Kolar baju Shah dicekak kasar. Gigi atas dan bawah bergesel antara satu sama lain menahan marah yang bersarang di dalam dada. Belakang badan pemuda itu lantas dibantingkan ke muka dinding. Wajahnya tegang.
"Niat awal, aku nak tolong kau tapi sekarang aku ubah fikiran. Kalau aku tahu kau sorokkan budak tu. Aku takkan teragak-agak buat perkara asal yang aku nak buat dekat kau dan dia."
Shah menelan liur. Faham akan maksud tersirat yang masuk ke corong telinga.
"Aku tak tahu dia dekat mana, Qaym."
"Macam mana kau boleh tak tahu?" tengking lelaki itu jelas takat kesabarannya telah habis.
Pandangan Shah statik memandang belakang kepala Qaym yang masih tidak berpaling ke arahnya.
"Ambil nyawa aku. Jangan apa-apakan dia."
Shaun mengangkat kedua-dua belah keningnya tinggi. Lambat-lambat dijelingnya pula Qaym yang masih beriak sama. Kosong.
Menjaga kemaslahatan penduduk di situ adalah tanggungjawab Qaym. Jadi tentunya dia takkan teragak-agak mahu mengambil keputusan drastik asalkan penduduk di situ selamat. Di bawah arahan Puak Gagak Hitam atau tidak, dia cuma akan melakukan sesuatu segila itu hanya untuk menjamin apa yang diamanahkan kepadanya dan dia takkan teragak-agak untuk melawan semula mana-mana pihak yang mengancam perkara yang dijaganya.
Shaun yang mengelamun entah ke mana sedikit tersentak apabila baru perasan akan tenungan Qaym tajam melawan pandangannya. Terkebil-kebil lelaki itu dibuatnya. 'Aii... marah dekat orang lain, orang lain pun kena tempias?'
"Shaun." Terus tegak Shaun yang bersandar persis koala di bingkai pintu tadinya.
Diam dia menunggu arahan seterusnya daripada Qaym.
"Kau panggilkan Sepuluh dengan Amy. Aku tak percayakan orang luar untuk berkampung dalam rumah aku, jadi kita pergi berlima. Termasuk kau, Shah."
Langsung Shaun memusingkan badan. Saat dia membelakangkan Qaym. Shaun mencebik bibirnya persis mulut itik. 'Tak percaya konon. Heh!'
Tangan dimasukkan ke dalam poket seluar sebelum dia melangkah perlahan ke arah bilik yang di duduki dua orang lagi tetamu.
Mereka yang menyusul kemudian, masing-masing kaget dengan pemandangan yang masuk ke medan pandangan. Langsung tak menjangka akan disapa dengan situasi sedemikian.
Laju Shaun berlari ke arah Qaym. "Apa kau buat ni, Qaym?" marah Shaun cuba menghalang tindakan Qaym pada masa yang sama. Tangannya menggenggam lengan Qaym yang dah lurus terpacak mendatar pada permukaan leher Shah. Sebelah tangan lagi berusaha untuk merungkai genggaman sahabatnya itu.
"Qaym, sudahlah!"
Selang beberapa ketika akhirnya dia melepaskan cengkaman yang dah kejap hampir menutup rongga pernafasan Shah. Lelaki itu terjelopok ke lantai. Tercungap-cungap mencari nafas. Badannya menggigil. Shaun di sebelah Qaym yang menjangka berjaya meleraikan ketegangan antara dua pihak itu, tanpa sebarang persediaan turut menerima tempias apabila tumbukan padu diterima pipi kirinya. Sedar-sedar sahaja dia juga dah terjelopok jatuh ke lantai.
Kelopak mata dipejam Qaym, cuba menenangkan fikiran. Paling tidak kemarahannya dah disalurkan pada Shaun. Walaupun jelas dalam hal tersebut, Shaun langsung tidak bersalah.

ANDA SEDANG MEMBACA
Aksara
Художественная прозаKau sangka utopia di dunia realiti itu wujud? Hakikat kesinambungan itu ada apabila dua elemen bertentangan itu wujud bagi menyeimbangkan satu sama lain. Bagi... Melengkapi. "Cuba kau bayang apa-apa yang ada depan kita sekarang ni kita label sebagai...