandang ke arah teman di sebelah.
Arif tarik senyum senget. Jemari kanan dan kiri dicantumnya sebelum diletakkan ke belakang kepala, menjadi bantal.
Lama dia mendiamkan diri sebelum akhirnya dia bersuara, "Tak adalah sedih mana cuma terkilan sebab benda tu ibarat amanah arwah untuk aku dan satu kekuatan bertanda yang bagi aku semangat untuk ubah keadaan negara kita sekarang."
"Maksud kau punya kekuatan bertanda?"
"Manusia tu sendiri ada satu kecenderungan untuk percaya apa-apa yang dia nampak. Kau rasa aku ni nak percaya ke keadaan negara kita dulu gemilang gah sedangkan sewaktu diwarisi ke tangan kita tak ubah macam padang jarak padang terkukur?"
Arif tertawa kecil sebelum menyambung, "Tak nampak, tak bermakna benda tu tak wujud cuma kadang-kadang kita perlukan sesuatu untuk meyakinkan diri yang benda yang kita tak nampak tu ada."
Keth tersenyum.
"Suatu hari nanti aku akan realisasikan gambar tu, kalau diberikan kesempatan In shaa Allah. Kau akan jadi orang pertama yang akan rasmikan pembangunan kedua menara berkembar yang kau nampak dalam gambar pusaka tu," balas Keth penuh nekad.
Arif mencebik. Tinggi sangat angan-angan mereka tetapi yang selalu dibayangkan itulah yang indah sedangkan realiti itu kebanyakannya kelat.
"Bercakap tentang tu, barang apa yang kau ambil sampai sanggup hampir gadaikan nyawa sendiri?" Kali ini Arif menoleh ke arah Keth yang dah ada rupa orang mabuk darat dek tidur yang tidak mencukupi.
"Hmm? Tak perlu tahulah. Tak penting pun."
Arif pandang pelik ke arah lelaki itu. Hampir mati pun dia boleh kata benda tu tak penting. Nampak sangat mahu berahsia.
"Okay, satu perkataan ja. Apa benda?" tekan Arif lagi ingin tahu.
Lama Keth berjeda, menimbang tara baik buruk tindakannya itu. Nafas ditarik dalam sebelum dihela perlahan. "Aksara," balasnya sepatah.
Arif tayang muka kelam. Puas dia menggeledah maksud satu perkataan itu di dalam mindanya. Memang dia yang tidak pandai atau sememangnya dia tidak pernah mendengar pun perkataan itu sebelum ini? Terkebil-kebil Arif sendiri tetapi peraturan tetap peraturan. Akhirnya dia mengalah. Tidak lagi mahu membangkitkan apa-apa persoalan tentang objek tersebut.
Kepala dikalih Arif semula menengadah ke langit, masing-masing melayan perasaan sendiri. Selang beberapa ketika senandung yang dihasilkan Arif tercerap ke corong telinga Keth. Pejam celik kelopak matanya cuba menahan kantuk. Lambat-lambat matanya mulai terpejam rapat.
"Keth, aku ada cadangan tapi aku tak pastilah kau akan setuju atau tidak," ujar Arif selamba. Dia berjeda seketika mahu memberi ruang untuk Keth bersuara namun sepatah pun tidak terluah dari bibir lelaki itu.
Arif melepaskan keluhan. Kedua-dua belah tangan kembali di silangkan ke dada. Tanpa menunggu jawapan balas dia akhirnya bersuara, "Potensi untuk kau tak setuju tu tinggi. Aku tahu hakikat tu tapi kau pun mesti risaukan Farid dengan Iman, kan? Dah alang-alang kita pun dah hilang tempat tinggal. Apa kata kita pergi Putrajaya? Macam yang kau selalu kata tu, sambil menyelam minum air. Haaa... bernas tak idea aku?"
ANDA SEDANG MEMBACA
Aksara
General FictionKau sangka utopia di dunia realiti itu wujud? Hakikat kesinambungan itu ada apabila dua elemen bertentangan itu wujud bagi menyeimbangkan satu sama lain. Bagi... Melengkapi. "Cuba kau bayang apa-apa yang ada depan kita sekarang ni kita label sebagai...
